.... Kuasa TPM Pakatan Pembangkang Lebih Besar Dari PM? | AAKJ



SIPITANG: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pembangkang sebagai pakatan Ali Baba kerana sehingga kini tidak sepakat dalam soal siapa bakal menjadi Perdana Menteri jika menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perdana Menteri berkata, pembangkang sebaliknya hanya bersetuju siapa bakal Timbalan Perdana Menteri, namun tiada bayangan dan persefahaman berhubung calon Perdana Menteri mereka.

Apa yang lebih pelik, kata Najib, ‘Timbalan Perdana Menteri’ pembangkang akan menentukan siapa menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan berkuasa selepas PRU-14.

“Dia (pembangkang) cuma setuju siapa jadi Timbalan Perdana Menteri, tetapi siapa nak jadi Perdana Menteri?…(Datin Seri) Wan Azizah (Wan Ismail) ke? (Datuk Seri) Anwar Ibrahim? atau (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin)?

“Lebih pelik Timbalan Perdana Menteri akan tentukan siapa jadi Perdana Menteri, ini pakatan Ali Baba,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan projek Jalan Sindumin-Kampung Melalia, Lebuhraya Pan Borneo Sipitang di Pekan Sindumin, dekat sini, sebentar tadi. Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalannya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad.

Berucap lanjut, Najib turut menyifatkan Pakatan Harapan sebagai ‘membuyuk’ atau berdusta kerana hanya pandai berjanji kepada rakyat yang tidak mungkin dapat ditepati.

“Kalau di Semenanjung kita sebut temberang…cakap boleh, janji boleh tetapi tinggal di bibir, tetapi bagi saya komitmen sebagai Perdana Menteri adalah kenyataan, Lebuhraya Pan Borneo adalah hadiah kita kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata, berbanding pembangkang, Barisan Nasional (BN) adalah parti yang memiliki persefahaman utuh bersama semua 13 parti komponen. “Kita adalah sebuah parti yang membangunkan semua rakyat tanpa mengira kaum dan budaya seperti di Sabah ini yang rakyatnya hidup dalam suasana harmoni,” katanya.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top