.... Plat Kereta "D5" Termahal Di Dunia | AAKJ



Seorang ahli perniagaan Dubai berasal dari India, Balwinder Sahani mengejutkan dunia apabila berjaya memiliki nombor plat pendaftaran keretanya sebagai termahal di dunia.

Bilionaire taikun hartanah rantau Asia Barat itu yang juga dikenali sebagai Abu Sabah diumumkan oleh Lembaga Pengangkutan Wilayah (RTA) berjaya membida plat D5 mencecah harga 33 juta dirham (kira-kira RM37.5 juta).

Nilai tawaran tersebut sekali gus mengatasi rekod tertinggi sebelum ini iaitu plat ‘1’ yang dibida hartawan Abu Dhabi, Saeed Abdul Ghaffer Khouri pada 2008 lalu dengan harga bidaan 31.6 juta dirham (RM35.9 juta) ketika itu.

Portal berita terkenal Emiriah Arab Bersatu (UAE), Emirates 247 melaporkan bahawa, plat D5 itu akan dipasang pada salah sebuah kereta mewah Rolls Royce milik Balwinder setelah disahkan RTA memenangi bidaan tersebut.

“Ini memang hobi saya. Saya suka kumpul nombor plat unik dan saya berbangga dapat ada nombor sebegini. Lagi pun kebetulan saya suka nombor sembilan kerana D5 apabila dicampur jadi angka sembilan,” kata beliau lagi.

Pemilik kumpulan RSG International, sebuah syarikat pengurusan hartanah terkenal di UAE, Kuwait, India dan Amerika Syarikat itu memberitahu akhbar Gulf News, setakat ini beliau sudah memiliki 10 nombor plat cantik.



Tahun lalu, Balwinder berjaya membida plat 09 dan selepas D5, beliau berhasrat menambah lebih banyak koleksi nombor pendaftaran kereta yang unik kerana: “Saya begitu bersemangat dengan mempunyai nombor sebegini!”

Setiap tahun, lebih 300 pembida menyertai acara lelongan secara langsung yang diadakan pihak RTA setiap dua atau tiga bulan dengan menyaksikan persaingan amat sengit antara ramai ejen pembida dari seluruh dunia.

D5 ditawarkan pada bidaan Sabtu lalu selain sejumlah 80 nombor lain daripada satu sehingga lima digit. Menurut jurucakap RTA, acara pada hujung minggu lepas menampilkan banyak tawaran bidaan paling besar dalam sejarah.

Ia disahkan Ketua Pegawai Eksekutif RTA, Ahmad Hashim Behroozian yang berkata, sepanjang menyelia agensi pelesenan plat kenderaan itu, D5 adalah tertinggi tawaran hingga penuh sesak dewan acara di Hotel JW Marriott.

Bidaan plat pendaftaran malah menjadi perniagaan besar di UAE kerana ramai pembeli kaya boleh ‘buat duit’ pada nilai kenderaan mereka termasuk acara lelongan menerusi atas talian anjuran pihak RTA pada setiap bulan.

Segala-galanya bermula pada 2007 lalu apabila Talal Ali Mohammed Khouri menjadi ‘berita besar’ setelah menang bidaan nombor plat ‘5’ di Abu Dhabi dengan nilai 25 juta dirham (RM28.4 juta). – Agensi

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

    Note: only a member of this blog may post a comment.

     
    Top