.... Mesyuarat Agong MIC Dicemari Insiden Baling Botol | AAKJ



Insiden provokasi di antara penyokong Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam dan mereka yang menentang beliau berlaku di hadapan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi ini sempena Perhimpunan Agung MIC.

Kira-kira, 3,000 orang yang menyokong bekas Presiden Datuk Seri G Palanivel berkumpul jalan masuk ke Dewan Merdeka membawa sepanduk anti-Subramaniam manakala penyokong Presiden membawa sepanduk anti-penyokong Palanivel.

Keadaan turut menjadi kecoh apabila ada botol mineral dibaling oleh kedua-dua pihak bagaimanapun tidak ada pihak yang cedera.

Anggota polis dan juga Unit Polis Anti-Rusuhan berjaya mengawal keadaan dengan baik dan mengelak dari sebarang kejadian yang tidak diingini.

Pasukan polis yang berjumlah kira-kira 600 orang membuat halangan di hadapan laluan masuk ke perkarangan dewan berkenaan bagi mengelakkan kedua-dua pihak bertembung dan seterusnya berlaku pergaduhan.

Dua pihak berkenaan saling ejek mengejek dan membuat provokasi dalam bahasa Tamil.



Suasana di depan Dewan Merdeka, PWTC.

Perhimpunan di luar Dewan Merdeka itu diketuai oleh bekas Ketua Penerangan MIC, Siva Subramaniam, Datuk R Ramanan dan A K Ramalingam.

Ramalingam ketika ditemui media berkata mereka berkumpul di hadapan dewan berkenaan untuk menunjukkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang hadir merasmikan perhimpunan itu kira-kira pukul 10.30 pagi.

“Kami berkumpul di sini bukan nak kecoh dan ganggu orang awam tapi hanya nak sampaikan mesej kepada Perdana Menteri yang kita hormati supaya selamatkan parti dan kami untuk masuk semula.

“Tapi sebelum itu, kami nak Subramaniam berundur dari jawatan presiden dan timbalannya, Datuk Seri S.K. Devamany menggantikannya,” katanya kepada wartawan di luar dewan.


Konvoi Perdana Menteri tiba di Dewan Merdeka, PWTC.

Sementara itu, ketika kereta konvoi Perdana Menteri hadir, pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) berjaga-jaga memastikan keselamatan kereta Najib masuk ke kawasan perkarangan Dewan Merdeka.

Difahamkan kumpulan anti-Subramaniam berkumpul di kawasan berkenaan sejak awal pagi lagi.

Kumpulan berkenaan bersurai dari kawasan itu kira-kira pukul 11.30 pagi dan tiada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak polis. – pru14.tv

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top