.... Pembentangan Penuh Bajet 2017 Terengganu Oleh MB Razif | AAKJ



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

1. Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas

Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba – hambaKu yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.”

(Surah Al Fajr, ayat 27 – 30).

2. Alhamdulillah, saya ucap berbanyak syukur kepada Allah SWT yang mengizinkan saya membentangkan kepada Dewan yang mulia ini, Bajet Negeri Terengganu bagi Tahun 2017.

Pembentangan Enakmen yang bernama Enakmen Perbekalan Tahun 2017 ini adalah untuk mendapat pertimbangan Dewan yang mulia, bagi menggunakan sejumlah wang dari Kumpulan Wang Disatukan untuk membiayai Perbelanjaan Bekalan, Perkhidmatan dan Pembangunan Negeri pada tahun 2017.

Kenyataan lengkap cadangan untuk Bajet 2017 ini adalah sepertimana yang terkandung dalam Buku Bajet Negeri Tahun 2017.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
"Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan seorang daripada kamu ada benih tamar, dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat, maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala."(Hadis Riwayat Al-Bukhari)
3. Hadis ini menyarankan kepada kita supaya terus bekerja sehingga ke detik-detik terakhir kehidupan. Dengan masa di dunia ini yang berbaki tinggal hanya sedikit, kita harus terus bergegas membuat kerja amal dan kebaikan. Cabaran yang sedang dan akan kita hadapi bukan kepalang hebatnya.

Tantangan yang tiba, tidak menang tangan sekiranya asyik dilayan. Justeru, kita harus terus bergerak maju.

Kita perlu Bersama Melangkah Ke Hadapan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

4. Bajet 2017 pada kali ini bertemakan “Bersama Melangkah Ke Hadapan”. Tema ini dipilih kerana proses penyediaannya mengambil kira pandangan pelbagai lapisan masyarakat. Bajet ini telah dirangka bersama rakyat.

5. Melalui road show (dengan izin) Bengkel Bajet 2017 yang telah diadakan di semua lapan daerah, kita telah menghimpunkan lebih 400 wakil dari kalangan pemimpin masyarakat, wakil jabatan, wakil persatuan belia, mahasiswa dan golongan muda, wakil nelayan, pengusaha teksi, petani, guru, doktor, imam bilal, wakil industri perbankan, wakil wanita dan ibu tunggal, usahawan, wakil kaum minoriti, anak - anak Terengganu di perantauan, pengusaha industri pelancongan dan pensyarah universiti.

6. Berpandukan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang pertama iaitu Inklusif, Kerajaan Negeri telah turun bersemuka dengan pelbagai lapisan masyarakat, bertanya dengan jujur, mendengar dengan sabar, menerima dengan terbuka, mendapatkan maklum balas tentang apakah sebenarnya keperluan dan kehendak rakyat. Bajet ini telah mengambil kira pandangan rakyat. Justeru, tidak ada sebab kenapa bajet ini harus ditolak.

7. Hasilnya, sebanyak 502 cadangan, isu dan permasalahan telah dibangkitkan. Angka yang besar ini menunjukkan penglibatan sangat aktif dan positif oleh para peserta dalam sesi bengkel dan ini adalah sesuatu yang cukup membanggakan. Kesemua 502 cadangan, isu dan permasalahan ini telah dianalisa, dibincang dan disusun mengikut kategori dan keutamaan. Jelas sekali, proses keterlibatan atau engagement ini (dengan izin), sesuatu yang baik untuk kerajaan dan rakyat. Ianya memberi peluang kepada rakyat bersuara melalui saluran yang betul, bukan melalui demonstrasi jalanan. Ianya contoh sihat amalan demokrasi berparlimen di Malaysia. Insya Allah ianya akan kita teruskan.

8. Buat semua peserta yang terlibat, serta urusetia di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Perbendaharaan Negeri, Unit Perancang Ekonomi Negeri dan urusetia di Peringkat Daerah - Daerah, terima kasih, syabas dan tahniah saya ucapkan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

LANSKAP EKONOMI GLOBAL YANG TIDAK MENENTU

9. Persekitaran ekonomi global bagi tahun 2016 dan seterusnya, dilihat oleh ramai penganalisa ekonomi sebagai sangat mencabar. Bank Dunia telah mengunjurkan pertumbuhan rendah ekonomi global iaitu pada kadar 2.4% bagi tahun 2016. Unjuran pertumbuhan yang begitu rendah ini adalah disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang sangat lembap di Negara – Negara maju, kejatuhan harga komoditi dunia, khasnya petroleum dan minyak sawit, serta dagangan global yang lemah. Inilah kebiasaan yang baharu atau the new normal (dengan izin). Keadaan tidak akan sama lagi seperti dahulu. Ibarat orang sedang bersilat, buah balas kita dalam menghadapi kebiasaan yang baharu ini perlukan langkah yang benar – benar mencabar kelaziman.

10. Sungguhpun Pungutan Suara di United Kingdom yang mencetuskan Brexit (dengan izin) tidak mendatangkan impak langsung besar kepada Malaysia, ia telah mengakibatkan ketidaktentuan ekonomi di kalangan Negara – Negara Eropah.

Para penganalisa ekonomi juga melihat pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan. Majalah The Economist (dengan izin) contohnya, menyatakan pemilihan Trump sebagai Presiden mendatangkan impak sangat besar ke atas ekonomi Amerika dan dunia, dan ianya perlu dibayar dengan harga yang tinggi.

11. Berikutan berlakunya ketidaktentuan ekonomi di Eropah dan Negara Amerika Syarikat, maka langkah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk mengalihkan tumpuan ke Negara China adalah suatu tindakan yang sangat strategik, cukup bijaksana dan berpandangan jauh. Kira-kira RM144 bilion nilai pelaburan perniagaan ditandatangani menerusi 14 memorandum persefahaman, selain 16 perjanjian kerajaan dengan kerajaan.

12. Manfaat yang bakal rakyat Terengganu perolehi hasil daripada lawatan ini sangatlah besar. Bukan tempiasnya sahaja yang akan kita terima, ataupun setakat menghidu bau ataupun sekadar menghirup kuahnya sahaja. Tetapi rakyat dan Negeri Terengganu bakal menikmati isi dan lauk malahan pencuci mulutnya sekali. Ini adalah kerana pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), laluan landasan berkembar kereta api menghubungkan Kuala Lumpur dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur seperti Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu dan Tumpat, akan merangsang pertumbuhan sosioekonomi kawasan ini dan membawa banyak manfaat kepada rakyat Negeri-Negeri di Pantai Timur khasnya di Negeri Terengganu.

13. Justeru, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi – tinggi tahniah kepada Kerajaan Malaysia dan Yang Amat Berhormat Dato‟ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, di atas kejayaan besar lagi cukup bersejarah, lawatan rasmi beliau ke Negara China baru-baru ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

EKONOMI MALAYSIA YANG BERDAYA TAHAN

14. Ekonomi Malaysia merupakan sebuah ekonomi terbuka. Negara mengambil manfaat daripada aktiviti ekonomi dan pasaran global. Oleh itu, ia terdedah kepada ketidaktentuan perdagangan luar dan aliran modal antarabangsa. Di sebalik kelembapan pertumbuhan ekonomi dunia, kejatuhan merudum harga komoditi khasnya petroleum, permintaan lembap pasaran eksport dunia serta ketidaktentuan yang menyelubungi persekitaran ekonomi global, Negara kita tetap mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik iaitu pada kadar 4 hingga 4.5% bagi tahun 2016 dan unjuran 4 hingga 5% bagi tahun 2017.

15. Malah pengurusan ekonomi dan dasar fiskal Negara yang baik, telah diperakui dunia. Saya membuat kenyataan ini berdasarkan indikator urus tadbir ekonomi yang dikeluarkan oleh badan – badan ekonomi dunia mahupun agen penarafan global. Misalnya, Thomson Reuters State of The Global Islamic Economy Report (dengan izin) meletakkan Negara Malaysia di ranking pertama daripada 58 negara untuk Global Islamic Economy Indicator dan untuk Islamic Finance Indicator (dengan izin) bagi tahun 2015/2016.

16. Bloomberg (dengan izin) pula meletakkan Malaysia di kedudukan ke 7 daripada 57 negara yang ekonominya paling berdaya maju. Laporan Daya Saing Dunia IMD bagi tahun 2016 pula meletakkan Malaysia sebagai Negara yang ke-19 paling berdaya saing di dunia berbanding 61 buah Negara lain. Majalah perniagaan Forbes (dengan izin) pula telah meletakkan Malaysia sebagai Negara yang ke-34 terbaik menjalankan perniagaan daripada 144 buah Negara.

17. Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah menyenaraikan Malaysia di tangga ke-25 daripada 140 buah Negara, dalam Global Competitiveness Report (dengan izin) bagi tahun 2016/2017. Agensi penarafan kredit Fitch Ratings (dengan izin) pula mengekalkan penarafan negara kepada A- dengan prestasi stabil. Penarafan ini mencerminkan asas-asas ekonomi Negara yang kukuh.

18. Ini cuma sebahagian kecil bukti yang menunjukkan asas ekonomi Negara masih kukuh dan ekonomi kita masih diurus dengan baik walaupun suasana ekonomi tidak menentu. Malah ada dari kalangan pembangkang sendiri yang memperakui kehebatan ekonomi Negara. Mereka menyatakan bahawa apanak dihairankan apabila seorang pemimpin muda mereka membeli rumah besar macam Disneyland (dengan izin) yang bernilai RM 1 juta dan memiliki kereta - kereta mewah, kerana menurut mereka, sudah ramai orang muda di Malaysia yang kaya sekarang ini. Justeru tahniah kerana turut sama memperakui kemampuan kerajaan mengurus ekonomi dengan baik sehingga ramai orang muda di Malaysia yang kaya.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

19. Saya perlu nyatakan semua pencapaian ini bagi menangkis begitu banyak fitnah yang menyatakan Kerajaan Malaysia sudah muflis, Negara Malaysia sudah bankrap. Yang muflis dan bankrapnya bukan Kerajaan Malaysia. Yang muflis dan bankrap ialah mereka yang mengeluarkan pelbagai fitnah bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

20. Malang sekali, ramai yang termakan dan terpedaya dengan dedak berupa fitnah termasuk 3,954 pendeposit Tabung Haji yang telah menutup akaun mereka. Malah ada yang sanggup membatalkan pendaftaran mengerjakan Ibadat Haji ke Mekah. Semuanya gara – gara fitnah pihak tertentu yang mengatakan Tabung Haji rugi dan tidak cukup dana untuk membayar wang mereka. Termakan dedak sekurang – kurangnya dapat makan. Termakan fitnah, buruk padahnya. Semoga Allah SWT mengurniakan taufik dan hidayah kepada kita semua.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

21. Sebenarnya, penyelesaian yang perlu diambil bagi menghadapi kemelut ekonomi yang berlaku di seluruh dunia adalah dengan melakukan transformasi ekonomi yang bersifat jangka panjang. Ubat yang dimakan mungkin pahit untuk ditelan, tetapi ianya berkesan dan dapat menyelamatkan rakyat daripada kesusahan yang lebih teruk.

22. Oleh sebab inilah, saya ingin mengajak seluruh rakyat untuk sama-sama rapatkan saf, kerana Kerajaan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri setidak – tidaknya, sedang berusaha bersungguh – sungguh untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dalam berhadapan dengan cabaran ekonomi dunia dan Negara. Sebagai Negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, kita perlukan kerajaan yang kuat dan stabil untuk berhadapan dengan ekonomi dunia yang sangat sukar dan tidak menentu.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

KESAN LANGSUNG KE ATAS EKONOMI NEGERI

23. Kelembapan ekonomi dunia dan kejatuhan merudum harga minyak telah mendatangkan impak langsung kepada kedudukan kewangan Negeri. 85% daripada keseluruhan hasil Negeri adalah daripada Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang bersumberkan hasil galian minyak dan gas. Kejatuhan merudum harga minyak telah menyebabkan Peruntukan DKKP berkurang sebanyak 45.16% daripada terimaan pada tahun 2015.

24. Selain usaha berterusan untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas, Kerajaan Negeri juga sedang berusaha untuk merubah struktur ekonomi daripada yang dipacu oleh sektor awam kepada struktur ekonomi yang dipacu oleh sektor swasta. Ini adalah satu cabaran yang besar.

25. Untuk itu, Kerajaan Negeri beriltizam memastikan kejayaan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi Terengganu (TETP). TETP memerlukan sedikit masa untuk dituai hasilnya kerana ia bersifat program transformasi ekonomi jangka sederhana iaitu selama 5 tahun. Melalui TETP, kadar pertumbuhan ekonomi Negeri disasarkan meningkat daripada 4.4% dalam tahun semasa, iaitu satu angka yang sangat baik dalam senario ekonomi dunia sekarang, kepada 8% pada tahun 2020 dan seterusnya.

26. Tegasnya, apa yang berlaku di luar sana mendatangkan kesan langsung kepada kita di Terengganu. Mesej saya hari ini ialah, di sebalik kelembapan ekonomi dunia dan cabaran kejatuhan harga minyak, kita mesti tetap bersama melangkah ke hadapan. Justeru saya ingin menyeru semua rakyat untuk bersama dengan Kerajaan dalam kita menghadapi persekitaran ekonomi dunia dan turun naik harga minyak yang tidak menentu ini. Hanya dengan perpaduan dan penyatuan, baik penyatuan hati, pemikiran, emosi dan tindakan, Insya Allah, kita dapat harungi bersama cabaran ini dengan jayanya.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

ANGGARAN HASIL 2017

27. Anggaran perolehan hasil Kerajaan Negeri bagi tahun 2017 dijangka sebanyak RM 1.697 bilion. Pada tahun 2016, anggaran perolehan hasil ialah sebanyak RM 2.02 bilion. Namun setelah dibuat pengubahsuaian, anggaran hasil yang dijangka adalah RM1.473 bilion.

Berdasarkan angka – angka ini, 2 perkara ingin saya sentuh.

28. Pertama, pengubahsuaian perbelanjaan yang dibuat adalah berdasarkan keadaan dan situasi yang sebenar dan realistik. Kita tidak membuat bajet angan-angan apatah lagi membuat perbelanjaan di luar kemampuan kita untuk berbelanja.

29. Kedua, langkah pengubahsuaian adalah sangat tepat kerana terbukti, dengan jangkaan hasil yang bertambah pada tahun hadapan (berbanding angka selepas dibuat pengubahsuaian dalam tahun semasa), kita kini mempunyai ruang dan fleksibiliti untuk mengurus kewangan Negeri dengan lebih selesa.

30. Kerajaan Negeri juga menjangka pendapatan daripada Hasil Cukai adalah sebanyak RM 58.73 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM 202.4 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM1.436 bilion. Daripada jumlah tersebut, 77.36% adalah daripada pemberian Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP), sementara baki 22.64% adalah daripada hasil Negeri sendiri.

31. Sesuatu yang positif daripada angka – angka ini ialah hasil selain daripada DKKP semakin meningkat dan kebergantungan Kerajaan Negeri kepada DKKP semakin berkurang iaitu daripada 85% dalam tahun semasa, menurun kepada 77.36% dalam tahun 2017. Ini adalah satu strategi yang kita akan teruskan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

ANGGARAN BELANJAWAN 2017

32. Untuk Bajet 2017, Kerajaan telah menyediakan dasar pengurusan bajet defisit sebanyak 10%. Perbelanjaan adalah dianggarkan sebanyak RM1.867 bilion berbanding anggaran hasil sebanyak RM1.697 bilion.

33. Melalui angka – angka ini, Kerajaan mencadangkan sejumlah RM1.867 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus, RM739.70 juta untuk Pembangunan dan RM2.97 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.

34. Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM85 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM1.782 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

35. Di bawah Perbelanjaan Bekalan pula, sebanyak RM1.272 bilion diperuntukkan untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM287.9 juta untuk Perbelanjaan Emolumen, RM192.24 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM28.24 juta untuk Aset dan RM1.16 juta untuk Lain-Lain Perbelanjaan.

36. Di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM540 juta akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi melaksanakan Projek- Projek Pembangunan, RM200 juta bagi pemberian kepada

Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun, RM118 juta bagi pemberian kepada Pelbagai Agensi dan Kumpulan Wang, RM57.86 juta bagi bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan RM304.24 juta bagi pelbagai program di bawah kawalan Pejabat Setiausaha Kerajaan Vot B32 - Pelbagai Perkhidmatan.

37. Dari segi agihan mengikut Sektor Pembangunan, 63% atau sebanyak RM466.9 juta telah diperuntukkan untuk Pembangunan Sosial, merangkumi 5 sektor iaitu Pendidikan, Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pembangunan Bandar & Luar Bandar, Sukan dan Perumahan, 27% atau RM197.18 juta untuk Pentadbiran, merangkumi 4 sektor iaitu Teknologi Maklumat (ICT), Pentadbiran Am, Projek Khas dan Projek Penting Luar Jangka dan 10% atau RM77.61 juta untuk Ekonomi, merangkumi 3 sektor iaitu Pertanian, Pelancongan dan Industri termasuk IKS.

Yang Berhormat Dato' Yang Di Pertua,

PENGURUSAN KEWANGAN SECARA BERHEMAT

38. Ekoran kejatuhan merudum harga minyak di penghujung tahun 2015, maka pada Januari 2016, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah drastik dan bersegera dengan melakukan pengubahsuaian terhadap Bajet tahun 2016. Sekatan perbelanjaan telah dikenakan ke atas peruntukan yang diluluskan kepada setiap jabatan. Ianya bagi mengimbangi kekangan hasil Kerajaan Negeri yang dijangka berkurang dengan ketara pada tahun semasa. Ianya juga mengambil kira elemen hasil daripada DKKP yang bergantung kepada harga minyak dunia sebagai penanda aras. Hakikatnya, inisiatif dan langkah pengubahsuaian ini telah dibuat lebih awal daripada Kerajaan Persekutuan.

39. Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan yang sama sepertimana tahun 2016 supaya jumlah perbelanjaan mencukupi dan projek-projek pembangunan dapat diteruskan.

40. Saya juga ingin maklumkan kepada Dewan Yang Mulia ini bahawa Bajet yang saya bentangkan ini turut tertakluk kepada pengubahsuaian tertentu dengan mengambil kira jumlah hasil yang dianggar dapat dikutip. Kerajaan Negeri akan mengamalkan „Outcome Based Budgeting‟ (dengan izin) bagi memastikan konsep “Value For Money” (dengan izin), tercapai.

41. Langkah – langkah tambahan pengawalan bajet dan pengurusan kewangan berhemat adalah seperti berikut:

42. Yang Pertama : Perbelanjaan secara “Hands On” (dengan izin) Jika sebelum ini peruntukan bagi sesuatu program diberi sekaligus kepada sesuatu jabatan yang meliputi kos pengurusan, tetapi pada tahun 2017, kos menganjurkan program diasingkan dan perlu diangkat permohonan setiap kali program dibuat. Kita yakin melalui cara ini, pengurusan perbelanjaan yang dilaksanakan adalah lebih telus mengikut peraturan. Ini juga dapat meningkatkan lagi akauntabiliti perbelanjaan dan mengawal dari kemungkinan berlakunya sebarang ketirisan.

43. Yang Kedua : Mengoptimumkan sumber yang ada (do more with less) (dengan izin) Bak kata pepatah, Ukur baju di badan sendiri. Berbelanjalah mengikut keperluan dan kemampuan. Sekiranya sebelum ini kursus-kursus atau mesyuarat diadakan di Hotel atau di luar kawasan, maka pada tahun 2017 semua jabatan dan agensi Kerajaan diwajib menggunakan kemudahan dan fasiliti Kerajaan sedia ada sebagai satu langkah penjimatan. Selain itu, program-program yang dilaksanakan pula mestilah memberi impak langsung kepada rakyat.

44. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada para pegawai dan pentadbir yang telah menguruskan kewangan Negeri dengan baik. Kerajaan Negeri telah menerima pengiktirafan “Sijil Bersih” bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun 2015. Dan yang terbaharu, 8 buah Jabatan Negeri telah menerima Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan INDEKS AKAUNTABILITI 2015. Ini menunjukkan pengurusan kewangan kita adalah cekap dan menepati piawaian yang ditetapkan.

Saya ucap Syabas dan Tahniah.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

STRATEGI DAN KEUTAMAAN BAJET 2017

45. Bajet 2017 menggariskan tiga strategi dalam mencorakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan:

STRATEGI PERTAMA : Meningkatkan Keupayaan Daya Tahan Ekonomi Negeri Dalam Mendepani Suasana Ekonomi Dunia Yang Tidak Menentu

STRATEGI KEDUA : Memperkasa Pembangunan Modal Insan Sebagai Pelaburan Jangka Panjang Yang Terjamin Keuntungannya

STRATEGI KETIGA : Mengutamakan Kesejahteraan Rakyat Melalui Pengwujudan Peluang Membangunkan Kapasiti

46. Bagi memastikan tiga strategi yang digariskan tercapai, enam sektor teras akan diberi perhatian khusus melalui Bajet ini:

Pertama : Pelancongan
Kedua : Pendidikan
Ketiga : Belia & Sukan
Keempat : Pekerjaan
Kelima : Perumahan
Keenam : Kesihatan

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

STRATEGI PERTAMA: Meningkatkan Keupayaan Daya Tahan Ekonomi Negeri Dalam Mendepani Suasana Ekonomi Dunia Yang Tidak Menentu Sektor Pelancongan Kita perlu terus Bersama Melangkah ke Hadapan.

47. Kebergantungan besar kita ke atas hasil minyak dan gas adalah sesuatu yang tidak mampan atau sustainable (dengan izin).

48. Industri pelancongan merupakan industri kedua terpenting selepas industri minyak dan gas. Potensi industri ini untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri sangat besar. Ianya turut berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelbagai aktiviti rantaian seperti perniagaan, perusahaan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan.

49. Sehingga Ogos 2016, seramai 3.63 juta pelancong telah berkunjung ke Terengganu. Kerajaan negeri yakin pada akhir tahun ini, bilangan pelancong akan melebihi angka 4.7 sepertimana yang telah direkodkan pada tahun 2015.

50. Bagi lebih menzahirkan potensi industri pelancongan untuk menyumbang kepada kebaikan rakyat dan kemajuan Kerajaan Negeri, pada tahun 2017 telah ditetapkan sebagai tahun melawat Terengganu (TMT 2017) atau Visit Beautiful Terengganu (dengan izin)

51. Dalam usaha Kerajaan menyeragamkan usaha galakan pelancongan, 4 kluster produk dan destinasi telah dibentuk:

Kluster Pertama : Pantai & Pulau

Kluster Kedua : Tasik Kenyir

Kluster Ketiga : Bandaraya Warisan Pesisir Air Kuala Terengganu

Kluster Keempat : Lain-Lain Produk termasuk Seni & Budaya, Sejarah Warisan dan Destinasi berkonsepkan Eco, Nature & Adventure (dengan izin).

52. Kejayaan penganjuran Pesona Terengganu 2015 telah diteruskan dengan penganjuran Beautiful Terengganu 2016 (dengan izin). Kerajaan Negeri telah melancarkan Visit Beautiful Terengganu (dengan izin) di Plaza Angsana, Johor Bahru pada 23-27 Mac 2016, dan di Expo Hall Changi, Singapura pada 11-15 Ogos 2016. Di Johor Bahru, jualan T-Kitchen mencecah RM2 juta. Syabas dan tahniah diucapkan.

Walau bagaimanapun, pulangan yang diterima bukan sahaja dalam bentuk nilaian wang ringgit malah juga dari segi keberadaan dan sebagai satu strategi pemasaran.

53. Kejayaan Visit Beautiful Terengganu (dengan izin) menunjukkan kepada kita, bahawa promosi berterusan dan lebih giat amat perlu dalam merancakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu. Bertepatan dengan TMT 2017, sebanyak RM80 juta akan diperuntukkan untuk Sektor Pelancongan.

54. Bagi menjayakan TMT 2017, Kerajaan dengan ini mengumumkan 15 touch points (dengan izin) Sektor Pelancongan untuk dilaksanakan dalam Bajet 2017 sepertimana berikut:

55. Pertama - Memperkasa Pusat Penerangan Pelancongan sedia ada dan membuka Kiosk Penerangan Pelancongan di setiap Daerah. Dalam usaha Kerajaan Negeri memastikan ketelusan dan capaian maklumat pelancongan kepada pelancong, pusat-pusat maklumat pelancongan sedia ada akan diperkasakan.

Buat masa ini, telah wujud tiga Pusat Penerangan Pelancongan yang menyebarkan maklumat produk dan destinasi pelancongan Negeri iaitu di Bukit Puteri, Kuala Terengganu, di Geliga, Kemaman dan di Kuala Besut, Besut.

56. Kerajaan Negeri bercadang untuk memperluaskan skop penyebaran maklumat ke setiap daerah dalam usaha memberi kemudahan maksimum kepada pelancong. Pusat Penerangan Pelancongan Daerah akan dibuka di premis-premis sedia ada dan perlu diselaraskan dengan Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Daerah serta Jawatankuasa Pelancongan Daerah.

57. Kedua - Mewujudkan Mercu Tanda yang mempunyai nilai sejarah atau keunikan untuk Pelancongan di setiap daerah.

58. Ketiga - Menyediakan tempat khusus untuk Food Truck (dengan izin) .

Menyedari potensi besar industri Food Truck (dengan izin) di Terengganu dalam menyokong perkembangan aktiviti pelancongan, Kerajaan akan memperuntukkan RM200 ribu untuk membangunkan lokasi khusus Food Truck (dengan izin) di setiap daerah. Lokasi ini akan disediakan dengan kemudahan elektrik, air dan tandas awam. Dua lokasi yang telah dikenal pasti untuk projek perintis adalah di Pulau Warisan dan di Taman Shahbandar, Kuala Terengganu.

59. Keempat - Kempen Kebersihan dan Kesedaran untuk Menjaga Harta Awam.

60. Kelima – Memberi bantuan Kemeja Korporat atau Baju promosi sempena TMT 2017. Bersempena TMT 2017, Kerajaan akan mengagihkan kemeja atau baju rasmi TMT 2017 kepada frontliners (dengan izin) industri pelancongan. Sebanyak 1,146 helai Kemeja Korporat TMT 2017 akan diperuntukkan kepada 523 orang pemandu teksi aktif serta kepada 50 orang pemandu bas henti-henti Terengganu. Manakala, sejumlah 144 baju dan topi TMT 2017 pula diperuntukkan kepada 52 orang penarik beca dan 20 orang pengusaha bot penambang.

61. Keenam - Bantuan One-Off (dengan izin) kepada Penarik Beca & Pengusaha Bot Penambang untuk tujuan hiasan pengangkutan. Beca dan bot penambang merupakan salah satu daripada pengangkutan tradisional yang menjadi budaya dan warisan masyarakat tempatan. Pengangkutan ini sering mendapat permintaan daripada pelancong yang ingin mengalami keseronokan menaiki beca bagi mengunjungi tempat-tempat menarik yang berhampiran. Ada juga yang memilih untuk menaiki bot penambang dengan menyusuri Sungai Terengganu semata – mata untuk menikmati keindahan alam semulajadi dan kehidupan masyarakat setempat.

Bagi memberikan nafas baharu kepada beca dan bot penambang sebagai instrumen pengangkutan rekreasi, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif memperuntukkan RM50 ribu untuk manfaat 72 Penarik Beca dan Pengusaha Bot Penambang. Bantuan One-Off (dengan izin) ini adalah sehingga RM500 untuk Penarik Beca dan sehingga RM1,000nuntuk Pengusaha Bot Penambang dan hendaklah digunakan untuk kerja – kerja menghias sahaja.

62. Ketujuh - Bantuan Penyelenggaraan Bot & Jaket Keselamatan dengan Logo TMT 2017 di Tasik Kenyir. Tasik Kenyir merupakan destinasi eko pelancongan yang semakin mendapat tempat di hati pengunjung dalam dan luar negara. Penggunaan bot dengan kelengkapan yang mempunyai ciri – ciri keselamatan adalah penting, bukan sahaja dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan ke lokasi-lokasi menarik sekitar Tasik Kenyir malah mempertingkatkan keyakinan pelancong. Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM225 ribu bagi membekalkan 1,500 Jaket Keselamatan dengan logo TMT 2017 kepada lebih kurang 300 pengusaha bot tempatan yang aktif di Tasik Kenyir. Usaha ini adalah untuk menonjolkan imej positif pelancongan di samping memberi keyakinan kepada pengunjung di Tasik Kenyir dalam aspek keselamatan.

63. Kelapan - menaiktaraf kawasan - kawasan riadah keluarga dengan menyediakan Outdoor Gym (dengan izin) dan taman-taman permainan. Agenda menaiktaraf kemudahan di taman-taman rekreasi masih diteruskan. Ianya bertepatan dengan prinsip ketiga TTB iaitu “Keluarga Bahagia”. Dua lokasi Taman Awam (Public Park) (dengan izin) di Terengganu telah dikenal pasti untuk dinaiktaraf kelengkapannya termasuk penyediaan Outdoor Gym (dengan izin), iaitu di Kemaman Waterfront, Chukai dan di Taman Rekreasi Keluarga Pulau Kekabu, Marang. Buat permulaan, RM500 ribu akan diperuntukkan bagi tujuan ini.

64. Kesembilan - Menaiktaraf Rumah Kucing di Pantai Teluk Lipat, Dungun. Bajet 2017 adalah bajet untuk semua. Semua akan mendapat manfaat. Bukan rakyat sahaja yang bakal dapat manfaat, kucing juga tidak terkecuali. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM150 ribu bagi menaiktaraf dan membiayai kos penyelenggaraan Rumah Kucing di Pantai Teluk Lipat, Dungun yang pada masa ini, mampu menampung 200 ekor kucing pada satu-satu masa. Ini juga diharap dapat menjadi satu tarikan pelancongan serta menjadi galakan kepada pencinta kucing.

65. Kesepuluh - Mengadakan Kursus-Kursus Bahasa Inggeris jangka pendek untuk Frontliners Pelancongan (dengan izin). Kerajaan Negeri bercadang untuk mengadakan Kursus-Kursus Bahasa Inggeris Perbualan Jangka Pendek kepada pemandu teksi, pengusaha dan pemandu bot pelancongan, pemandu bas Cas Ligas, pengusaha kedai makan, kedai cenderahati dan kakitangan hotel dan resort. Program ini akan dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU). Kaedah pelaksanaan kursus hendaklah mudah dan tidak membebankan dari segi masa.

66. Kesebelas - Memperkasa Kompleks Sukan Negeri dengan mengadakan pelbagai aktiviti sukan rekreasi seperti Paramotor, Kapal Terbang atau Helikopter Kawalan Jauh Pelancongan sukan rekreasi adalah salah satu produk pelancongan yang berpotensi di Negeri Terengganu. Disamping itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk meletakkan Negeri Terengganu sebagai venue (dengan izin) pilihan kejohanan sukan rekreasi dan sukan ekstrim, baik di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa. Kompleks Sukan Negeri Terengganu akan dijadikan venue (dengan izin) kepada acara-acara sukan rekreasi pelancongan seperti sukan rekreasi paramotor, sukan payung terjun, sukan rekreasi kereta / kapal terbang / helikopter kawalan jauh, kejohanan cabaran drone, auto show dan sprint test (dengan izin) serta lain-lain sukan yang bersesuaian.

67. Kedua Belas - Mempertingkatkan hubungan dua hala Terengganu dengan Bandar Huaxi di China. Negara China mempunyai potensi besar menyumbang kepada jumlah kehadiran pelancong ke Negeri Terengganu. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan hubungan dua hala Malaysia – China yang semakin kukuh berikutan lawatan kerja Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang sangat berjaya ke negara China baru – baru ini. Justeru Kerajaan Negeri akan berusaha mempertingkatkan hubungan dua hala yang sudah terjalin di antara Negeri Terengganu dengan beberapa bandar utama seperti Huaxi di Negara China.

68. Ketiga belas - Bantuan tayar percuma kepada Pemandu Teksi. Sempena TMT 2017, jumlah pelancong yang bakal menggunakan kemudahan perkhidmatan teksi dijangka meningkat. Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan bantuan tayar dengan nilaian RM500 kepada semua ahli persatuan teksi tempatan. Bantuan ini adalah untuk ahli yang aktif sahaja. Seramai 523 orang pemandu teksi akan mendapat manfaat daripada program ini dengan peruntukan sebanyak RM262 ribu.

69. Keempat belas – Membaikpulih rumah-rumah sepanjang Sungai Kuala Terengganu dan memasang Rooftop Lighting (dengan izin) di rumah-rumah yang terlibat dengan Bandaraya Warisan Pesisir Air.

70. Kelima belas – Mewujudkan program Latihan Kemahiran Industri Pelancongan seperti Pemandu Pelancong kepada golongan Belia.

Di samping 15 touch points pelancongan ini (dengan izin), usaha penggalakan promosi dan aktiviti diselaraskan bersama melalui konsep National Blue Ocean Strategy (NBOS) (dengan izin) diantara jabatan-jabatan. Ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos malahmenunjukkan kesepakatan dan penyelarasan dalam menjayakan Visit Beautiful Terengganu 2017 (dengan izin).

Sektor Pertanian dan Perikanan

71. Keupayaan sektor pertanian sentiasa dipertingkatkan kerana sektor ini merupakan sumber makanan disamping menjadi punca pendapatan golongan yang terlibat. Sebanyak RM4.65 juta akan diperuntukkan melalui Bajet 2017 untuk program dan projek berbentuk „People Centric‟ (dengan izin) dengan impak terus kepada golongan sasar.

72. Projek Melon Manis Terengganu Sehingga Oktober 2016, Melon Manis Terengganu telah melahirkan 36 orang pengusaha dengan jumlah pengeluaran hampir 500 ribu kilogram, bersamaan dengan nilaian RM2 juta. Melihat kepada angka yang begitu memberangsangkan, Kerajaan bercadang untuk melahirkan 14 pengusaha lagi bagi meningkatkan pengeluaran Melon Manis Terengganu ini.RM200 ribu akan diperuntukkan bagi tujuan ini terutamanya bagi menampung kos infrastruktur berkaitan.

73. Pembinaan Unjam dan Tukun Tiruan Aktiviti pencerobohan pukat tunda ke dalam kawasan menangkap ikan nelayan tradisional (Zon A) iaitu kurang 5 batu nautika, telah menyebabkan kerugian besar kepada nelayan tradisional. Peralatan menangkap ikan menjadi rosak, ekosistem musnah dan habitat marin serta sumber perikanan marin merosot.Kerajaan dengan ini memperuntukkan RM250 ribu bagi pembinaan tukun penghalang pukat tunda yang dapat dimanfaatkan oleh 2,341 orang nelayan tradisional.

74. Madu Lebah dan Madu Kelulut boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan kepada petani dan pengusaha. Harganya boleh mencecah sehingga RM200 sekilogram. Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menggalakkan Program Penternakan Madu sebagai sumber pendapatan.Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk menjadikan Terengganu sebagai Hab Madu Lebah & Kelulut.

75. Berdasarkan Program Madu Ole-Ole Terengganu, kita telah mencatatkan nilai pengeluaran melebihi RM1 juta setakat Oktober 2016. Ianya satu jumlah yang sangat memberangsangkan. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM500 ribu bagi membekalkan peralatan seperti sarang dan kelengkapan berkaitan. Semoga ini dapat meningkatkan lagi pendapatan pengusaha madu lebah dan kelulut serta menggalakkan rakyat makan madu yang juga merupakan makanan Sunnah.

76. Pada 12 Ogos 2016, Kerajaan secara NBOS dengan Persatuan Penternak telah mewujudkan sebuah Pasar Ternakan di Manir. Dalam masa hanya 3 bulan, urusniaga yang dicatatkan mencecah hampir RM266 ribu. Melihat kepada sambutan yang menggalakkan, sebanyak RM70 ribu akan diperuntukkan bagi memperluaskan pasar ternakan ini ke Kemaman dan Besut.

77. Pelaksanaan Program Akuapolitan Kuala Nerus (AKN) di Seberang Pak Abu, Seberang Takir oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merupakan program pembasmian kemiskinan pertama di Malaysia yang berkonsepkan "Felda Laut‟. Ianya menekankan aspek integrasi dan penguasaan rantaian nilai oleh komuniti nelayan. Umumnya, 90 peratus daripada peserta terdiri daripada komuniti pesisir pantai yang terbabit dalam industri penangkapan ikan dan perusahaan yang berkaitan. Mereka merupakan kumpulan B40 dengan pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM3,050. Projek ini dijangka dapat meningkatkan kegiatan ekonomi seterusnya membantu dan mengubah nasib nelayan di Terengganu.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Pelaksanaan ProgramTransformasi Ekonomi Terengganu (TETP)

78. Kita harus terus Bersama Melangkah ke Hadapan. Namun melangkah ke hadapan tanpa sebarang perancangan hanyalah omongan kosong semata – mata.

79. Sewaktu pembentangan Ucapan Bajet 2016, saya telah menyebut tentang Program Transformasi Ekonomi Terengganu atau TETP. Tiga perkara ingin saya sentuh semula.

80. TETP telah mengenalpasti 5 sektor teras iaitu Pertama, Sektor Pembuatan, Minyak dan Gas; Kedua, Sektor Bioteknologi; Ketiga, Sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana atau SME; Keempat Sektor Komunikasi, Kandungan dan Maklumat (CCI) & Teknologi Baharu dan Kelima, Sektor Pelancongan.

81. Kedua, saya juga telah memaklumkan bahawa objektif MEN-T adalah untuk mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan ekonomi semasa dan juga untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Terengganu ke satu tahap yang lebih hebat.

82. Dalam konteks suasana ekonomi global yang muram, kita harus sentiasa melihat ke hadapan, menghidu peluang yang ada dan bukan melihat pada halangan yang dicipta.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

83. Saya bukan pakar ekonomi, tetapi sebagai pemimpin Negeri Terengganu, saya mahu lihat Terengganu menjadi sebuah Negeri yang ekonominya makmur dan berkat, rakyatnya tersohor dan hebat, budaya hidupnya menjadi contoh teladan sejagat.

84. Untuk itu, keutamaan harus diberi ke arah mewujudkan peluang – peluang pekerjaan dan menyediakan program perumahan. Kesan langsung sebarang perancangan kita harus menjurus ke arah ini, kerana ini yang rakyat mahu.

85. Kita juga harus mencari sumber baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil minyak dan gas. 85% daripada pendapatan Negeri datangnya melalui sumber minyak dan gas. Dari segi jangka panjang, tentu sekali ianya tidak mampan atau sustainable. (dengan izin).

86. TETP sebagai satu perancangan transformasi ekonomi jangka sederhana, dilihat mampu merubah lanskap ekonomi Negeri Terengganu. Ianya untuk masa hadapan kita bersama dan perancangan ini hendaklah dipastikan berjaya.

87. Ketiga, TETP dirangka bagi mencapai 3 indikator berikut:

i. Meningkatkan KDNK dari RM26.5 bilion kepada RM41.5 bilion.

ii. Meningkatkan pertumbuhan KDNK dari 4.4% kepada 8%.

iii. Meningkatkan pendapatan purata isi rumah daripada RM4,816 sebulan kepada RM8,000 sebulan.

88. Hari ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa daripada 71 projek yang dikenal pasti, 13 projek telah dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

89. 13 projek tersebut ataupun "Low Hanging Fruits‟ (dengan izin) adalah seperti berikut :

1. Dalam Sektor Bioteknologi, Projek Makanan Ternakan Hibrid di Setiu. Pelaburan swasta bernilai RM27 juta, bakal mewujudkan 895 peluang pekerjaan.

2. Dalam Sektor Pembuatan, Projek Aviation Maintenance, Repair & Overhaul (MRO).(dengan izin). Pelaburan swasta bernilai RM229 juta. 600 peluang pekerjaan.

3. Membangunkan perkhidmatan hab kargo udara serantau di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.Pelaburan swasta bernilai RM165 juta. 895 peluang pekerjaan.

4. Dalam Sektor PKS, Projek Pusat Perniagaan Halal, Pusat Membeli Belah, Pusat Konvensyen dan Hotel di Kuala Nerus. Pelaburan swasta bernilai RM275 juta. 1,000 peluang pekerjaan.

5. Dalam Sektor Teknologi Baharu, Projek Pengurusan Sisa Pepejal Perbandaran Menggunakan Kaedah Mesra Alam. Pelaburan swasta bernilai RM240 juta. 100 peluang pekerjaan.

6. Dalam Sektor Pelancongan, Projek Pembinaan Hotel Butik (Movenpick) di Kuala Terengganu. Pelaburan swasta bernilai RM400 juta. 200 peluang pekerjaan.

7. Dalam Sektor Pelancongan, Projek Menaiktaraf Hotel Primula di Kuala Terengganu. Pelaburan swasta bernilai RM224 juta. 360 peluang pekerjaan.

8. Dalam Sektor Bioteknologi, Projek Pembangunan Kertih Bio Polymer (KBP) Fasa 3. Taman Biopolimer Kerteh. Pelaburan ECER bernilai RM3.2 bilion dan 2,653 peluang pekerjaan.

9. Dalam Sektor Bioteknologi, Projek Pengeluaran Bio-Methane dari Tandan Kelapa Sawit. Pelaburan TDM Berhad bernilai RM13.7 juta.

10. Dalam Sektor Bioteknologi, Projek Pengeluaran Baja–Bio dari Tandan Kelapa Sawit di Kemaman dan Sungai Tong. Pelaburan swasta bernilai RM28 juta. 55 peluang pekerjaan.

11. Dalam Sektor Bioteknologi, Projek Pengeluaran Minyak Pelincir Bio-Sintetik berasaskan minyak kelapa sawit. Pelaburan swasta bernilai RM840 juta. 232 peluang pekerjaan.

12. Dalam Sektor Bioteknologi, Projek Pengeluaran Bio L-Methionine dari Bahan Mentah yang dikitar semula. Pelaburan swasta bernilai RM2 bilion. 533 peluang pekerjaan.

13. Dalam Sektor Pembuatan, Projek Pembuatan Sarung Tangan Getah NBR di Kemaman. Pelaburan swasta bernilai RM970 juta. 4,000 peluang pekerjaan.

90. Projek-projek ini akan melibatkan pelaburan berjumlah RM3.5 bilion tidak termasuk 2 projek iaitu Projek Pembangunan Kertih Biopolymer dan juga Projek Pengeluaran Bio L-Methionine yang mana telah pun bermula pada tahun ini. Keseluruhan projek ini dijangka dapat menyediakan 6,795 peluang pekerjaan untuk rakyat Negeri Terengganu.

91. Kerajaan Negeri amat berharap agar kita semua dapat sama-sama menjayakan apa yang dirancang. Limpahan ekonomi yang bakal kita rasai dijangka besar. Rakyat akan dapat peluang pekerjaan, peluang berniaga, lebih ramai pengunjung dijangka datang ke Terengganu untuk melancong mahupun berurusniaga. Kedai – kedai makan, hotel dan homestay (dengan izin) serta perkhidmatan teksi dan kereta sewa, peniaga runcit, penyedia perkhidmatan am, semuanya diharap akan menerima limpahan nikmat daripada kemajuan ekonomi hasil pelaksanaan projek – projek di bawah TETP ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

STRATEGI KEDUA : Memperkasa Pembangunan Modal Insan Sebagai Pelaburan Jangka Panjang Yang Terjamin Keuntungannya

Sektor Pendidikan

Kita harus terus Bersama Melangkah ke Hadapan.

92. Di kesempatan ini, saya bagi pihak Kerajaan Negeri, ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar UPSR 2016, termasuk para Guru, ibubapa dan kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Walaupun dengan format UPSR yang baharu, Terengganu masih berupaya mengatasi pencapaian peringkat nasional dalam ketiga-tiga kategori iaitu:

 2.95 Gred Purata Negeri berbanding 2.96 Gred Purata Kebangsaan

 Peratus yang mendapat 6A ialah 1.33% di Peringkat Negeri berbanding 1.1% di Peringkat Kebangsaan

 Peratus yang Lulus Semua Mata Pelajaran Negeri ialah 68.36% di Peringkat Negeri berbanding 67.7% di Peringkat Kebangsaan

Syabas dan Tahniah.

Melangkah kehadapan, kita harus mencari formula baharu dan meletakkan tahun 2017 ini sebagai asas kejayaan dalam membina Fasa Kedua Kitaran Kecemerlangan Pendidikan Negeri Terengganu.

Justeru Kerajaan bercadang untuk memberi lebih tumpuan kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains dengan meningkatkan program dan kursus ke arah peningkatan dua mata pelajaran ini melalui peruntukan Program Anjung Ilmu.

93. Selaras dengan prinsip ke lapan TTB iaitu Memperkasa Pendidikan, Kerajaan Negeri akan terus membuat pelaburan yang besar dalam bidang ini. Sebanyak RM42.6 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek dan program pendidikan pada tahun 2017.

Program Khatam Al-Quran Prasekolah

94. Satu keunikan yang terdapat dalam pendidikan prasekolah di Negeri Terengganu ialah kemampuan anak-anak kecil kita untuk khatam Al-Quran di peringkat umur yang kecil. Setiap tahun, lebih 20 ribu anak-anak prasekolah berjaya khatam dan ini sangatlah membanggakan terutamanya buat ibu bapa dan para guru.

95. Kerajaan terus komited dalam menghargai jasa Guru – Guru Pintar Quran. Oleh itu, untuk Bajet 2017, sejumlah RM4.72 juta telah diperuntukkan untuk bayaran elaun bulanan kepada Guru - Guru Pintar Quran yang melibatkan seramai 770 orang.

96. Bagi memperkasa bidang pendidikan prasekolah, dua buah Tadika Yayasan Islam Terengganu baharu akan diwujudkan iaitu di Daerah Besut (Cawangan Jabi) dan Daerah Kuala Terengganu (Cawangan Losong).

97. Bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kanak-kanak di Taska Permata Keluarga kendalian YayasanPembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), sebanyak RM500 ribu akan diperuntukkan.

Program Anjung Ilmu

98. Bagi memartabatkan Program Anjung Ilmu di Negeri Terengganu pada tahun 2017, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM4 juta. Sebanyak RM2.7 juta diperuntukkan untuk percetakan bahan kecemerlangan pelajar bagi modul UPSR, PT3, SPM dan STPM. Sebanyak RM500 ribu akan disumbangkan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri bagi melaksanakan aktiviti kecemerlangan di peringkat Negeri, daerah dan sekolah termasuklah kelas bimbingan dan tutorial percuma.

Bantuan Persekolahan

99. Bagi meringankan beban para ibubapa terutama merekamyang kurang berkemampuan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meneruskan Bantuan Persekolahan sebanyak RM100 seorang pelajar bagi keluarga yang berpendapatan RM2,500 ke bawah, berbanding RM 2,000 sebelumnya, dengan maksimum 2 orang pelajar setiap keluarga. Sebanyak RM10 juta akan diperuntukkan dan dijangka 100 ribu orang pelajar akan mendapat faedah.

100. Program sumbangan Dana Raya telah banyak memberi manfaat kepada penerima. Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri telah bersetuju supaya syarat kelayakan keluarga yang menerima Dana Raya diperluaskan kepada keluarga yang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah.

Program peningkatan kebolehpasaran graduan

101. Bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan terutama yang menganggur, program Terengganu Graduate Transformation Programme (TGTP) (dengan izin) yang menggantikan program Terengganu Graduate Attachment Scheme (TGAS) (dengan izin), diteruskan. Ini dijangka dapat membantu lepasan diploma dan siswazah untuk membuat persiapan dalam melangkah ke alam pekerjaan. Sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), syarikat-syarikat berkaitan dengan Kerajaan Negeri (SGLC) akan turut dilibatkan bagi menjayakan program ini.

102. Bagi membantu mahasiswa dan bakal graduan menentukan laluan kerjaya, Karnival laluan kerjaya dan program softskills (dengan izin) akan diwujudkan. Buat permulaan, sebanyak RM150 ribu telah diperuntukkan. Karnival ini akan diperluaskan lagi dengan mengadakan roadshow (dengan izin) ke setiap daerah seluruh Negeri Terengganu.

103. Kerajaan juga mengambil berat dan memberi tumpuan terhadap golongan belia yang kurang bernasib baik. Peruntukan sebanyak RM50 ribu akan diberikan untuk latihan kemahiran kepada pelajar-pelajar pendidikan khas atau OKU dalam kursus-kursus kemahiran seperti membaiki motosikal, gunting rambut, bakery (dengan izin) dan lain-lain yang berkaitan melalui kerjasama dengan kolej-kolej kerajaan Negeri seperti TTITC dan TESDEC.

Sumbangan kepada setiap PIBG

104. Menyedari pentingnya institusi PIBG di sekolah–sekolah, Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju untuk meneruskan pemberian bantuan pengurusan dan aktiviti sebanyak RM2 ribu kepada setiap PIBG sekolah. Sumbangan ini melibatkan 505 buah PIBG sekolah seluruh Negeri Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM1.01 juta.

Program TRENGLISH

105. Kerajaan Negeri bercadang untuk mengembangkan lagi Program Transforming English in Terengganu (TRENGLISH) (dengan izin) ke peringkat sekolah-sekolah rendah seluruh Negeri Terengganu. Untuk itu, RM1 juta akan diperuntukkan bagi meningkatkan peratusan kelulusan mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam peperiksaan – peperiksaan awam peringkat rendah dan menengah.

Pembangunan Keluarga dan Masyarakat

106. Anak-anak adalah permata hati dan penyejuk jiwa. Kelahiran mereka sentiasa dinanti dengan penuh debaran oleh ibu bapa. Bagi meraikan kelahiran orang baharu dan sebagai tanda cakna dan kasih kita kepada generasi masa hadapan, Kerajaan memperuntukkan RM1 juta kepada Program Saguhati Kelahiran Anak Terengganu dengan sumbangan diberi dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional atau SSPN-i. Ini dapat menggalakkan tabungan pembelajaran bermula seawal usia kelahiran. Dijangka seramai 26 ribu bayi akan mendapat faedah daripada sumbangan ini.

107. Kerajaan juga bersetuju memperuntukkan RM1.2 juta bagi menjayakan Program Pasca Perkahwinan, Program Second Honeymoon (dengan izin), Program Semarak Kasih, dan Forum Perdana Cakna Keluarga. Dijangkakan seramai 4 ribu pasangan akan mendapat manfaat daripada program – program ini.

108. Program Home Manager (dengan izin) atau Pengurus Kediaman yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri telah mendapat maklumbalas yang sangat baik malah terbukti berkesan untuk peserta dan majikan. Justeru, Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi meneruskan program Home Manager (dengan izin) yang bakal memberi peluang pekerjaan kepada 150 orang Pengurus Kediaman.

109. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Taubah, ayat 18 yang
bermaksud:
“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang- orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut kepada siapapun selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

110. Amalan solat secara berjemaah adalah satu keutamaan dalam Agama. Kerajaan sedar, hiburan yang terlalu banyak dan melampau akan melekakan dan membawa natijah buruk kepada rakyat. Kerajaan bercadang untuk meneruskan aktiviti-aktiviti pengukuhan insaniah terutamanya yang berpaksikan Masjid, sesuai dengan prinsip kedua TTB iaitu Masjid dan

Surau sebagai Sumber Penyatuan.

111. Kerajaan Negeri mencadangkan supaya Program Solat Subuh Berjemaah sedia ada diperkasa dan turut dikembangkan juga kepada Solat Sunat Dhuha. Kerajaan bercadang untuk mengintegrasikan kempen solat ini dengan program-program pelancongan atau sukan bagi memeriahkan program ini. RM200 ribu diperuntukkan untuk urusan promosi Kempen Solat Subuh Berjemaah dan Solat Sunat Dhuha.

112. Jumlah masjid yang ada di Negeri Terengganu haruslah mencukupi dan yang penting, diselenggara dengan sebaiknya. Untuk itu, RM16 juta akan diperuntukkan melalui Bajet kali ini bagi pembinaan tujuh buah Masjid iaitu di Dungun, Kemaman, Marang, Setiu, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu. Meningkatkan Pengupayaan J3K

113. J3K adalah jentera Kerajaan yang paling rapat dengan rakyat. Bagi meningkatkan keupayaan J3K dalam melaksanakan urusan pengurusan dan pentadbiran di kawasan masing – masing, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meluluskan bantuan pengurusan secara one-off (dengan izin) sebanyak RM5 ribu kepada setiap 991 J3K di Terengganu. Bantuan one off ini (dengan izin) akan disalurkan pada tahun ini juga.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Pembangunan Belia & Sukan

Kita perlu terus Bersama Melangkah ke Hadapan.

114. 40% penduduk adalah terdiri daripada golongan belia. Golongan belia merupakan harapan dan aset penting kepada Negara. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara. Merekalah generasi yang bakal menerajui pemerintahan Negara, menjadi tonggak dan nadi utama dalam merealisasikan wawasan Negara serta menjaga kedaulatan tanah air tercinta.

115. Sejajar dengan ini, pelbagai aktiviti dan program telah diatur bagi tahun 2017 khususnya untuk golongan belia. Program ini bukan sahaja berteraskan sukan semata-mata tetapi turut mengambil kira pembangunan kepimpinan, keusahawanan dan kemahiran. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM65.7 juta untuk portfolio Belia dan Sukan, satu jumlah yang besar untuk golongan belia dan aktiviti sukan di Negeri Terengganu.

116. Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan Program Dana Bakti Remaja. Bagi tujuan ini, sebanyak RM20 juta akan diperuntukkan sekaligus memberi manfaat serta kebaikan kepada 100,000 belia di Negeri Terengganu.

117. Bagi tujuan bantuan pentadbiran kepada Persatuan Belia,Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM 5,000 bagi semua cawangan Persatuan Belia yang aktif dan berdaftar dengan Majlis Belia Negeri Terengganu. Sebanyak 431 Persatuan Belia yang aktif akan mendapat manfaat daripada bantuan ini.

118. Bagi membantu belia-belia kampung yang berminat untuk menjadi pemandu jentera berat sebagai satu kerjaya, Kerajaan Negeri akan memberi peruntukan sebanyak RM100 ribu. Program khusus akan diwujudkan untuk membantu mereka mendapatkan lesen memandu jentera berat seperti bas, lori, traktor, bot besar dan lain-lain yang berkaitan.

119. Kerajaan Negeri sedar kekangan dan masalah yang berlaku dikalangan graduan Terengganu yang sukar untuk mendapat kerja. Kerajaan Negeri akan mewujudkan 1 unit khas untuk membina database graduan mencari kerja (ala jobstreet) (dengan izin) khas untuk anak Terengganu mencari dan merebut peluang pekerjaan di Negeri sendiri.

120. Latihan kepimpinan belia akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan adanya Darul Iman Training Center (DITC) di Kemaman. Malah, Kerajaan Negeri juga akan memperkasa DITC dengan menggunakannya secara optimum bagi mengadakan kursus-kursus perubahan minda dan jati diri, termasuk kursus kepada penjawat awam dan guru-guru di Terengganu. Peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta telah dikhaskan pada tahun hadapan bagi tujuan pembangunan Fasa Kedua DITC. Kursus ini dijangka akan memberi manfaat kepada 28,800 penjawat awam di Terengganu setahun.

121. Kerajaan Negeri ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana telah memilih Terengganu International Endurance Park (TIEP), di Lembah Bidong, Setiu sebagai venue (dengan izin) utama bagi penganjuran acara Sukan Berkuda Endurance (dengan izin) bersempena dengan Sukan SEA pada bulan Ogos, 2017. Ini merupakan satu pengiktirafan yang besar kepada Negeri Terengganu khususnya TIEP yang merupakan Pusat Sukan Kuda Endurance (dengan izin) yang terbaik di Malaysia.

Tahniah dan Syabas diucapkan.

122. Kerajaan Negeri juga bercadang untuk mewujudkan Hari Bebas Kereta atau Car Free Day (dengan izin) di laluan - laluan terpilih. Hari tersebut akan digantikan dengan acara seperti Hari Berbasikal, Fun Run, Walkathon bersama keluarga secara berkala. (dengan izin). Kerajaan Negeri sangat berbangga dengan penyertaan peserta dalam Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud. Lebih 50 ribu peserta dalam dan luar negara telah mengambil bahagian.

123. Dalam bidang sukan, Terengganu terus mencipta nama dengan beberapa siri kejayaan bukan sahaja di dalam negara malah juga di peringkat antarabangsa. Izinkan saya untuk berkongsi beberapa cerita kejayaan (success stories) (dengan izin) dalam bidang sukan.

124. Kerajaan Negeri ini mengucapkan tahniah kepada pasukan hoki Negeri Terengganu yang telah berjaya menjadi Juara Hoki Piala Tun Razak 2016 pada bulan Mei yang lalu.

125. Kita juga berbangga dengan kejayaan Mohd Azizulhasni Awang, anak jati Dungun yang memperoleh pingat gangsa acara keirin iaitu pingat pertama Negara dalam acara berbasikal dalam Sukan Olimpik.

126. Satu lagi kejayaan dalam bidang lumba basikal ialah kejayaan pasukan Terengganu Pro-Cycling Team (TSG) (dengan izin) mengungguli pentas dunia. TSG kini berada di ranking ke 7 Asia dan 90% pelumbanya adalah anak Terengganu. Mereka kini adalah pelumba profesional yang mampu menjadikan sukan berbasikal sebagai satu kerjaya dengan pendapatan yang lumayan.

Hebat Terengganu!

127. Kerajaan Negeri juga bangga dengan pencapaian kontinjen SUK Terengganu ke Kejohanan Sukan SUK Se-Malaysia di Johor baru – baru ini, yang mana kontinjen SUK Terengganu telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan.

Tahniah di atas semua kejayaan ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

STRATEGI KETIGA : Mengutamakan Kesejahteraan Rakyat Melalui Pengwujudan Peluang Membangunkan Kapasiti

Sektor Pekerjaan

Kita perlu terus Bersama Melangkah Ke Hadapan.

128. Bagi meningkatkan keupayaan kapasiti modal insan, Kerajaan Negeri perlu menyediakan dan memberi lebih banyak kail dan bukannya ikan. Kerajaan Negeri dengan ini bercadang untuk menyediakan kursus-kursus kemahiran jangka pendek dalam bidang – bidang seperti gunting rambut, menjahit manik dan seumpamanya untuk belia-belia. Setelah tamat kursus, peserta akan diberi start up kit (dengan izin) untuk memulakan perniagaan termasuk perniagaan dari rumah ke rumah.

Sebagai perintis, RM150 ribu akan diperuntukkan bagi menjalankan program ini.

129. Bagi golongan belia yang berminat dalam sektor pertanian dan bercadang untuk menjadikan bidang ini sebagai profesion, Kerajaan Negeri memutuskan untuk membantu mereka dengan menyediakan tanah-tanah kerajaan terbiar untuk dijadikan tapak pertanian secara Lesen Menduduki Sementara (LMS).

130. Bagi membantu golongan ibu tunggal, Kerajaan Negeri dengan ini meneruskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membuka lebih banyak peluang pinjaman perniagaan.

Dianggarkan lebih 1,000 ibu tunggal bakal mendapat manfaat daripada peruntukan ini yang akan diuruskan oleh YPKT. Ruang Perniagaan dan Keusahawanan

131. Bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi, Kerajaan Negeri akan menyediakan lebih banyak ruang perniagaan. Pembinaan ruang-ruang perniagaan ini akan dilaksanakan di Pasar Pekan Seri Langkap, Setiu, Pasar Besar Dungun, Unit Kedai di Pulau Kekabu, Marang dan Projek Perdagangan dan Perindustrian di semua PBT. Sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan bagi tujuan ini.

132. Dalam konteks yang sama, Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan sebuah "Pasarnita‟ iaitu kawasan tapak niaga kekal untuk usahawan wanita yang pertama di Malaysia. Kerajaan Negeri berharap ini akan menjadi pendorong kepada para usahawan wanita Terengganu untuk lebih berjaya dalam bidang keusahawanan.

133. Pembangunan Keusahawanan merupakan faktor terpenting dalam meningkatkan dan melonjakkan ekonomi bumiputera khususnya. Perancangan program dan aktiviti tahun 2016 turut mengambil kira pembangunan produk usahawan tempatan. Program Pembangunan Produk bertujuan membantu usahawan kita dalam pembungkusan dan pelabelan. Selain itu, menerusi Program Persijilan Halal/ Good Manufacturing Practice (GMP) (dengan izin), usaha ini dapat meningkatkan imej dan kualiti produk yang dihasilkan di Terengganu kerana menepati piawaian. Bagi meningkatkan hasil jualan melalui inovasi pembangunan produk, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM400 ribu.

Kemudahan Skim Dana Usahawan

134. Dalam memulakan perniagaan, modal merupakan elemen yang sangat penting. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM3 juta di bawah skim pembiayaan, khususnya bagi membiayai Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF), Pinjaman Usahawan Desa, Skim Pinjaman 'Business Online' dan Skim Pinjaman Kecil. Program Usahawan Graduan Terengganu (PUGT) turut diperkukuhkan lagi dengan peruntukan sebanyak RM1 juta dalam tahun 2017.

135. Bagi mewujudkan Program Transformasi Gerai Desa di seluruh Terengganu, Kerajaan akan memperuntukkan RM3.36 juta kepada Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

136. Sebanyak RM1.6 juta akan diperuntukkan bagi menjalankan program-program keusahawanan termasuk latihan untuk melahirkan golongan yang mahir dalam penghasilan kraf seperti batik, songket dan ukiran kayu. Usah yang dijalankan ini bukan sahaja meningkatkan kebolehan usahawan Negeri, malah ia juga dapat menjaga seni dan warisan Kraf Tradisional Negeri Terengganu.

137. Daripada program-program yang dijalankan, Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu mensasarkan seramai 10 Usahawan Berprestasi Tinggi dapat dilahirkan setiap tahun.

138. Fokus juga akan diberi untuk membantu pengembangan kegiatan ekonomi di desa yang rata-rata digerakkan oleh golongan B40. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi pembinaan Rumah Kedai di kawasan Pusat Pertumbuhan Desa (PPD) yang telah dikenal pasti iaitu, di kawasan Merchang dan Binjai Rendah, Marang.

139. Kerajaan Negeri turut peka akan nasib rakyat Terengganu yang diberhentikan kerja dan memandang permasalahan ini dengan serius. Kerajaan melalui TESDEC akan menawarkan Program Skim Latihan Semula kepada kumpulan sasar ini untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran industri seperti kimpalan, juruselam komersial ADAS dan sebagainya.

Infrastruktur dan Kemudahan Awam

140. Prasarana yang lebih baik dapat membantu meningkatkan kemudahan serta taraf hidup rakyat. Tumpuan utama akan diberi kepada pembangunan infrastruktur di luar bandar dengan mengambil kira isu-isu berkaitan bekalan elektrik, bekalan air bersih dan juga program ameniti sosial.

141. Selain daripada peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Pusat melalui Kementerian, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM16 juta bagi projek-projek kecil di bawah Majlis Perundingan Rakyat yang disalurkan melalui Pejabat-Pejabat Daerah.

142. Menyedari kepentingan projek menaiktaraf sistem jaringan jalanraya, Kerajaan Negeri akan meneruskan lagi beberapa projek sambungan dan projek baharu bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya. Dengan pembukaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ia dijangka akan mendatangkan kesan langsung terhadap ekonomi Negeri. Rangkaian lebuhraya yang baik akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri dan penempatan-penempatan baharu.

143. Kerajaan juga akan meneruskan kerja menaiktaraf laluan FT3 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan daripada dua lorong kepada empat lorong di Daerah Marang dan Kemaman. RM118.2 juta akan diperuntukkan bagi tujuan ini.

144. Dalam menyelesaikan masalah kesesakan lalulintas di Kuala Terengganu khasnya, 2 buah jambatan akan mula beroperasi pada tahun 2017 iaitu Jambatan Pulau Sekati dan Jambatan Angkat. Jalan bertingkat di persimpangan Jambatan Sultan Mahmud pula akan mula dibuka pada tahun hadapan. Ini akan mengurangkan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat akibat kesesakan sewaktu menyeberangi Sungai Terengganu terutama apabila pergi dan balik dari kerja. Malah trafik juga dijangka lancar menjelang musim cuti sekolah atau perayaan.

145. Selain daripada membina jalan-jalan perhubungan desa, keperluan pencahayaan bagi lampu-lampu jalan kampung juga akan diselaraskan dari segi bilangan mengikut kesesuaian lokasi yang dicadangkan.

Bekalan Air Negeri Terengganu

146. Kerajaan Negeri Terengganu amat menitikberatkan pembangunan bekalan air bersih di Negeri Terengganu. Tujuan utama adalah bagi menjamin bekalan air bersih kepada rakyat secara berterusan di samping memenuhi tuntutan industri yang semakin berkembang. Bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM38 juta untuk pembangunan bekalan air dan program pengurangan Non Revenue Water (NRW) (dengan izin).

147. Bagi mempertingkatkan pengurusan dan mengelakkan kemungkinan berlakunya masalah bekalan air menjelang 2020, dua buah loji rawatan air akan dibina di Pulau Bahagia, Kuala Terengganu dan di Bukit Berapit, Kuala Nerus yang memakan belanja RM797 juta. Satu lagi loji rawatan air iaitu di Bukit Sah, Kemaman akan dinaiktaraf dengan melibatkan kos sebanyak RM499 juta. Ketiga – tiga projek ini akan dibiayai dengan kaedah pembayaran secara tertangguh (deferred payment) (dengan izin). Loji rawatan air di Pulau Bahagia akan menggunakan teknologi „membrane‟ iaitu teknologi terkini dalam industri rawatan air. Projek ini akan memberi impak yang besar kepada lebih 400 ribu rakyat di tiga (3) buah daerah iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus.

Mengatasi Masalah Banjir

148. Banjir adalah suatu musibah yang kesannya boleh dikawal melalui perancangan yang baik. Inilah yang berlaku di Kemaman, apabila sistem pengurusan banjirnya telah dinobatkan sebagai mencapai Gold Standard (dengan izin) oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Malah prosedur operasi standard (SOP) banjir di Kemaman diiktiraf antarabangsa apabila dibentangkan dalam satu persidangan peringkat dunia.
Syabas Kemaman.

149. Sebagai satu usaha berterusan menangani masalahmbanjir, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM35.9 juta untuk:

 Projek Tebatan Banjir Baruh Tok Jiring

 Sistem Saliran di Gong Pasir Dungun

 Sistem Saliran di Sungai Buaya dan Sungai Seluang

Projek Penyusunan Semula Pembangunan Muara Sungai Terengganu

150. Bagi mengekalkan status Bandaraya Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Pesisir Air, Kerajaan Negeri bercadang untuk melaksanakan projek penyusunan semula pembangunan muara Sungai Terengganu. Diantara komponen yang terlibat adalah mendalam serta membetulkan semula laluan keluar masuk bot – bot nelayan, menyediakan kemudahan infrastruktur asas kepada penduduk di Pulau Duyong serta kawasan sekitar pesisir sungai.

151. Pelaksanaan projek ini akan memakan masa lebih kurang 3 tahun dengan kos pembangunan keseluruhan sebanyak RM70 juta.

Membudayakan Teknologi Hijau Dan Melestarikan Alam Sekitar

152. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar akan memperkasakan Industri Hijau yang lebih memfokuskan kepada pematuhan Amalan Hijau dikalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pembangunan dan pengeluaran industri yang tidak menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar dan tidak menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan manusia akan diberi penekanan.

153. Selain itu, kempen kitar semula akan diperluaskan ke seluruh pelosok Negeri Terengganu melalui Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) dengan agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan-badan berkanun serta agensi-agensi swasta.

154. Satu inisiatif Kerajaan Negeri ialah Program Kitar Semula sisa buangan domestik (waste to wealth) (dengan izin). Bayangkan sisa buangan yang terkumpul di Kuala Terengganu sahaja dianggarkan 50 tan sehari. Dan angka ini dijangka meningkat berdasarkan unjuran bertambahnya bilangan penduduk. Program ini dijangka akan menyelesaikan masalah sisa buangan dengan memproses sisa tersebut kepada tenaga. Ianya akan melibatkan inisiatif pihak swasta dengan menggunakan teknologi daripada Negara Denmark. Kos dijangka melebihi RM200 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta.

155. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan kepada Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. RM17.2 juta akan diperuntukkan untuk penambahbaikan bekalan elektrik dan pembekalan baru ke 2 buah pulau tersebut bagi manfaat dan keselesaan para penduduk.

156. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menjadikan Negeri Terengganu sebagai sebuah Negeri yang bersih dan indah. Justeru, program-program kebersihan dan keindahan di seluruh PBT akan dipertingkatkan. Untuk itu, sebanyak RM67 juta akan diperuntukkan bagi menjalankan kerja – kerja kebersihan di seluruh kawasan PBT.

157. Bagi memastikan sistem aliran longkang berada dalam keadaan baik. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta untuk kerja penyelenggaraan dan pembinaanlongkang baharu.

158. Sebagai salah satu daya tarikan baharu untuk Bandaraya Kuala Terengganu, Medan PMINT (PMINT Square) akan mula beroperasi pada tahun 2017. Medan PMINT ini mempunyai 8 komponen iaitu Kompleks PB Plaza, PB Square, PB Sentral, Menara PMINT, Wisma PMINT, Terminal Bas Bandar, Medan Selera dan Dataran PMINT.

159. Selain daripada pusat membeli-belah, Menara Pejabat LHDN dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang telah beroperasi di Kompleks PB Square, sebuah Menara Hotel yang mempunyai 200 bilik juga akan mula dibuka pada awal tahun 2017. Ini akan diikuti dengan pembukaan kompleks membeli-
belah PB Plaza dan Pusat Rekreasi Keluarga di Kompleks PB Sentral. PB Plaza akan menawarkan pusat membeli-belah The Store, MARA Digital Mall dan Youth Centre (UTC) manakala 11 unit Cineplex, 36 lorong bowling, ruang niaga dan tempat letak kereta bertingkat akan beroperasi di PB Sentral. Sistem Pengangkutan Awam Yang Efisien

160. Tahun 2017 merupakan Tahun Melawat Terengganu. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri bercadang untuk melakukan penstrukturan semula sistem pengangkutan awam di Negeri ini. Terminal Bas MBKT akan dinaiktaraf terutamanya dari segi struktur bangunan dan lot-lot komersial yang sedia ada bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif dan memberikan keselesaan kepada orang awam.

161. Perkhidmatan bas henti-henti akan ditambahbaik dengan pelaksanaan "My Bus‟ (dengan izin) di bawah Skim Transformasi Bas Henti-henti (SBST) melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan Darat (SPAD). Skim ini dijangka akan mula beroperasi pertengahan tahun 2017 melibatkan 14 laluan dan 27 buah bas. Kerajaan Negeri akan memastikan agar rangkaian laluan bas melalui jalan-jalan utama dan jalan-jalan perantaraan bagi menghubungkan kawasan-kawasan yang berpenduduk dan meliputi kawasan bandar dan luar bandar dengan kadar harga tambang yang berpatutan.

162. Sempena Tahun Melawat Terengganu 2017, perkhidmatan bas bandar yang disediakan oleh Cas Ligas Sdn. Bhd akan berwajah baharu. Bermula daripada Hentian Shahbandar, bas tersebut akan melalui destinasi-destinasi pelancongan yang ada khususnya di Bandaraya Kuala Terengganu sehinggalah ke Taman Tamadun Islam (TTI).

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Sektor Perumahan

Kita perlu terus Bersama Melangkah ke Hadapan.

163. Kerajaan sedar bahawa masalah perumahan merupakan satu agenda yang perlu diberi keutamaan. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah meletakkan Perumahan sebagai salah satu agenda teras untuk tahun 2017. Kerajaan sentiasa komited dan memberi penekanan terhadap penyediaan rumah yang mencukupi, berkualiti dan mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat khasnya golongan B40 dan M40.

164. Dalam Ucapan bajet tahun lepas, Kerajaan telah meletakkan sasaran bagi membina 20,000 unit rumah baharu. Sehingga kini, sebanyak 14,225 unit rumah baharu telah dibina dengan memberi manfaat kepada 56,900 isi rumah yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

165. Bagi memenuhi sasaran yang dinyatakan, sebanyak 2,389 lagi unit rumah baharu pelbagai kategori telah diluluskan. Pembinaan rumah-rumah ini melibatkan 220 unit rumah mampu milik Negeri di Seri Bandi, Kijal dan 4 projek di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) merangkumi 2,169 unit rumah pelbagai kategori di Tok Jembal (Kuala Nerus), Kertih (Kemaman), Kuala Ping (Hulu Terengganu) dan Santong (Dungun). Keseluruhan projek-projek ini melibatkan kos RM551 juta.

166. Kerajaan Negeri yakin sasaran 20,000 unit rumah baharu akan tercapai dengan adanya beberapa inisiatif baharu yang sedang dirancang untuk dilaksanakan.

167. Di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sebanyak 6 projek melibatkan 3,098 unit rumah telah diluluskan, manakala 2 projek lagi melibatkan 1,149 unit rumah sedang dalam proses kelulusan akhir. Di bawah Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), sebanyak 3 projek melibatkan 1,233 unit rumah telah diluluskan. Pembinaan rumah di bawah dua program ini adalah dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta. Ini menjadikan keseluruhan jumlah rumah telah dan sedang dibina adalah sebanyak 22,094 unit. 168. Insya-Allah sasaran 20,000 rumah ini akan tercapai sepenuhnya dengan pembinaan rumah-rumah tersebut pada tahun 2017.

169. Melangkah ke hadapan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk mensasarkan tambahan pembinaan 20,000 unit rumah lagi sehingga tahun 2020.

170. Dalam hal pemilikan rumah, Kerajaan Negeri sangat prihatin dengan nasib golongan berpendapatan rendah. Bagi memudahkan urusan pembinaan dan pemilikan rumah ini, satu kaedah pembinaan samada melalui konsep gotong-royong atau NBOS akan diperkenalkan. Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM64 juta iaitu RM2 juta bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diperuntukkan.
171. Bagi mengatasi masalah ketirisan dalam pelaksanaan pembinaan rumah secara penswastaan untuk kuota rumah mampu milik, Kerajaan Negeri akan mewujudkan satu tabung yang dikenali sebagai Tabung Perumahan Mampu Milik. Tabung ini akan mengumpulkan dana daripada pemaju swasta yang telah diberi kelulusan untuk membina rumah-rumah di bawah konsep penswastaan. Kerajaan sendiri akan memastikan rumah mampu milik dibina dengan menggunakan dana yang disumbang kepada tabung ini.

172. Satu lagi inisiatif untuk memenuhi keperluan perumahan di kalangan rakyat ialah dengan memperkenalkan kaedah pemilikan rumah secara konsep sewa dahulu. Selepas satu tempoh tertentu, sewa ini akan dijadikan deposit bagi memiliki rumah-rumah tersebut. Sewaan peringkat awal dan bayaran pemilikan rumah bulanan dijangka diantara RM250-RM300. Walau bagaimanapun satu ketetapan khusus akan diperincikan bagi tujuan itu.

173. Pemilikan Rumah Mampu Milik juga diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri bagi memberi peluang kepada golongan pendapatan rendah. Oleh itu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menaikkan kelayakan pemohon daripada pendapatan isi rumah RM3,000 kepada RM3,500. Bagi tujuan itu, bermula pada hari ini, permohonan Rumah Mampu Milik dibuka semula berdasarkan ketetapan terbaharu.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Sektor Kesihatan

Kita perlu terus Bersama Melangkah ke Hadapan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Mintalah kepada Allah kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari kesihatan selepas keyakinan (iman)”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah)

174. Bagi meningkatkan taraf kesihatan dan memelihara rakyat daripada jangkitan penyakit atau wabak, Kerajaan menggariskan 3 touch points berikut (dengan izin) :

175. Pertama - Kempen Kesedaran Basmi Denggi dan Perangi Zika. Kerajaan komited dalam usaha mengekang Wabak Denggi dan Zika daripada merebak. Oleh kerana persekitaran yang bersih dapat membantu dari tersebarnya wabak ini, maka Kerajaan mencadangkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk Program Gotong- Royong Perdana yang akan dilaksanakan di seluruh Negeri melibatkan 162 mukim.

176. Kedua - Mewujudkan Pusat Perlindungan Gelandangan dan Orang Kurang Waras Serta Pusat Warga Emas.

Kerajaan melihat perlunya dibina Pusat Perlindungan Gelandangan dan Orang Kurang Waras di Terengganu sebagai tempat perlindungan bagi orang yang memerlukan. Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM500 ribu untuk Pusat ini di samping bantuan dan input kewangan dan teknikal daripada pihak MAIDAM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Selain itu, Kerajaan juga berhasrat untuk menubuhkan Pusat Warga Emas di Teluk Ketapang.

177. Ketiga –Membina Pusat Hemodialisis Kerajaan Negeri amat peka dan prihatin dengan keperluan rakyat yang mengalami masalah buah pinggang. Justeru itu, Kerajaan akan mewujudkan tiga Pusat Hemodialisis iaitu di Telaga Mengkudu, Marang, di Hulu Terengganu dan di Seberang Takir. Dijangkakan, seramai 3 ribu orang akan mendapat manfaat menerusi penubuhan 3 Pusat ini dengan peruntukan sebanyak RM6 juta.

178. Keempat – Tabung Darul Iman Bagi membantu meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan, Kerajaan telah menubuhkan Tabung Darul Iman (TDI). Penubuhan TDI ini adalah bertujuan mengurus dan menyelaras bantuan-bantuan dengan lebih sistematik dan efisien. Bersesuaian dengan slogan TTB “Kecil Bagi Kita, Besar Bagi Rakyat”, tabung ini dapat membantu rakyat yang mengalami musibah seperti bencana alam, bantuan perubatan, bantuan sara diri tahunan, bantuan susu dan lampin pakai buang. Sehingga Oktober 2016 melalui sumbangan Kerajaan dan orang ramai, seramai 3,456 orang telah menerima bantuan daripada TDI yang melibatkan kos lebih RM5 juta.

179. Kerajaan Negeri sedar akan beban yang terpaksa ditanggung rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah, berikutan kenaikan harga barangan asas. Untuk itu, Kerajaan Negeri dengan ini bercadang mengadakan Program Terus Tukar Baucer (TTB) dengan memberi baucer kepada penerima bantuan JKM dan MAIDAM bagi mereka mendapatkan barangan asas dengan potongan harga di pasaraya – pasaraya yang terlibat dalam program ini. Saya dengan ini menyeru semua yang berkemampuan tanpa mengira parti untuk sama-sama menyumbang kepada program ini dan menyumbang kepada Tabung Darul Iman.

180. Penjawat awam adalah nadi Kerajaan. Tanpa mereka, sistem penyampaian kerajaan tidak akan berfungsi dengan jayanya sepertimana sekarang. Bagi menghargai jasa dan segala kerja baik yang telah dilaksanakan oleh para penjawat awam, Kerajaan Negeri dengan ini bersetuju untuk memberi bonus sebanyak RM500 untuk setiap penjawat awam. Bayaran bonus ini akan dibuat pada Januari 2017.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

PENUTUP

181. Saya ingin akhiri ucapan pembentangan Bajet 2017 saya dengan kisah Ayah Su, seorang tua yang tinggal di KampungTeluk Ketapang. Ayah Su bekerja kampung sahaja. Beliau mengambil upah memotong rumput dan membersih kebun. Isterinya, Mak Cik Nah menampung rezeki keluarga dengan menjual pisang goreng.

182. Ayah Su sekeluarga bukanlah orang senang. Sebab itu beliau bersyukur kerana mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ayah Su juga penerima bantuan BRIM sebanyak RM 1000.

183. Tahun lalu, rumah mereka antara yang rosak teruk dipukul ribut. Mujur J3K kawasan dan pihak berwajib cakna dengan menghulur bantuan segera. Rumah baharu juga diberi.

184. Anak sulung Ayah Su, Sulaiman atau dikenali dengan panggilan Leman, seorang pelajar yang pintar dalam pelajaran. Leman bekas pelajar Sekolah Menengah IMTIAZ dan hafaz 30 juzuk Al Qur‟an. Leman bercita-cita menjadi seorang jurutera angkasa yang Hafiz. Ayah Su bersyukur kerana Leman mendapat tajaan penuh daripada Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu untuk menyambung pelajaran ke luar negara dalam bidang aero space engineering. (dengan izin).

185. Leman mempunyai 3 lagi adik. Aishah lulus cemerlang dalam SPM tahun ini dan mendapat hadiah RM5000 daripada Kerajaan Negeri. Aishah juga mendapat tempat untuk belajar di Universiti Malaya. Wang persediaan menyambung pelajaran diberi oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM1000 selain sebuah komputer riba.

186. Hamdi, seorang lagi adik Leman, mendapat semua A dalam PT3 dan menerima hadiah RM 500 daripada Kerajaan Negeri. Zaharah, adik yang bongsu juga cemerlang bila mendapat semua A dalam UPSR. Zaharah turut menerima RM 500 dalam bentuk SSPN-i daripada Kerajaan Negeri. Zaharah adalah anak yang cukup istimewa, kerana walaupun disahkan mengidap penyakit kanser tahap awal, masih mampu cemerlang dalam pelajaran. Syukur Kerajaan Negeri melalui Tabung Darul Iman, membantu kos rawatan Zaharah yang bukannya sedikit.

187. Begitupun, Ayah Su terpaksa mengikat perut dan bekerja keras bagi mencari duit menampung perbelanjaan persekolahan anak – anaknya itu.

188. Kerajaan Negeri memberi bantuan persediaan persekolahan RM100 seorang untuk Hamdi dan Zaharah. Boleh juga bantuan meringankan sedikit beban membeli peralatan sekolah meniti tahun baharu.

189. Setiap kali waktu tibanya Hari Raya, Ayah Su akan termenung memikirkan perbelanjaan untuk menyambut lebaran. Mujurlah Kerajaan Negeri memberikan bantuan dana raya sebanyak RM 400 kepada mereka sekeluarga. Dapatlah membeli keperluan dapur dan menyediakan juadah seadanya untuk tetamu.

190. Leman turut merasai kemeriahan hari lebaran kerana mendapat RM200 melalui bantuan Dana Bakti Remaja yang diagihkan oleh Kerajaan Negeri. Malah Leman sangat berterima kasih dan bersyukur kepada Allah kerana hasratnya mendirikan rumah tangga dipermudahkan dengan adanya Program Perkahwinan Perdana Generasi TTB anjuran Kerajaan Negeri. Malah bakal cucu sulung Ayah Su turut akan menerima dana khas sebanyak RM100 sebagai hadiah bagi bayi yang baru lahir.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

191. Inilah secebis kisah Ayah Su. Ramai yang seperti beliau, menerima pelbagai bentuk bantuan dan dana daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat. RM81 juta telah diperuntukkan kepada 200 ribu orang penerima Dana Raya. RM20 juta diperuntukkan kepada lebih 90 ribu penerima Dana Bakti Remaja. RM58 juta diperuntukkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu golongan yang susah.

192. Jelas sekali bantuan kerajaan bertali arus. Bermula daripada sebelum lahirnya seorang bayi sehingga ke zaman warga emas, ada sahaja skim atau bantuan serta dana untuk semua peringkat umur. Malah sekiranya, Ayah Su ditakdirkan meninggal dunia, ada Skim Khairat kematian yang boleh meringankan serba sedikit beban yang mungkin terpaksa ditanggung ahli keluarga. Kisah Ayah Su dan keluarganya memberi tiga pengajaran kepada kita.

193. Pengajaran Pertama, tidak semua Kerajaan itu sama. Kerajaan pada hari ini sangat menjaga kebajikan rakyat. Rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah, mendapat manfaat langsung kerana dasar- dasar Kerajaan yang memerintah ini, membolehkan mereka menjadi penerima segala bentuk bantuan yang telah disediakan. Ini tidak termasuk beratus jenis bantuan yang khusus untuk perniagaan dan usahawan kecil, untuk pertanian, untuk nelayan, untuk belia dan sukan, untuk kesihatan, untuk perumahan dan sebagainya. Kerajaan yang ada pada hari ini sudah terbukti sangat cakna dan prihatin kepada keperluan rakyat setiap lapisan dan kategori masyarakat.

194. Namun harus diingatkan, tidak semua Kerajaan itu sama kerana kalau dasar Kerajaan itu tidak mementingkan rakyat, maka rakyatlah yang rugi. Ada Kerajaan yang benar – benar bekerja untuk rakyat. Namun sebaliknya, ada Kerajaan yang hanya banyak bercakap tetapi tidak buat.

195. Pengajaran Kedua, Kerajaan yang ada pada hari ini mampu mengurus ekonomi dan kewangan dengan baik. Gambaran yang diberi sesetengah pihak seolah – olah Kerajaan kita gagal, penuh dengan rasuah malah ada yang kata kita sudah bankrap.

196. Sekiranya Kerajaan ini gagal, kita tidak mungkin dapat sediakan semua kemudahan dan bantuan yang sebahagian kecilnya sudah kita lihat melalui kisah Ayah Su. Sekiranya Kerajaan ini gagal, tidak mungkin kita mampu menjual air kepada Negeri jiran. Namun Negeri yang dianggap sebagai Negeri terkaya di Malaysia, Negeri itu berhadapan dengan masalah air yang serius berkali – kali dalam masa - masa yang singkat. Kerajaan ini, Negara ini, bukanlah Kerajaan dan Negara yang gagal.

197. Dan Pengajaran Ketiga, kita mampu menyediakan segala kemudahan dan bantuan untuk rakyat terutama kepada mereka yang memerlukan, kerana kita ada perancangan untuk masa hadapan.

198. Bajet Negeri Terengganu 2017 adalah Bajet yang bersifat inklusif. Ianya mengambil kira kehendak rakyat.

199. Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa. Kerajaan akan terus memberikan hanya yang terbaik demi kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu.

200. Marilah bersama, kita bantu rakyat dan kita selesaikan permasalahan mereka. Marilah bersama, kita cipta lebih banyak cerita kejayaan. Marilah Bersama Kita Melangkah Ke Hadapan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua,

Saya mohon mencadangkan.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    1. Hello,
      Are you in need of urgent financial assistance for a personal purpose or for your business needs? Here is some good news for you. We offer loans to individuals or corporate firms at the lowest annual percentage rate.
      Contact us today to get:-
      *Hard Money Loans
      *Business Loan
      *Debt Consolidation Loan
      *Personal Loan
      *Business Expansion Loan
      *Student Loan
      *Agricultural Development Loan
      ...And Lots more

      Email: kathleenfosterloanfirm@gmail.com​
      You can also contact our HEADQUARTERS via:
      kathleenfosterloanfirmUS@gmail.com

      Name of creditor: Mrs. Kathleen

      ReplyDelete


    2. PELUANG PINJAMAN PELABURAN:

      Adakah anda memerlukan pinjaman? Adakah anda berminat untuk mendapatkan jenis pinjaman? Atau adakah anda bimbang kewangan?. Adakah anda mempunyai hutang untuk membayar? Kami memberikan pinjaman untuk setiap bahagian dari dunia, Suku bunga pinjaman kami adalah 3% per membatalkan dengan tempoh dirundingkan terlepas daripada Lokasi atau status kredit. Untuk mendapatkan pinjaman hari ini Hubungi kami melalui Syarikat email Alamat di: clarabannyloaninvestmentplc@gmail.com

      NOTA: Kami memberikan keluar minimum (3,000 $ / €) untuk maksimum (300,000.000 $ / €) E.T.C. Permintaan Kredit harus dinyatakan dalam US DOLLAR ATAU EURO, Dan setiap WANG bekas lain.

      pencari pinjaman yang berminat untuk mengisi borang permohonan pinjaman di bawah Perjanjian ..

      (PEMINJAM MAKLUMAT)

      Nama penuh: ......................
      USIA .............................
      STATUS PERKAWINAN ..................
      Hubungi Alamat: ...........................
      Negara ....................................
      Negara ...................................
      Telefon: .....................................
      E-mail: .....................................
      Pendudukan: ................................
      Pendapatan bulanan: ............................
      Agama: ..................................
      Keluarga terdekat: ...............................
      Adakah anda bercakap atau mendengar bahasa Inggeris? .............................

      (PINJAMAN MAKLUMAT)

      Bilangan Ia mengambil sebagai Pinjaman: .....................
      Pinjaman Tempoh: .............................
      Tujuan Pinjaman: ................................
      Jaminan: ................................
      Adakah anda mengajukan pinjaman sebelum ini? ..........................
      Cara pembayaran: bulanan atau tahunan ....................

      Terima kasih kerana kami menunggu Response cepat anda, kami siap melayani anda.
      Clara Banny Pinjaman Syarikat.

      ReplyDelete

    3. PELUANG PINJAMAN PELABURAN:

      Adakah anda Meminta untuk pinjaman mendesak dijanjikan?
      Adakah anda mengalami kesukaran mendapatkan pinjaman untuk modal kerja dari tempatan
      bank dan institusi kewangan lain?

      Perkhidmatan ini adalah untuk memberikan sokongan kewangan kepada individu,
      pengusaha dan perempuan dalam perniagaan.
      Jika anda berminat, sila hubungi kami sekarang melalui e-mel:
      clarabannyloaninvestmentplc@gmail.com: Kami siap melayani anda.

      E-mel kami sekarang di: clarabannyloaninvestmentplc@gmail.com
      untuk mendapatkan borang permohonan pinjaman.

      Salam Hormat,
      Clara Banny Pinjaman Syarikat.

      ReplyDelete

     
    Top