.... Mengapa Mahathir Enggan “Bersara” Walau Sudah Bersara? - Roketkini | AAKJ



Telah hampir 10 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad bersara daripada jawatan perdana menteri setelah 22 tahun menjawat jawatan eksekutif tertinggi di negara ini sejak 1981.

Pada peringkat awalnya rakyat diperlihatkan akan kehebatan seorang pejuang Melayu sepertimana dalam bukunya The Malay Dilemma dan kritikan pedasnya terhadap perdana menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman yang menyaksikan mereka tidak sehaluan dan Mahathir pernah diletakkan di luar UMNO satu masa dulu.

Anehnya kedua-dua mereka berasal dari bandar yang sama di utara Semenanjung dan saling mengenali antara satu sama lain. Mahathir juga pernah bertanding dan tewas dalam pilihan raya setelah meletak jawatan sebagai pegawai perubatan yakni doktor walau pun dibimbangi oleh isterinya. Masa itu jasa Mahathir amat disanjung tinggi disebabkan kemurahan hatinya yang kerap memberi perkhidmatan percuma menerusi kliniknya Maha Klinik.

Setelah zaman perdana menteri Tun Abdul Razak, Mahathir mula menjejak kaki ke kabinet sehinggalah menjadi perdana menteri pada 1981.Pada awal pentadbiran bersama timbalan Tun Musa Hitam, pelbagai program dilancarkan 2M, Bersih-Cekap-Amanah, Kepimpinan Melalui Teladan, Dasar Pandang ke Timur telah dipropagandakan kepada rakyat. Dasar pengswastaan diperkenalkan dan pelbagai projek mega dilancarkan yang banyak memberi menafaat kepada rakyat jika dipandang secara kasar dan untuk kejayaan jangka pendek.

Industri seperti Perwaja Steel, Hicom, Proton, TV3, Empangan Bakun, PSCI, PLUS, ASTRO, Indah Water Konsortium, Jambatan Pulau Pinang dan banyak lagi projek mendadak dilancarkan di samping kemunculan tokoh-tokoh korporat Melayu, Cina, India yang bersifat payung terjun. Ada yang gagal dalam bidang maslng-masing lalu diperkenalkan pula “pak sanggup” Danaharta.

Di sinilah timbulnya kroni, rasuah, salah guna kuasa, penindasan terhadap rakyat, kezaliman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, sikap double standard, kekebalan perdana menteri, campur tangan politik terhadap PDRM, ATM, perbankan, peguam negara, kehakiman, SPRM, SPR dan jabatan-jabatan kerajaan.

Di samping itu timbul juga perebutan kontrak untuk anak-anak pemimpin termasuklah anak-anak perdana menteri dan kabinetnya yang kaya-raya. Milik siapakah Crest Petroleum, Scomi Group, Tongkah Holding, Cahaya Mata Sarawak, Konsortium Perkapalan Bhd,dan ribuan lagi syarikat milik mereka atas nama proksi?

Bagi Mahathir, anak-anaknya dan kroninya adalah manjaannya. Gagal saja dalam perniagaan bukan ditegur ataupun diadili, tapi diberi lagi peluang dengan bantuan bank dan lain-lain agensi kerajaan.

Di sinilah impak golongan ini yang tidak memiliki daya juang dan daya tahan yang kukuh untuk menempuh globalisasi dan persaingan terbuka. Rakyat dijadikan pelanggan tetap yang dipaksa membayar tol, cukai LHDN, bil perubatan, yuran pengajian, bil elektrik, bil air, petrol, disel, gas yang kenaikannya keterlaluan dan membebankan disamping lain-lain bayaran saman yang menghukum.

Di manakah pembelaan terhadap rakyat? Penghantaran wang haram ke luar negara oleh kroni membuktikan golongan ini semakin terdesak atas perbuatan yang diasaskan oleh Mahathir.

Kini Mahathir hanya pandai bermain isu perkauman, tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain telah bersatu menentang dasar perintis Mahathir yang membangunkan negara secara kronisme, rasuah, salahguna kuasa, zalim dan menindas rakyat.

Oleh kerana takutkan tembelang pecah dan niat BN untuk terus berkuasa hingga bila-bila,Mahathir dilihat meneruskan perjuangan terhadap UMNO walau pun telah beberapa kali berada di luar parti.

Apakah agenda Mahathir untuk anak-anak,kroni, kaum, parti atau pun negara dan dunia? Mahathir saja yang boleh jawab. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. – Roketkini.com

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top