.... Apabila Mahfuz Bercuti Jadi Ketua PAS Pokok Sena... | AAKJ



Selepas satu demi satu kenyataan memperlekeh kepemimpinan Pas dikeluarkan Datuk Mahfuz Omar, barisan Ahli Jawatankuasa Pas Pokok Sena iaitu kawasan yang pernah dipimpinnya selaku Yang Dipertua (YDP) sejak belasan tahun lalu, tampak sudah hilang sabar dengan kerenah Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Dalam sidang akhbar dike­tuai Pemangku YDP Pas kawasan tersebut, Wan Romani Wan Salim, mereka mendakwa Mahfuz seorang yang tidak berinte­griti serta tidak bertanggungjawab sehingga tidak me­layakkannya untuk terus bersama dengan parti bertunjangkan Islam tersebut.

Jelas Wan Romani, segalanya bermula apabila Mahfuz mula bercuti daripada memegang jawatan YDP di kawasan tersebut bermula 1 Februari hingga 30 Oktober tahun lalu.

“Beberapa hari sebelum Mahfuz menghantar surat kepada Setiausaha Pas kawasan bagi menyatakan hasrat bercuti, saya tanya kepadanya mengenai hasrat itu dan beliau katakan keputusan tersebut dibuat bagi menumpukan perhatian mencari wang untuk membayar saman RM200,000 kepada Datuk Dr. Hasan Ali seperti ditetapkan mahkamah.

“Tetapi yang peliknya sepanjang tempoh bercuti itu, beliau boleh pula mengadakan program bersama PAN tanpa langsung merujuk kepada Pas. Bermula Februari itu juga sehingga ke hari ini, beliau tidak lagi menjejakkan kaki ke Kompleks Pas Pokok Sena walaupun tempoh bercutinya sudah tamat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Naib Yang Dipertuanya, Yahya Saad; Setia­usaha, Mohd. Firdaus Salleh; Ketua Muslimat, Mekiah Shamsuddin serta barisan ahli jawatankuasa Pas kawasan itu.

Ekoran tindak tanduk Mahfuz itu katanya, mesyuarat jawatankuasa tersebut pernah mencadangkan supaya bekas Naib Presiden Pas tersebut dipecat namun perkara itu tidak dilaksanakan kerana menghormati tempoh bercuti Mahfuz.

“Namun dalam satu mesyua­rat yang diadakan selepas beliau habis bercuti, semua jawatankuasa akhirnya bersetuju agar jawatan Mahfuz sebagai YDP kawasan dihentikan dan ditahan bermula 12 November lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Romani yang juga Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Bukit Pinang berkata, tindak tanduk Mahfuz yang tidak patuh arahan parti termasuk memberi beberapa kenyataan memperlekeh kepemim­pinan Pas, menunjukkan betapa Mahfuz kini cuma 'bertopeng' selaku ahli Pas dan beretorik.

“Dalam memperjuangkan Islam, mana ada cuti? Dengan tubuh badan yang sihat, elaun Parlimen berpuluh ribu, beliau boleh bercuti panjang daripada menjalankan amanah untuk parti yang bekerja keras membantunya menang dalam pilihan raya. Itu jelas menunjukkan yang Mahfuz tidak berintegriti serta tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Disebabkan itu katanya, Mahfuz yang dianggapnya sebagai ‘insan kecewa’ tidak mempunyai sebab untuk tidak mengisytiharkan dirinya keluar daripada Pas seperti didesak beberapa kepe­mimpinan parti sebelum ini.

“Kalau tak setuju, isytiharlah keluar parti. Kalau kita anggap baiah tak ada kaitan dengan dosa atau pahala, sila keluar dan usah takut untuk terikat dengan baiah kerana perbuatan itu menampakkan anda tidak berintegriti dan tidak mempunyai pendirian dalam politik,” katanya.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top