.... Naiki Pentas Pembangkang, Lima Guru Diberi Notis Tunjuk Sebab | AAKJ





Lima guru sekolah telah diberi notis tunjuk sebab oleh Kementerian Pendidikan kerana didakwa menaiki pentas pembangkang untuk menghentam kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Mahd­­zir Khalid berkata, kese­mua mereka diberi tempoh dua minggu untuk menjawab notis tersebut dan sekiranya kementerian tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, mereka akan dirujuk kepada Lembaga Tatatertib sebagai langkah ter­akhir sebelum sebarang tindakan yang lebih keras diambil.

“Siang jadi guru, malam dia atas pentas pembangkang hentam kerajaan. Sesungguh­nya Malaysia sebuah negara demokrasi dan kita tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya guru-guru menyokong pembangkang.

“Tetapi janganlah terlalu ekstrem sehingga naik pentas pembangkang menghentam kerajaan. Mereka ini penjawat awam dan tertakluk kepada Perintah Am. Kenalah beradab sikit,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan kempen Penggunaan Kertas Kitar Semula 100 Peratus di sini hari ini.

Mahdzir menambah, hasil pemantauan juga mendapati, ada dalam kalangan guru berkenaan turut mempunyai jawatan dalam parti pembangkang.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti guru-guru tersebut kerana dikhuatiri mengganggu siasatan dan setakat ini, beliau mengesahkan mereka masih belum dipanggil Kementerian Pendidikan untuk direkodkan keterangan.

Dalam pada itu, Mahdzir memberitahu, kesemua buku teks sekolah akan dicetak menggunakan kertas kitar semula sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kos perbelanjaan dan keputusan itu diambil selepas Bahagian Buku Teks melaksanakan kajian penilaian terhadap penggunaan kertas kitar semula.

“Kita dapati kualiti kertas kitar semula itu memenuhi semua syarat yang ditetapkan dan telah diperakui oleh SIRIM Berhad,” tambahnya.

Cuma, kata beliau, perbezaan terbesar yang bakal dilihat adalah pada warna kertas yang sedikit kekuningan berbanding warna kertas biasa yang digunakan sebelum ini.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan bekerjasama de­ngan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam melestarikan alam sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pendidikan Malaysia Berhad (YPM), Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, meminta semua guru supaya memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya mereka dengan tidak mencampuradukkan urusan kerja dan politik sehingga boleh menimbulkan fitnah.

Ketua Perhubungan dan Ko­munikasi Starategik Biro Ekonomi dan Usahawan Pemuda UMNO, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani pula menyokong penuh saranan Mahdzir supaya guru yang aktif mempromosikan pembangkang berhenti daripada perkhidmatan sememangnya merupakan langkah yang cukup tepat.

Baca seterusnya di SINI.
-UM


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top