Allahhuakbar, nauzubillahhimizaliq! Itu sahaja yang mampu diucap apabila bekas perdana menteri Malaysia yang memerintah selama 22 tahun mengeluarkan kenyataan yang jelek tentang Islam dan lebih tepat lagi tentang indahnya Islam.


Islam itu indah. Islam itu mudah namun setiap wahyu yang terkandung di dalam kitab Allah swt, Al Quran itu bukan boleh ditafsir dengan akal singkat manusia. Walaupun akal manusia itu waras sekali pun. Allah swt dengan ehsanNya menghantar Nabi dan Rasul sejumlah 124 ribu orang untuk menjadi perantara antara manusia dan PenciptaNya. Ahli tafsir terbaik dan paling tepat adalah Nabi dan Rasul yang diutuskanNya. Tidak kiralah bersama dengan kitabullah mana sekali pun, Taurat, Zabur, Injil dan disempurnakan dengan wahyu terakhir, Al Quran melalui kekasihNya Nabi Muhammad s.aw.

Mereka adalah utusan Allah yang telah dimaksumkan supaya apa sahaja yang diperentahkan oleh Allah swt dapat dituruti dengan tepat dan betul oleh manusia yang diberikan akal waras. Setiap Nabi dan Rasul yang dihantar berlainan pengikutnya. Ada Nabi di hantar khas untuk dirinya sendiri - "infadi" seperti Nabi Khidir, ada Nabi dihantar untuk ahli keluarganya sahaja, untuk satu kaum sahaja, untuk satu negara sahaja dan akhirnya Nabi saw, pesuruhNya yang terakhir dihantar untuk seluruh ummat hingga hari kiamat.

Allah tunjukkan betapa umat terdahulu, mana-mana yang engkar dengan perintah Allah swt maka selepas Allah berikan had masa bertaubat. Sekiranya dilanggar had masa tersebut. Allah swt akan hukum umat tersebut dengan menghapuskannya sama sekali walaupun yang engkar adalah isteri atau anak kepada NabiNya ketika itu. Umat Nabi Musa yang engkar, Allah musnahkan di dalam lautan bersama Firaun. Umat Nabi Lut, Allah hancurkan termasuk isteri dan anak lelakinya. Malah banyak lagi kisah umat yang terdahulu Allah hancurkan apabila mereka melanggar perintah Allah ketika itu.

Kenapa Allah swt tunjukkan sebegitu rupa? Hukuman pembersihan manusia yang berdosa. Jawabnya mudah, Islam itu indah, sejak Nabi Adam as diturunkan, Allah tetapkan satu sahaja syarat. Mana-mana hambanya yang sujud dan patuh akan selamat dan yang engkar maka Allah akan binasakan di dunia ini lagi.

Kenapa umat Nabi Muhammad s.a.w Allah tidak musnahkan ketika di dunia ini di saat mereka engkar secara terang-terangan kepada perintah Allah swt?

Jawapannya mudah, Islam itu indah. Sebagai umat kepada Nabi yang terakhir, Allah beri kelebihan melalui Nabi saw yang juga Penghulu segala Nabi dan juga Nabi yang terakhir yang Allah turunkan ke dunia ini untuk manusia. Umat ini diberi tugas sambung kerja nubwah, kerja kenabian iaitu mengajak manusia menyembah Allah, taat perintah dan meninggalkan laranganNya. Tetapi dengan bersyarat, iaitu seperti yang ditunjukkan oleh Nabi saw dan Sahabat-Sahabatnya.

Seru manusia kepada Islam dengan hikmah, kalau tidak ingin datang (memeluk) Islam maka bayar jizyah/cukai dan kiranya engkar maka bersedia untuk diperangi. Itu keutamaan cara yang Nabi saw tunjukkan kepada umat akhir zaman. Kepada yang tidak atau kekal menolak Islam dan patuhi syarat maka Allah amat adil, di dunia ini hambaNya boleh menikmati apa sahaja yang Allah sediakan namun di akhirat, mereka yang kufur akan berdepan dengan janji Allah.

Namun masih lagi Allah bagi 'kelonggaran' kepada umat akhir zaman yang 'tidak pernah bersama' Nabi saw. Mereka yang tidak pernah melihat wajah Nabi saw dan tidak pernah mendengar suaranya. Allah memerintahkan agar menyeru manusia dengan penuh hikmah, "Sampaikanlah daripadaKu walaupun satu ayat".

Allah tahu umat akhir zaman imannya tidak setanding dengan para sahabat yang bersama dengan Nabi saw. Tetapi hukuman atau balasan di akhirat tetap sama menunggu kepada yang kekal dan berkeras tidak ingin menggunakan akal waras untuk berfikir "Siapakah Aku" di dunia ini. Dan sekiranya ada umat yang imannya umpama iman para sahabat maka Allah halalkan mereka bertindak mendakwah orang kafir kepada Islam seperti yang Nabi saw tunjukkan kepada kita di awal penyebaran agama Islam.

Adakah Mahathir fikir manusia ini Allah jadikan umpama barang mainan? Buat dan bebas begitu sahaja?

Adakah Mahathir fikir manusia yang engkar atau terang-terang engkar untuk masuk Islam boleh aman di hari akhirat?

Adakah Mahathir lupa perjalanan manusia sebenarnya bermula sebaik sahaja roh dicabut dari jasadnya?

Adakah Mahathir anggap cerita azab kubur itu hanya untuk orang Islam sahaja dan orang kafir boleh tidur lena di dalamnya?

Bagaimana tanggapan Mahathir tentang syurga dan neraka? Adakah nama kedua tempat tersebut hanya cerita dongeng? Atau menunggu untuk masuk ke dalam kubur baru hendak meraung meminta Allah hantar ke bumi walau sedetik hanya untuk sebut sepatah perkataan "Allah"?

Dalam Islam, gelaran munafik adalah kepada manusia yang bukan sahaja mengelirukan orang Islam yang lain tetapi mereka mengelirukan orang kafir supaya jangan tunduk dan sujud kepada Allah swt. Dan golongan ini akan wujud sehingga kiamat.

Kalaulah Abu Jahal pun Nabi saw dakwahkan hingga ke hujung nyawa, kalaulah Abu Talib, datuk kesayangan Baginda s.a.w pun didakwah dengan Islam hingga ke hujung nyawa, siapa Mahathir untuk kelirukan orang kafir terhadap indahnya Islam?

Jangan kerana undi politik maka Mahathir sanggup samakan kedudukan Islam dengan kepercayaan kafir yang lain.

Tidak susah untuk tahu diri kita tergolong di dalam "kaum munafik" atau sebaliknya.

Rakyat Malaysia khususnya umat Islam di negara ini, nilailah sendiri siapa Mahathir.

Indahnya umat Nabi s.a.w, mereka berbuat dosa, mereka boleh bertaubat sebelum diambil nyawanya dan terpulanglah kepada Allah swt untuk terima atau menolak taubat tersebut. Allah Maha Penyayang. Allahhuakbar!!




Post a Comment Blogger

 
Top