.... Mursyidul Am PAS Dan Kereta Porsche | AAKJ



Ketua Pemuda PAS Wilayah Ir Khairil Nizam Khirudin menafikan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin memiliki kereta Porsche seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Sebaliknya beliau berkata kereta mewah itu mungkin dimiliki oleh sanak saudara Hashim.

“Kami yakin dengan mursyidul am kami tidak ada kereta Porsche atas nama beliau.

“Mungkin atas nama sanak saudara beliau. Salah ke sanak saudara dia ada kereta Porsche,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

Dakwaan Hashim memiliki kereta sport mewah itu disebarkan di media sosial selepas beliau menafikan PAS menerima dana RM80 juta daripada Umno.

Ia bermula apabila seorang pengguna Facebook Hafiz Zainuddin telah memuat naik gambar semakan butiran atas talian yagn menunjukkan Hashim memiliki Porsche atas namanya yang didaftarkan pada tahun 2012.

Ketika membuat penafian itu, beliau membayangkan pemimpin PAS tidak hidup mewah dan beliau sendiri hanya memiliki kereta Proton Saga dan memiliki rumah bernilai antara RM50,000 hingga RM60,000 saja.

Mengulas lanjut, Khairil berkata hal berkaitan kereta adalah hak peribadi Hashim dan menggesa pihak yang tidak berpuas hati untuk membuat semakan sekali lagi berkaitan kereta itu.

“Itu hak peribadi dia. Barangkali kereta anak dia, senang je tuan pergi periksa kereta itu kereta dia atau tidak, mana boleh kaitkan macam itu,” katanya.

Beliau turut menafikan bahawa kereta tersebut mempunyai kaitan dengan dakwaan dana RM90 juta.

Katanya, sekiranya PAS mempunyai wang sebanyak itu mereka tidak akan membeli kereta sebaliknya berjuang untuk rakyat.

“(Kereta) tidak ada kaitan dengan dana RM90 juta. RM90 juta ini banyak, kalau kita dapat dana RM90 juta dan kami pejuang Islam, kami tak beli kereta, kami tolong rakyat,” katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Hashim berkaitan perkara ini dan menunggu maklum balas darinya.

Isu berkaitan kereta itu pernah timbul beberapa tahun lalu dan Hashim dilaporkan berkata kereta Porsche Cayman yang didaftarkan atas namanya adalah milik anaknya yang memiliki perniagaan sendiri.

Beliau menyifatkan menjadi mangsa usaha memburukkan namanya selaku pemimpin tertinggi PAS Perlis ketika itu.

“Saya sudah jelaskan kereta itu milik anak saya yang dibeli semasa di England tahun lalu, dengan harga kira-kira RM100,000.

“Dia menggunakan permit import (AP) kereta yang diperuntukkan kepada saya secara sah sebagai wakil rakyat,” beliau dipetik sebagai berkata.

Artikel Terkini

    Post a Comment Blogger

     
    Top