.... Pendedahan Skandal Mahathir Oleh Lim Kit Siang | AAKJ



Pendedahan dari lidah rasmi DAP ini sudah dianggap sampah oleh Lim Kit Siang?

Baca apa yang tertulis di portal Roketkini dan Aakj tidak mengubahkan kandungan asal (2012) supaya rakyat Malaysia boleh menilai tahap politik keji DAP dan pakatan haram mereka:

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh berpura-pura dan cuba lari daripada tanggungjawabnya berhubung skandal Malaysia Airlines (MAS) di mana sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, syarikat penerbangan yang menjadi kebanggaan negara merudum teruk dalam masa satu dekad sahaja.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata Mahathir takut menghadapi cabaran Datuk Zaid Ibrahim yang memintanya “menulis sebuah buku” tentang mengapa MAS diswastakan kepada Tan Sri Tajudin Ramli pada 1994, dengan memberi alasan beliau (Mahathir) bukanlah ketua syarikat penerbangan yang rugi itu.

“Mahathir cuba menulis semula sejarah 22 tahun menjadi Perdana Menteri seolah-olah beliau tidak tahu apa-apa dengan apa yang berlaku dalam pelbagai kementerian di bawah pentadbirannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Mahathir cuba menggambarkan seolah-olah beliau tidak terlibat dalam beberapa krisis besar negara sepanjang pemerintahannya termasuk:

* Krisis kehakiman paling teruk dalam sejarah negara dengan pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan hakim-hakim lain;

* Zaman paling gelap pencabulan hak asasi manusia dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) apabila membuat penangkapan besar-besaran di bawah Operasi Lalang pada 1987; dan

* Pelbagai skandal kewangan lain termasuk skandal MAS dan “jenayah kejam tanpa penjenayah” seperti skandal kewangan Mahathir yang pertama pada tahun 1983 – skandal RM2.5 bilion Bumiputra Malaysia Finance (BMF).

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Mahathir hilang kredibiliti apabila cuba menafikan beliau tidak bertanggungjawab dalam skandal MAS yang menyebabkan kerugian puluhan bilion ringgit.

Sedangkan, katanya, Tajudin Ramli yang diamanahkan menjaga MAS telah mendakwa bahawa Mahathir telah memaksa beliau (Tajudin) membeli MAS untuk membantu menyelamatkan Bank Negara selepas bank pusat itu mengalami kerugian pertukaran asing kerana spekulasi dalam mata wang asing oleh kerajaan UMNO-BN.

Katanya, Tajudin telah menguasai 29 peratus saham MAS pada 1994 daripada Bank Negara membayar RM8 seunit saham sedangkan harga pasaran ketika itu hanyalah separuh daripada nilai tersebut.

Menurut Kit Siang, Tajudin mendakwa beliau enggan membeli MAS tetapi menuduh Mahathir memaksanya atas alasan “khidmat negara”.

Beliau menambah, Tajudin telah mengambil pinjaman RM1.8 bilion untuk membeli syarikat penerbangan itu tetapi beliau telah menandatangani perjanjian “overriding” yang membolehkannya menjual kembali kembali kepada kerajaan, dan kerajaan akan membayar ganti rugi terhadap sebarang kerugian yang ditanggungnya dengan menggunakan wang rakyat.

Justeru, beliau menjelaskan, Mahathir tidak boleh berlakon kononnya tidak tahu tentang apa yang sebenarnya terjadi dan perlu bertanggungjawab dan berani menjelaskan pekara sebenar demi rakyat dan negara. – Roketkini.com



Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top