.... Joran Untuk Rakyat, Ikan Untuk Kroni | AAKJ




Politik Mahathir Hanya Berkisar Tentang Kuasa Dan Harta

mykmu:

Mungkin rakyat Malaysia sudah mulai nampak apa yang sebenarnya Tun Dr Mahathir Muhamad buat selama beliau berada di dalam UMNO atau lebih tepat ketika beliau mula-mula masuk politik dan mula meninggalkan klinik kesihatan miliknya di Alor Star. Ditambah pula dengan menjadi Perdana Menteri Malaysia selama dua puluh dua tahun. Kini rakyat Malaysia mula nampak dengan begitu jelas, apa sebenarnya jasa Tun Dr Mahathir kepada rakyat negara ini terutamanya bangsanya sendiri dan agama anutannya?

Bolehkah kita andaikan contohnya KLCC itu sebagai hadiah kepada rakyat kerana KLCC telah memacakkan namanya di peta dunia sebagai menara kembar tertinggi di dunia? Rakyat kelas manakah yang mampu datang ke KLCC untuk berbelanja?

Sedangkan datang untuk ‘menengok-nengok’ sahaja pun perlu berbekalkan wang kertas RM50 atau serendah RM10 untuk bayaran parkir sekiranya datang dengan menahan lapar dan dahaga dan jumlah itu tidak termasuk kos petrol kenderaan sendiri atau tiket pergi dan balik menaiki pengangkutan awam.

Bagaimana pula dengan KLIA, lapangan terbang Antarabangsa yang terbesar di Asia? atau Asean? Rakyat atau kontraktor yang peroleh manfaat yang teramat besar seperti pembinaan KLCC? Sejauh mana manfaat rakyat dapat dari adanya lapangan terbang yang begitu besar saiznya? Jumlah pengguna lapangan terbang tersebut yang dipaparkan hampir setiap tahun di dada akhbar adalah majoritinya dari penumpang luar negara.

Bagaimana pula dengan kegagalan Mahathir merencanakan pengangkutan awam yang sememangnya itulah antara cara paling berkesan bagi sesebuah kerajaan membantu rakyat yang berhadapan dengan isu kos sara hidup di bandar besar terutamanya di lembah Klang dan Kuala Lumpur?

Rakyat mungkin tidak tahu bahawa apa sahaja yang ‘disentuh’ oleh Mahathir umpama bawa petaka kalau ianya berkait dengan rakyat. Lihat sahaja projek LRT-1 dan LRT-2. Kemana kesudahannya? Dari projek pengswastaan kepada menjadi ‘bailout’ oleh kerajaan. Berapa banyak wang negara mengalir kerana ketidakcekapan Mahathir dan kroninya?

Begitu juga dengan KL Monorail dan Bas Intrakota, menurut sumber, kedua projek ini juga bungkus dan kerajaan terpaksa bailout. Siapa yang untung, siapa yang kaya dan siapa yang kena kencing?

Itu antara contoh selama 22 tahun Mahathir berkuasa sebagai Perdana Menteri. Belum lagi kisah Perwaja, Forex, Bakun dan lain-lain lagi yang boleh anda baca di berita internet dengan hanya klik ‘google’ dan buatlah carian tentang skandal apa yang anda inginkan.

Kata bijak pandai politik, Mahathir kalau beliau gerakkan tangan kanannya, jangan kita lupa pula melihat apa yang tangan kirinya lakukan. Lihat sahaja bagaimana beliau caturkan kuasa politik dan aturkan kedudukan kroni. Menurut sumber, kroni Mahathir semuanya superkaya. Sinisnya, Mahathir pernah berkata, sudah sampai masanya kita memberi joran kepada rakyat adalah lebih baik dari memberi ikan, sudahnya rakyat dapat pancing sahaja, ikan semuany diberikan kepada kroni. Semua kroni ‘kenyang bak ikan buntal’

Tentang kuasa, rakyat Malaysia hari ini sudah mula celik mata. Dari beliau berjanji pada hari pertama untuk tidak campurtangan dalam urusan pentadbiran negara setelah berundur dari jawatan perdana menteri, hinggalah hari ini, beliau keluar UMNO dan menubuhkan sebuah parti dengan niat untuk hancurkan UMNO BN. Alasan Mahathir cukup mudah – untuk selamatkan Malaysia. Mahathir lupa sebelum slogan “Selamatkan Malaysia” beliau lancarkan slogan “Selamatkan UMNO”. Semuanya kerana PM Najib berkata beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri Proksi kepada Mahathir dan kumpulan konspiratornya. Adakah rakyat Malaysia mudah lupa?

Anda tentu pelik bukan? Pertamanya kenapa Mahathir berhenti secara tiba-tiba? Walaupun menurut Tan Sri Annuar Musa bahawa beliaulah individu pertama yang inginkan Mahathir berundur, namun ianya kerana alasan apa? Takkan hanya sekadar minta letak jawatan?

Bagaimana pula dengan ‘storyboard’ Mahathir yang dikatakan menyusun jalan cerita supaya anaknya Mukhriz menjadi Perdana Menteri selepas Datuk Seri Najib Tun Razak? Susunan cerita tersebut tersekat kerana kalah dengan Khairy Jamaluddin di pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, maka Mahathir amat kecewa dan mula menyerang Pak Lah dan Najib selepas itu dan sehinggalah kini Mahathir masih belum berhenti dari lakukan serangan.

Anda boleh nampak, apa cerita yang besar dan laris tentang Tun Dr Mahathir Muhamad kalau bukan cerita tentang politik beliau anak pinaknya. Cerita apa yang beliau buat untuk rakyat tidak mampu untuk dijadikan berita utama seperti yang dilakukan oleh Najib untuk rakyat sekarang ini. Kenapa tidak mampu, sebabnya mudah, semua projek prasarana Mahathir untuk kemudahan rakyat adalah gagal. Berjaya untungkan kroni tetapi mengoyakkan poket kerajaan pusat.

Lihat sahaja perjalanan Mahathir di penghujung usianya, apa yang beliau sedang lakukan sekarang kalau bukan berjuang untuk ‘hidupkan’ karier politik beliau dan anak pinaknya. Dari seorang negarawan yang disegani dan ditakuti lawan, kini beliau menjadi Haiwan Politik. Sanggup jilat apa sahaja yang beliau kahakkan sebelum ini termasuk sanggup bertuankan Kit Siang demi survival kuasa politik dan harta kroninya yang dikatakan miliknya juga namun tertahan di luar negara?

Tongkat rakyat dirampasnya, kroni diberi tiang seri supaya tidak tumbang selamanya.

Artikel Terkini

    Post a Comment Blogger

     
    Top