.... DAP ada minta jadi timbalan - Mahathir | AAKJ



DAP 'sedar diri' dan tidak pernah meminta jawatan Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak, dakwa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ujarnya, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa DAP akan memerintah negara ini sekiranya pengundi memilih Pakatan Harapan (PH), adalah tindakan yang mahu menakut-nakutkan rakyat khususnya kaum Melayu.  

"Kononnya kata Datuk Seri Najib, kalau Umno kalah, DAP menang, ia (DAP) akan jadi Perdana Menteri. Tak mungkin kerana kalau DAP nak menang, ia kena dapat sokongan parti Melayu yang lain.

"Mereka terang-terang kata kepada saya, bangsa Cina ini minoriti dalam negara ini...dan DAP tak pernah minta menjadi Perdana Menteri. 
"Tapi kalau timbalan itu, adalah.. Yang kata mereka nak jadi Perdana Menteri adalah Datuk Seri Najib untuk menakut-nakutkan orang Melayu," katanya dalam program Warga Putrajaya bersama Tun Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, malam tadi.
Mantan Perdana Menteri itu berkata, gambaran yang diberikan terhadap parti pimpinan Lim Guan Eng itu begitu buruk dan ia seolah seperti 'ditanam' dalam diri orang Melayu.

Namun katanya, DAP tidak cauvinis sebagaimana yang ditanggapi pelbagai pihak. 

"Dap ini bukanlah kuat sangat. Masa dalam Umno kita beri gambaran mereka ini sangat jahat, terlalu kecinaan dan sebagainya. Ia bukan parti Cina, ia parti pelbagai kaum.

"(Ketika hadiri satu majlis DAP), depan saya mereka berikrar menyokong Perlembagaan. Maknanya dia memperakui kedudukan raja Melayu, sokong bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsanaan, agama Islam sebagai agama rasmi negara dan keistimewaan Melayu," ujar beliau.

Semalam, Najib menyatakan bahawa DAP merupakan ketua sebenar yang menguasai pembangkang.

Kata beliau, menjadi lumrah politik apabila parti yang mendapat kerusi lebih di Parlimen berperanan menentukan hala tuju pakatan disertainya. 

Ketika Perhimpunan Agung Umno 2016, Disember lalu, Najib berkata PRU akan datang bakal memberi pilihan kepada rakyat sama ada mengekalkan keindukan kerajaan pimpinan Umno atau keindukan kerajaan pimpinan DAP yang mempunyai perjuangan sempit dan mengancam survival Bumiputera. 

Beliau berkata, hak dan keistimewaan orang Melayu serta peningkatan syiar Islam yang dipupuk dan dipertahankan Umno selama ini akan terhakis sekiranya pengundi memilih PH pimpinan DAP pada PRU14.

Baca juga di SINI

SUMBER

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top