GARA-GARA berang apabila buah-buahan jualan dirampas, dua peniaga nekad mengacukan pisau ke arah penguatkuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di kawasan berdekatan parkir motosikal di Pasar Awam Taman Berjaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.35 pagi semalam, dua lelaki berusia 28 dan 32 tahun yang menjual buah-buahan di kawasan larangan berniaga mengamuk selepas barang perniagaan mereka dirampas penguatkuasa.

Media tempatan melaporkan, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt. Shafee Abdul Samad berkata, penguatkuasa bertindak merampas meja dan kerusi bernilai kira-kira RM140 namun tindakan tersebut dipersoalkan dua lelaki tersebut yang mahukan penguatkuasa mengeluarkan borang untuk merampasnya.



Menurutnya, permintaan dua lelaki tersebut tidak dilayan sebaliknya penguatkuasa terus memuatkan barangan yang dirampas ke dalam lori.

Jelasnya, apabila lori itu mula beredar, dua lelaki tersebut terus menaiki lori MPSP serta menurunkan barang mereka.

“Berlaku kekecohan apabila dua lelaki itu bertindak memegang sebilah pisau berukuran kira-kira 30 sentimeter dan mengacukannya ke arah penguatkuasa serta memberi amaran.

“Tindakan pantas penguatkuasa dan anggota polis bantuan yang berada di tempat kejadian berjaya menahan dua lelaki tersebut sebelum menyerahkan kepada polis,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Kejadian tersebut menjadi viral di media sosial dan rata-rata netizen mengkritik tindakan penguatkuasa yang tidak menggunakan budi bicara dalam menjalankan tugas mereka.

“Aduh, rasanya kalau guna budi bicara dan bertimbang rasa, perkara macam ni takkan terjadi,” tulis Bobhisham Bobson. – MYNEWSHUB




Post a Comment Blogger

 
Top