.... Bisnis Doa: Jangan Menipu Orang Yang Tidak Mampu Ke Tanah Suci | AAKJ





MASYARAKAT Malaysia beragama Islam baru-baru ini dikejutkan dengan kewujudan satu akaun laman Facebook dikenali sebagai Valet_Doa ,yang mendakwa menawarkan perkhidmatan kiriman doa untuk dibacakan di Tanah Suci.

“Dah bertahun berdoa tapi hajat belum makbul juga?… Valet_Doa bantu anda berdoa depan Kaabah – Confirm Makbul Cepat!.. Bermula Mac 2017,” antara status dalam Facebook tersebut.

Kewujudan Valet_Doa lantas menarik perhatian ramai hingga mencetuskan kemarahan dan rasa kurang senang netizen yang berpendapat ianya satu kerterlaluan.

Menerusi perkongsian dalam akaun Facebook, Valet_Doa menawarkan perkhidmatan kiriman doa dengan harga sekitar RM250 sehingga RM5,000, mengikut pakej-pakej yang telah ditawarkan.





Difahamkan, pengirim boleh memilih mana-mana tempat di Tanah Suci untuk doa mereka dibacakan. Namun, berbeza harganya mengikut ‘tahap kemakbulan tempat doa itu’.

Valet_Doa turut mendakwa servis yang ditawarkannya ini merupakan pertama seumpamanya yang wujud di muka bumi ini.

Menurut pemilik akaun itu, Nasrin Harin, atau Haji Arin, 40, dia memperkenalkan servis sedemikian bagi membantu menyampaikan doa orang ramai yang tidak mampu ke Makkah.

Sementara itu, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang diminta mengulas isu ‘Valet_Doa’ ini menyifatkan, perbuatan itu sebagai mengarut.

Jelasnya, doa tidak boleh diniagakan dan Allah SWT yang menentukan sama ada cepat atau lambat doa itu dimakbulkan.

“Ini perbuatan mengarut. Doa paling penting adalah kita doakan sendiri. Minta kepada Allah SWT di mana-mana sahaja.

“Konon dia(Valet_Doa) cakap pergi Makkah, tolong doakan orang dan confirm termakbul. Mengarut. Doa ini adalah hak Allah SWT. Allah SWT yang menentukan cepat lambat doa itu. Doa tidak boleh diniagakan.

“Sebagai seorang saudara sesama Islam, kita patut doakan saudara kita seikhlasnya bukan lakukan sebagai perniagaan,” katanya yang dihubungi Mynewshub.

Dalam pada itu, Harussani turut menyifatkan individu yang percaya dengan Valet_Doa ini, tidak percaya diri sendiri untuk berdoa.

“Orang yang percaya dapatkan perkhidmatan Valet_Doa ini terdesak, tiada ilmu dan langsung tak percaya diri sendiri untuk berdoa.

“Kalau nak makbul, menghadap Allah SWT lakukan solat Tahajjud malam-malam. Insyallah apa yang dihajati dapat,” ujarnya lagi.

Jawapan balas

Pengasasnya Valet Doa Hasrin Harin tetap mahu meneruskan perkhidmatannya walaupun berdepan kecaman orang ramai dan teguran alim ulama.

Mengulas saranan Mufti Wilayah Persekutuan supaya perniagaan seperti ini dibatalkan, Hasrin mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, kenyataan Datuk Dr Zulkifli Mohamad itu tidak menyebut dengan jelas sama ada perkara itu haram di sisi Islam.

“Ya (akan teruskan) sebab mufti pun tak berani cakap haram, sebab tidak langgar syariat. Cuma dia takut fitnah orang ke atas agama.

“Pendapat saya jika boleh dibuat dengan baik, jadikan contoh, ada kebaikan.

“Jadi kami ada dalil masing-masing,” katanya melalui pesanan WhatsApp ketika menjawab soalan Malaysiakini.

Zulkifli dalam tulisan panjangnya hari ini menyarankan perniagaan seperti itu dibatalkan agar Islam terhindar daripada fitnah-fitnah dan eksploitasi ibadah.

Berdasarkan status di Facebook, perkhidmatan membaca doa itu ditawarkan dengan harga dari RM250 sehingga RM5,000, mengikut pakej-pakej yang ditawarkan

Antara pakej tersebut adalah Pakej King Salman dan Pakej VVIP malah, pengirim boleh memilih mana-mana tempat di Tanah Suci untuk doa mereka dibacakan.

Perniagaan itu mengundang kritikan meluas pengguna Internet, yang menganggap beliau mempergunakan agama untuk mencari keuntungan dunia.

'Bukan bawa orang buat maksiat'

Sementara itu, myMetro melaporkan Hasrin sebagai mempertahankan perniagaannya bagi memudahkan individu yang tidak dapat pergi menunaikan umrah dalam masa terdekat.

"Ini termasuk individu yang tidak berkemampuan untuk pergi kerana halangan seperti sakit atau terbabit dalam kemalangan.

“Saya yakin perkhidmatan dengan dijalankan ini, saya bukan membawa orang ramai melakukan maksiat," katanya.

Katanya, beliau tidak main-main kerana jika itu niatnya sudah pasti beliau akan dipersoalkan kembali di akhirat kelak.

Aakj: 

1. Sejauh mana pihak yang kutip duit sebagai upah doa ini pasti bahawa mereka lakukan pada tempat yang mustajab? - janganlah kerana mereka yang tidak pernah ke Tanah Suci maka dengan mudah kita letakkan "tempat berdoa" yang hakikatnya bukan mudah untuk berdiri di bawah pancuran emas misalnya. Kalau 100 orang bayar doa melalui pakej tersebut, mampukah "company" yang berniaga doa ini melakukan doa sebanyak itu atau secara pukal sahaja?

2. Sebagai contoh - doa ketika solat 5 waktu di Tanah Suci, persoalan timbul, doa tersebut hanya sehari sahajakah, doa tersebut dibuat di kawasan mana?

Apabila Nabi saw tidak buat maka usah buat kerana itulah maksudnya bidaah yang menyesatkan.

Sekadar berkongsi - warga indonesia juga ada 'berniaga' cium hajarul aswad - RM150 hingga RM500 sekali kucupan.

Kepada yang tidak mampu ke Tanah Suci, berusaha dan berdoalah. Itu Rumah Allah dan Allah akan jemput siapa sahaja yang Dia suka. Jangan mudah putus asa. Bukan yang kaya majoritinya ke sana tapi yang dekat dengan Allah swt.

Artikel Terkini

    Post a Comment Blogger

     
    Top