.... KPDNKK Rampas 1,140 KG Minyak Masak Dari Stor Tidak Berlesen | AAKJ



Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang merampas sebanyak 1,140 kilogram (kg) minyak masak dalam satu serbuan di sebuah stor penyimpanan barang di kawasan perindustrian Indera Mahkota 14 di sini hari ini.

Timbalan Pengarah KPDNKK Pahang, Alwi Abdul Hamid berkata rampasan yang pertama di negeri itu sejak kenaikan harga pada 1 November lepas melibatkan 900kg minyak masak paket dan 240kg dalam bentuk botol dengan nilai keseluruhan RM3,243.

“Rampasan berkenaan dibuat setelah pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh anggota KPDNKK negeri di sekitar daerah ini mendapati pemilik premis berkenaan melakukan kesalahan kerana menyimpan minyak masak itu di tempat yang tidak dilesenkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi di premis berkenaan yang disertai oleh lima anggota KPDNKK negeri.

Katanya jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 22(1) akta sama iaitu denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi perseorangan manakala untuk syarikat, denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama.

Sementara itu, Alwi berkata berdasarkan tinjauan di sekitar negeri ini mendapati bekalan minyak masak di Pahang kembali pulih dan beliau menasihatkan peniaga dan pembekal supaya tidak menyorok bekalan minyak masak untuk mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat atau masalah untuk mendapatkan bekalan minyak masak supaya melaporkan hal itu kepada mana-mana pejabat KPDNKK berhampiran bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top