.... Video Ini Bukan Rakaman CCTV Tragedi HSA | AAKJ



BELUM reda lagi kesedihan rakyat negara ini dengan tragedi kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, sudah ada video kononnya rakaman kamera litar tertutup (cctv) di dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum kejadian berlaku pagi semalam.

Video yang dimuat naik netizen melalui akaun Facebook, Fauziyahh Fauziyahh semalam dengan kapsyen mendakwa video berkenaan adalah rakaman cctv di dalam wad ICU yang memaparkan kejadian sebenar punca kebakaran.

Dalam video yang berdurasi 30 saat itu memaparkan seorang lelaki yang mencurahkan petrol kepada seorang pesakit yang sedang mendapatkan rawatan sebelum menyalakan api dan menyebabkan kebakaran dalam bilik berkenaan.




Selepas penyebaran video berkenaan dalam media sosial, netizen terus mengkritik tindakan wanita yang memuat naik video itu semalam susulan mengaitkan video tersebut dengan tragedi kebakaran di HSA.

“Tulis kat siti Rakaman CCTV hospital terbakar..dah tentu kita digemparkan dgn HSA terbakar..apalah jgnlah nk bg video cam ni bglah waktu lain,” tulis Osyien Cun dalam Facebook.

Bagaimapun, video yang dimuat naik sudah dipadam wanita berkenaan selepas dikecam hebat oleh netizen dan mengakui rakaman tersebut tiada kaitan dengan tragedi di HSA.

Wanita tersebut dalam kapsyennya mendakwa rakaman video tersebut diperolehi daripada rakan dan tidak menyedari tarikh di dalam video itu kerana ianya terjadi pada 25 Julai lalu.

“Maaf ya semua yang komen, saya dapat video ini dari kawan semalam mengatakan kes ini berlaku di HSA. Pas (lepas) tengok tarikh baru tau kes bukan berlaku di HSA, terpaksa edit balik, maaf ye semua,” tulisnya.

Pemerhatian Mynewshub mendapati posting tersebut sudah dipadam wanita tersebut dan tidak boleh diakses lagi.

Video yang dimuat naik oleh wanita tersebut adalah kejadian yang berlaku di sebuah bilik di Hospital Tirana, Albania yang mengorbankan tiga mangsa.

Sejak kejadian kebakaran di HSA semalam, pelbagai berita palsu yang timbul termasuk angka kematian korban, punca kejadian dan keadaan mangsa yang berjaya diselamatkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam sidang medianya semalam turut menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, kementerian masih menunggu laporan rasmi daripada agensi yang terlibat sebelum tindakan susulan dilakukan. -MYNEWSHUB.




Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top