.... Kit Siang, Bagaimana Dengan Anak Kamu? | AAKJ



Seorang pemimpin Gerakan mempersoalkan desakan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang mahu Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin untuk bercuti sepanjang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal penukaran status tanah bumiputera di negeri itu.

Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang berkata, cadangan yang sama harus dikenakan ke atas anak Lim, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Bagaimana dengan anak kamu? Mengapa beliau tidak bercuti walaupun perbicaraan kes rasuah akan dibicarakan di mahkamah? Kenapa?" soalnya dalam laman sosial.

Jun lalu, Guan Eng didakwa dengan dua tuduhan rasuah. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan menyalahkan tindakan itu angkara pesaing politiknya.

Pertuduhan pertama adalah menyalahgunakan kuasa untuk memanfaatkan diri dan isterinya dengan menukar status sebidang tanah kepada Magnificient Emblem Sdn Bhd, dan pertuduhan kedua adalah berkaitan dirinya yang mendapatkan harta di 25, Jalan Pinhorn, dari Phang Li Khoon di bawah nilai pasaran.

Sementara itu, setiausaha akhbar Khaled, Mohd Asri Khalbi merujuk titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini yang mahu ahli politik dari luar negeri itu untuk menjaga urusan masing-masing.

"Lim seharusnya hanya memberi tumpuan menjaga kawasan pilihan rayanya (di Gelang Patah, Johor), seperti apa yang diperkatakan oleh menteri besar selepas melawat kawasan itu," katanya kepada Malaysiakini.

Lim menggesa Khaled mengambil cuti kerana urusan tanah terletak di bawah bidang kuasanya. Ini berhubung kes skandal sogokan jutaan ringgit yang melibatkan penukaran lot perumahan bumiputera kepada bukan bumiputera di Johor.

Setakat ini, SPRM telah menahan enam orang termasuk anak dan pegawai khas exco Johor Datuk Abd Latif Bandi berhubung perkara itu.

Susulan penangkapan itu, 45 akaun milik suspek yang mengandungi simpanan sekitar RM15.5 juta dibekukan, selain 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai termasuk mata wang asing berjumlah RM500,000 serta pelbagai dokumen dirampas.

Abdul Latif juga dilaporkan sedang bercuti sementara menunggu siasatan SPRM.

Beliau juga berhujah bahawa Khaled sebagai menteri besar tidak mungkin tidak menyedari bahawa anak Abdul Latif hidup mewah di luar kemampuannya.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top