.... "Lebih baik mati berkubang darah daripada pulang membawa malu" | AAKJ




Tegas, jujur serta berkata benar

Ada satu ungkapan dari bangsa Bugis yang melekat di hati saya ketika berkunjung ke Fort Rotterdam, Makassar pada 2012.

GETTENG LEMPU ADATONGENG atau maknanya dalam bahasa Melayu adalah tegas, jujur dan berkata benar.

Kejujuran adalah pakaian anak-anak Bugis.

Serangkaian nasihat seperti ini diturunkan oleh orang tua kepada anaknya dari generasi ke generasi, disebut To Riolota (ungkapan leluhur) atau petuah dalam bahasa kita.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2015, ketika serangan dan desakan untuk Datuk Seri Najib Razak, meletak jawatan dibuat Tun Mahathir...

Najib yang mengalir darah bangsawan Bugis di tubuhnya memetik beberapa baris To Riolota Bugis, antaranya 'mestipun dipukul ribut dan taufan, kemudi tetap ku putar, lebih baik tenggelam daripada pulang;

Perwakilan bersorak... saya masih ingat suasana ketika Najib melaungkan no retreat no surrender sebanyak tiga kali.

Ungkapan Najib itu 'mestipun dipukul ribut dan taufan, kemudi tetap ku putar, lebih baik tenggelam daripada pulang' diambil dari nyanyian popular palaut Bugis;

'Nalawa mau salareng riwu, nakugincirik gulikku, kualo mui tellengge natowalie'

Lagu tersebut akhiri dengan kata-kata makkarewengeng maneng, atau 'semua, adalah sahabatku'.

Bagi orang Bugis jika anaknya merantau, yang dibekal bukan wang ringgit sebaliknya sebilah keris atau pun badik.

Hal ini dimaksudkan agar sang anak tersebut jika diperantauan menemui masalah, maka sebaliknya ia tidak lari sebaliknya harus menghadapi apa pun risikonya termasuk mati sekalipun.

Ada To Riolota Bugis yang lain berbunyi "Lebih baik mati berkubang darah daripada pulang membawa malu".

Dalam kehidupan Orang Bugis "Siri" merupakan unsur yang sangat asas dalam diri mereka. Tidak ada satu nilai lebih berharga untuk dibela dan dipertahankan dimuka bumi ini selain daripada "Siri".

Bagi orang Bugis "Siri " adalah jiwa, harga diri dan mertabat mereka. Sebab itu untuk menegakkan dan membela "Siri" yang dianggap tercemar atau dicemarkan oleh orang lain, maka orang Bugis bersedia mengorbankan apa sahaja termasuk jiwa raga demi tertegak nya "Siri" dalam kehidupan mereka.

Dalam masyarakat Bugis telah hidup atau tertanam suatu ungkapan yang terkenal iaitu "Ejatompi nadoang", ertinya: setelah berwarna merah barulah terbukti udang.

Yang dimaksudkan dengan ungkapan tersebut adalah bahawa risiko dalam menegakan "Siri " tak perlu difikirkan akibatnya terlebih dahulu, soal akibat adalah urusan nanti.

Apakah nyawa sendiri akan hilang, akan dihukum puluhan tahun, atau mungkin akan dijatuhkan hukuman mati, itu bukanlah masalah yang perlu difikirkan, tetapi yang penting "Siri " harus ditegakan.

Apa pun akibatnya harus dilaksanakan. Setelah tugas menegakkan "Siri" terlaksana, barulah diketahui akibat atau risiko itu. Dalam pengertian "Barulah terbukti udang".

Dalam uraian tentang siri Prof Dr Matullada mendeskripsikan suatu ungkapan yang menggambarkan suatu hubungan antara adat dengan "siri" iaitu "Utettong ri - ade ' e najagainnami siri' ku (ertinya: saya taat kepada adat, kerana menjaga siriku, )

Atau:

Siri' emmi ri onroang ri lino

Utettong ri ade' e

Najagainnami siri' e

Naia siri'e sunge naranreng

Nyawa nakira-kira

Ertinya:

Hanya untuk siri kita hidup didunia

Aku setia pada adat

Kerana dijaga nya siri kita

Adapun siri jiwa imbalannya

Nyawa perkiraannya

Berkait erat dengan pendeskripsian diatas, maka salah satu alat untuk menegakan harga diri atau martabat keluarga adalah senjata pusaka yang berupa senjata tajam keris atau pun badik.

Kerana itu keris atau pun badik dikalangan orang Bugis adalah untuk kesejahteraan, perdamaian, pembelaan diri dan keselamatan.

Hikayat La Galigo banyak memuat tuntutan penting bagi kehidupan masyarakat Bugis.

Tentang siri atau harga diri misalnya, diajarkan agar tak mudah bagi orang Bugis untuk mengeluarkan keris dari sarungnya.

Jika ada suatu masalah yang dihadapi, selesiakan dengan rundingan, bukan sekali tapi beberapa kali.

Jika sudah tiada lagi jalan keluar, barulah keris ditarik dari sarungnya.

Sekali keris dihunus, tidak boleh disarungkan semula sebelum keris tersebut dipergunakan.

Dikalangan orang Bugis jika keris sudah dihunus dan tidak ditikam pada musuh, maka keris tersebut hendaklah ditikam ke batang pisang sebelum disarung semula.-3/3/2017




HELME HANAFI

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top