Mahathir menolak untuk membawa PAS bergabung dengan Pakatan Harapan dan mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinannya boleh mengalahkan PAS dalam pertembungan pelbagai penjuru.

Dalam ucapannya yang dilihat bertujuan melemahkan usaha berterusan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menarik kerjasama parti Islam itu, bekas Perdana Menteri itu juga menolak kemungkinan pakatan kerjasama antara PH dan PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mahathir menzahirkan keyakinan bahawa pakatan PH dan PPBM sudah mencukupi untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).

"Kami bersedia untuk pertarungan tiga penjuru. Kami boleh menewaskan PAS dan BN juga," katanya.

Mahathir dipetik berkata demikian dalam satu temu bual dengan akhbar Singapura, The Sunday Times.

Pengerusi PPBM itu bagaimanapun, mengakui PAS cukup berpengaruh memecahkan undi pembangkang untuk keuntungan BN.

Biarpun kenyataannya menghina PAS, Dr Mahathir masih meminta PAS untuk berpihak kepada parti pembangkang persekutuan yang lain.

Beliau berkata, keengganan PAS menyokong pakatan pembangkang itu sama seperti membantu BN memenangi PRU-14. Mahathir turut menasihatkan parti pembangkang untuk mengetepikan perbezaan masing-masing dalam usaha mengambil alih pemerintahan BN.

Sementara itu, tinjauan Parti Keadilan Rakyat (PKR), baru-baru ini menunjukkan keputusan mengekalkan PAS di luar PH akan memecahkan undi pembangkang, sekali gus memberi BN 'kuasa' di Parlimen selepas pilihan raya umum akan datang.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, berkata cadangan rundingan kerjasama antara PAS dengan PPBM masih sukar untuk dimuktamadkan, malah menganggap gabungan politik bersama DAP, Parti Amanah Negara, PKR dan PPBM tidak sesuai dengan konsep perjuangan PAS.


Post a Comment Blogger

 
Top