.... Melayu Undi DAP, Kit Siang Jadi Perdana Menteri - Mahathir | AAKJ




DAP boleh melupakan hasrat untuk menyaksikan pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri sekali pun berjaya membentuk Kerajaan Pusat menerusi kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Mahathir Perkara itu ditegaskan sendiri Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak boleh menjadi Perdana Menteri kerana DAP merupakan parti kecil.
“Kit Siang tidak boleh jadi Perdana Menteri melainkan orang Melayu undi DAP, tetapi orang Melayu hanya boleh undi PPBM, bukan DAP,” katanya ketika berucap dalam program Bicara Perdana PPBM di Balik Pulau di sini malam tadi.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kit Siang merupakan ketua umum pembangkang dan DAP perlu berhenti daripada cuba menyembunyikan perkara itu.

“Pengundi tahu bahawa DAP menguasai paling banyak kerusi dalam pakatan pembangkang dan Kit Siang sebenarnya yang menjadi ketua,” katanya menerusi laman sosial Twitter beliau baru-baru ini.

Sebelum ini, Dr. Mahathir mendedahkan DAP mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Menurut beliau, hasrat itu disuarakan sendiri DAP yang mahu jawatan kedua tertinggi dalam kerajaan berkenaan diserahkan kepada salah seorang pemimpin parti itu.

Ekoran itu, Kit Siang didesak pelbagai pihak untuk menyatakan dengan jelas pendiriannya sama ada mahu menerima jawatan tersebut atau sebaliknya.

Pendirian Kit Siang itu penting kerana rakyat perlu mengetahui parti mana yang akan memerintah negara jika mereka mengundi pembangkang yang diketuai DAP ketika ini.

Selepas diasak supaya berterus-terang, Kit Siang akhirnya mengakui bukan menjadi kesalahan kepada sesiapa pun untuk mempunyai cita-cita menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

DAP ketika ini mempunyai 37 kerusi Parlimen dan 92 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara iaitu parti pembangkang yang paling banyak memenangi kedua-dua kerusi berkenaan berbanding PKR dan Pas.

Kerusi DAP itu bagaimanapun berkurang masing-masing satu Parlimen dan tiga DUN selepas empat wakil rakyat mereka dari Melaka baru-baru ini bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.



Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top