Menu




Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir perlu menjelaskan sumber diperoleh ahli keluarganya untuk di­jadikan modal menjalankan perniagaan yang didakwa mencecah angka berbilion ringgit.

Ketua Penera­ngan UMNO Se­langor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, sekiranya pinjaman bank dibuat sekali pun, proses itu memerlukan cagaran atau sandaran dengan nilai yang serupa.

“Secara umumnya, bank tidak akan memberi pinjaman tanpa sebarang cagaran.

“Oleh itu, Mukhriz perlu memberi penjelasan berkenaan persoalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, bekas pegawai khas Mukhriz, Haris Che Mat mencabar bekas Menteri Besar Kedah itu berdebat mengenai keupayaan adik beradik beliau menjadi jutawan dalam masa singkat.

Dalam pada itu, Zein Isma berasa hairan mengapa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berdiam diri berhubung isu tersebut.

“Sebelum ini, beliau mendakwa dirinya seorang yang mengamalkan sikap bersih dan amanah tetapi apabila timbul isu melibatkan anak-anaknya, beliau mendiamkan diri,” ujarnya.

Beliau turut meminta Mukhriz menjelaskan sumber yang diperolehi abangnya, Mirzan untuk memiliki San Miguel dan Petron dalam debat tersebut.

-UM



 
Top