.... 'China Beli Proton': Perkara Yang ProTun Gagal Jadi Cerdik | AAKJ



ALKISAH baru-baru ini, seorang rakan sembang media sosial saya buat ulasan panjang mengenai satu berita panas membabitkan masa depan syarikat pengeluar kereta Malaysia, Proton.

Berita berkenaan adalah mengenai usaha syarikat konglomerat DRB-Hicom, pemilik Proton, yang sudah di peringkat akhir untuk mendapatkan rakan kongsi asing kepada syarikat pengeluar kereta negara itu.

Terkini, dilaporkan dua buah syarikat pengeluar kereta antarabangsa iaitu Geely dari China dan Groupe PSA dari Perancis menunjukkan minat yang amat dalam untuk menjadi rakan kongsi strategik kepada Proton.

Kedua-dua syarikat kenderaan gergasi ini dikatakan telah melakukan kajian secara terperinci dan penilaian sewajarnya sebelum membuat tawaran untuk menjadi rakan kerjasama automotif dengan pihak Proton.

Pemilihan sama Geely atau Groupe PSA yang bakal dimuktamadkan secara rasmi untuk menjadi rakan kongsi Proton mungkin diketahui tidak lama lagi atau paling lewat pun sebelum Julai tahun ini juga.

Apa yang menariknya, antara perkara pokok yang jadi isu tumpuan di dalam usaha menjadi rakan kongsi strategik ini, kedua-dua syarikat asing itu mahu penguasaan 51 peratus terhadap kilang Proton di Tanjung Malim, Perak.

Untuk makluman, kilang Proton yang terletak di tanah berkeluasan 517 hektar dan mula beroperasi sejak Ogos 2004 ini sudah sekian beberapa lama beroperasi di bawah tahap kemampuan sebenarnya.



Malah, menurut sumber industri automotif yang mempunyai akses terhadap operasi di kilang berkenaan, kapasiti pengeluaran di kilang Tanjung Malim kini hanyalah serendah 30 peratus sahaja.

Dalam kata lain contohnya, jika kemampuan sebenar kilang berkenaan adalah mengeluarkan 100,000 unit kereta sebulan, kini ia hanya setakat mengeluarkan sekitar 30,000 kereta sahaja dalam sebulan.

Dari sudut kos dan bisnes, keadaan ini adalah sesuatu yang membazir dan amat merugikan produktiviti. Berbalik kepada ulasan rakan saya tadi, ia memang diketahui lebih condong kepada pihak tidak menyebelahi kerajaan.

Maka dia pun hentam habis-habisan usaha ikhtiar dilakukan oleh DRB-Hicom ini dan menganggapnya sebagai satu lagi tindakan kerajaan Malaysia konon mahu menjual aset strategik negara kepada China.

Sebelum ini, beberapa isu pelaburan besar bernilai bilion ringgit dimenangi beberapa firma China seperti Forest City di Johor Bahru, projek kereta api Pantai Timur dan Bandar Malaysia di ibu negara turut dikecam hebatnya.

Bagi saya, isu rakan kongsi strategik Proton ini amat mudah difahami, tiada perkara yang bercabang dan bengkang-bengkok. Ia adalah atas pertimbangan perniagaan semata-mata dan tiada isu sentimental atau politik murahan.

Kita sebagai rakyat Malaysia yang mengaku sayangkan jenama Proton sepatutnya beri kepercayaan sepenuhnya kepada pihak yang benar-benar pakar, iaitu pengurusan syarikat kereta nasional itu untuk melakukan perubahan.



Sesungguhnya sudah lama Proton mencari rakan kongsi asing untuk meningkatkan lagi kemampuan produk terasnya iaitu kereta agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa, terutamanya di pasaran ASEAN.

Justeru bergabung dengan syarikat antarabangsa lain yang ada kemampuan kewangan lebih besar, selain memiliki kepakaran dalam pemasaran dan teknologi lebih baik akan membantu meningkatkan kemampuan Proton.

Tidak kiralah sama ada Geely atau Groupe PSA yang bakal menjadi rakan kongsi, gabungan tersebut adalah sesuatu yang pastinya memberi impak menang-menang kepada kedua-dua belah pihak.

Kebimbangan bahawa Proton akan dikuasai oleh syarikat asing tidak timbul sebenarnya kerana yang ingin mereka kuasai (51 peratus) hanyalah kilang Proton di Tanjung Malim, bukan seluruh syarikat Proton itu sendiri.

Satu lagi kilang Proton yang terletak di Shah Alam tidak termasuk di dalam perjanjian itu. Mana-mana syarikat pun jika diberi peluang untuk beroperasi di kilang Proton di Tanjung Malim itu pasti inginkan kuasa mentadbir.


Mereka juga mahu membuat keputusan yang lebih besar kerana model kereta atau kenderaan syarikat berkenaan yang bakal dikeluarkan di kilang itu adalah lebih banyak berbanding pengeluaran kereta Proton sendiri di situ.

Hujah rakan saya bahawa jika Geely yang bakal jadi rakan kongsi nanti maka ia boleh jejas identiti kereta nasional kita, selain pekerja tempatan bakal jadi kuli kepada pengurusan asing, bagi saya ini hanya suatu khayalan karut.

Sambil melawak, kawan saya berkata, Proton konon mungkin akan bertukar menjadi ‘Ploton’ dan lambang harimau Malaya di logo korporat rasmi Proton akan ditukar kepada lambang naga China. Memang karut sungguh!


Saya berpendapat, dengan adanya peningkatan terhadap pengeluaran kenderaan di kilang Proton Tanjung Malim, ia adalah suatu rahmat tersirat kepada peningkatan ekonomi negara kita sendiri secara tidak langsung.

Tidak masuk akal jika Geely akan bawa pekerja mahir China untuk bekerja di Tanjung Malim. Selain dapat tambah peluang pekerjaan kepada anak tempatan, ia juga memberi peluang kepada vendor kenderaan tempatan.

Ini termasuk pembekalan bahan mentah atau alat ganti untuk menampung pengeluaran kereta yang semakin bertambah itu. Keadaan ini juga akan merancakkan kegiatan ekonomi di sekitar Tanjung Malim.

Dengan meningkatnya permintaan terhadap perumahan oleh pekerja kilang, nilai hartanah di situ juga bakal meningkat, selain bertambahnya jumlah peniaga dan kilang kecil milik vendor di sekitar Tanjung Malim.

Semua nikmat ekonomi ini akan dirasai penduduk sekitar Tanjung Malim dan Hulu Selangor yang bersempadan dengannya. Ia adalah berkat kepada kesan rantaian hasil limpahan rezeki daripada kilang berkenaan.

Untuk makluman, syarikat Geely yang beribu pejabat di Hangzhou, Zhejiang itu kini adalah pemilik syarikat kereta penumpang Volvo sejak 2010, selain menjadi tuan punya kepada pembuat kereta British Taxi sejak 2012.

Sejak dikuasai oleh Geely, kereta Volvo malah semakin laris jualannya di seluruh dunia manakala jenamanya masih lagi utuh sebagai identiti kereta mewah Skandinavia yang bermutu tinggi dan berimej Sweden.

* Penulis Ahmad Salim Bachok ialah Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top