.... Warkah Untuk Tan Sri Muhyiddin, Jagalah Adab | AAKJ




Rahimi Osman

Saya agak terkejut membaca warkah Tan Sri kepada DYMM Tuanku Sultan Johor yang disiarkan oleh berberapa portal online dan turut ‘diviralkan’ oleh pengikut PPBM beberapa hari yang lalu. Bagi saya, warkah Tan Sri itu cukup tidak manis untuk dibaca dan juga memperlihatkan betapa tidak beradabnya seorang pemimpin kepada Tuanku Sultan.

Tan Sri mungkin tidak senang duduk selepas ditegur oleh Tuanku Sultan kerana orang-orang dikeliling Tan Sri termasuk penyokong PPBM sering mencanang kepada rakyat bahawa Tan Sri merupakan pemimpin yang paling popular di Johor serta amat disayangi oleh Tuanku Sultan. Di atas cerita inilah timbul keyakinan orang-orang dikeliling Tan Sri bahawa Kerajaan Negeri Johor bakal jatuh ke tangan PPBM pada pilihanraya nanti. Namun, teguran yang diberikan telah menjadi tamparan hebat kepada Tan Sri dan ‘promoter-promoter’ Tan Sri.

Alasan Tan Sri untuk menulis warkah terbuka kepada Tuanku Sultan bagi ‘membersihkan’ nama baik Tan Sri langsung tidak boleh diterima akal. Walaupun Tan Sri menggunakan bahasa yang sopan serta merafak sembah dan memohon ampun, bagi saya ianya masih tidak beradab.

Jika benar Tan Sri ingin menjernihkan keadaan dan membersihkan diri daripada kemurkaan Sultan, apakah Tan Sri sendiri tidak boleh bertemu ataupun sekurang-kurangnya menghantar warkah tersebut secara peribadi kepada Tuanku Sultan?

Apa niat Tan Sri apabila dalam warkah tersebut Tan Sri menceritakan kisah perbualan Tan Sri dengan Tuanku Sultan selepas dibuang dari jawatan Timbalan Perdana Menteri? Saya tidak tahu apakah yang Tan Sri nyatakan bahawa Tuanku Sultan murka dengan Dato’ Seri Najib itu adalah hal yang benar atau tidak. Mungkin Tan Sri cuma temberang sahaja. Walau apa pun kisahnya, apa keperluan diceritakan perbualan peribadi dengan Tuanku Sultan kepada orang ramai?

Tan Sri juga menyebut ketika Tan Sri menjadi Menteri Besar Johor, tidak ada sejengkal tanah pun yang dijual secara hak milik kekal kepada warga asing. Apakah Tan Sri menyindir pembangunan Forest City di Johor? Tidak perlulah hipokrit kerana mahu senada dengan Tun Mahathir, Tan Sri sendiri tahu bahawa Forest City itu berdiri atas tanah yang ditambak. Tidak ada isu bahawa tanah Johor digadai kepada warga asing.

Tambahan pula rumah yang mereka beli ini, adalah rumah condominium dengan hak milik strata. Bermakna setiap kondo itu yang di dirikan atas cuma beberapa ekar tanah dimiliki oleh ratusan atau ribuan pemilik. Belum lagi disentuh mengenai impak pertumbuhan ekonomi kepada negeri Johor dan Malaysia melalui pembangunan Forest City ini. Tan Sri perlu faham perbezaan antara mengadai negara dengan membuat perancangan strategik.

Saya ingin bertanya kepada Tan Sri, andaikata Tan Sri masih lagi seorang Timbalan Perdana Menteri, adakah Tan Sri akan mengambil pendirian sama untuk mengkritik soal Forest City? Ataupun Tan Sri lah yang menjadi orang paling hadapan mempertahankan pembangunan Forest City?

Tan Sri boleh berbangga dengan kejayaan memimpin negeri Johor kepada rakyat, tetapi tidak perlulah diulang-ulang kepada Tuanku Sultan dalam warkah terbuka Tan Sri. Seorang pemimpin itu, di depan rajanya harus bersifat rendah diri. Tidak perlu berbangga dengan apa yang dia telah lakukan kerana itu adalah tanggungjawab yang diberi oleh Tunku Sultan dan rakyat sendiri.

Tan Sri merasa bangga dengan kejayaan, tetapi itu cuma pandangan dan perasaan Tan Sri. Mungkin sebenarnya Tan Sri masih berada di tahap yang belum memuaskan. Siapa tahu. Kerana ramai pemimpin yang tidak terlepas dari sifat “masuk bakul angkat sendiri”.

Sepanjang penglibatan saya dalam politik, saya tidak pernah berjumpa apatah lagi meminati dan mengidolakan Tan Sri walaupun ketika Tan Sri masih berada dalam UMNO. Mungkin kerana pengalaman saya bekerja dengan Anwar Ibrahim, saya mudah terhidu jika ada sesuatu yang tak kena dengan seorang yang selalu membawa perwatakan warak dalam pentas politik.

Andainya Tan Sri benar-benar hendak membersihkan nama, terlebih dahulu Tan Sri perlu menjawab beberapa tuduhan yang dilemparkan kepada Tan Sri baru-baru ini. Soal hubungan sulit Tan Sri dengan seorang wanita Cina masih tidak berjawab sehingga hari ini. Begitu juga beberapa isu yang ditimbulkan mengenai kontrak-kontrak yang diberikan ketika Tan Sri masih berada dalam kabinet, belum lagi dijawab oleh Tan Sri.

Mungkin setelah berkawan rapat dengan DAP, Tan Sri sudah mula berani bersikap kurang sopan terhadap Sultan. Teladan buruk yang ditunjukkan oleh Tan Sri ini bakal dijadikan contoh oleh pengikut-pengikut Tan Sri. Sebab itu di dalam facebook, saya lihat ramai penyokong PPBM sudah berani mengutuk atau memerli Tuanku Sultan. Alasan mereka mudah, kononnya mempertahankan kedaulatan negara.

Tan Sri mengakhiri warkah dengan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai. Saya sarankan eloklah Tan Sri cermin muka sendiri. Siapa lebih popular dikalangan rakyat Johor, Tan Sri ataupun Tuanku Sultan?

Saya faham mungkin Tan Sri berasa malu kerana terasa ditegur oleh Tuanku Sultan, tetapi terimalah dengan hati terbuka. Memang Tan Sri sendiri yang cari pasal kerana melemparkan tuduhan tidak berasas hanya kerana perlu dilihat senada dengan Tun Mahathir. Tan Sri perlu ingat, Sultan tidak seperti ahli politik yang perlu membuat kenyataan popular, Sultan tidak perlu diundi, Sultan itu bertitah atas kepentingan negeri dan rakyatnya.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top