Sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak di sini tetap berjalan seperti biasa walaupun hanya dua pelajar didaftarkan, seorang daripadanya murid tahun satu, bagi sesi persekolahan 2017.

Murid tahun satu yang baru mendaftar, Dhia Sofea Mohd Redzwan, 7, ditempatkan di dalam kelas seorang diri, dan mengikuti sesi pembelajaran mengikut sukatan pelajaran yang disediakan.

Guru besar sekolah itu, Azmah Zakaria berkata kehadiran Dhia Sofea menjadikan sekolah yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sini itu kini mempunyai dua pelajar, termasuk Ahmad Norsyarwani Ahmad Kamal, yang kini berada dalam tahun lima.

“Tahun dua, tiga, empat dan enam tidak mempunyai murid didaftarkan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata SK Tebing Rebak dibina sejak 1950-an dan kini mempunyai empat guru serta seorang kakitangan sokongan selain seorang guru besar.

Azmah berkata biarpun sekolah tersebut kurang murid sejak lebih 10 tahun lalu, namun sesi pembelajaran di sekolah diteruskan selagi terdapat pelajar yang mendaftar dan belajar.

“Dulu sekolah ini mempunyai lebih 200 murid, namun bila sebuah sekolah didirikan di kawasan seberang, maka jumlah murid mendaftar di SK Tebing Rebak semakin kurang,” katanya.

Azmah berkata Kampung Tebing Rebak mempunyai kurang daripada 100 penduduk kerana kebanyakan remaja lepasan sekolah berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki.

Sementara itu, Dhia Sofea ketika ditemui berkata walaupun berseorangan di dalam kelas, namun dia tidak berasa bosan kerana guru-guru memberi perhatian khusus kepadanya.

“Hari ini saya belajar macam-macam dari cikgu. Seronok. Tidak apalah saya (belajar) sorang, petang boleh jumpa kawan juga di sekolah agama,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi doktor.

Ibu Dhia Sofea, Noriyah Ismail, 29, berkata beliau memilih sekolah berkenaan kerana tidak mempunyai ramai murid sekali gus membolehkan guru-guru memberi perhatian kepada anaknya.

Sementara itu, Ahmad Norsyarwani berkata walaupun merupakan murid tahun lima tunggal, tetapi dia tetap seronok dan berazam mahu mencapai keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah tahun depan.


Post a Comment Blogger

 
Top