.... Seks Luar Tabii: Ustaz Kazim Saman RM8juta | AAKJ




PENDAKWAH terkenal, Datuk Uztaz Mohd Kazim Elias menuntut RM8 juta daripada ibu pelajar yang didakwa menfitnahnya berhubung isu pencabulan seksual dan seks luar tabii di Maahad Tahfiz Darul Barakah miliknya, Ogos lalu.

Tuntutan saman itu dibuat pada 18 November oleh firma guaman beliau, Khairul, Suhaila & Hazlina kepada Johanna Sarrah Harun Ronald yang difahamkan baharu menerimanya pada hari ini.

Menurut surat tuntutan itu, Johanna Sarrah diminta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari mulai tarikh serahan surat tersebut diterima.

Pengasas dan Pengetua Pusat Pendidikan Al Barakah itu mengatakan tuntutan ganti rugi itu dilakukan atas alasan fitnah yang menjejaskan imejnya sehingga sukar mendapat tawaran di kaca televisyen selain menjejaskan reputasi pusat tahfiz miliknya.





Kazim mendakwa, coretan wanita itu pada 2 Ogos lepas tidak menyebut namanya dan pusat pengajiannya namun bahagian ulasan komen pembaca di Facebook menyatakan dengan jelas.

Akibatnya, menurut surat tuntutan itu lagi, Kazim dalam tempoh itu telah dikecam, difitnah dan diprovokasikan oleh sesetengah pihak sehingga mengalami kerugian besar dalam karriernya sebagai seorang penceramah bebas.

Hujung Ogos lalu, Kazim menafikan berlaku pencabulan seksual dalam kalangan pelajarnya seperti yang diviralkan di media sosial.

Beliau mengakui, amat kecewa dan terkesan dengan viral insiden itu yang menyebabkan banyak tuduhan dan fitnah dilemparkan kepadanya serta pengurusan sekolah.

Pada 24 Ogos, polis telah menerima aduan mengenai dakwaan pencabulan seksual di sebuah‎ maahad tahfiz di Ipoh dan mengambil keterangan 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan sekolah terbabit.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 377E iaitu merangsang seorang kanak-kanak di bawah 14 tahun untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. – MYNEWSHUB

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top