.... Jasad Perlu Diawet: Jenazah Haron Dikebumi Di Amerika | AAKJ



NEGARA dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Datuk Haron Din ke rahmatullah hari ini. Kami difahamkan bahawa jenazah beliau akan dikebumi di Amerika Syarikat.

Pihak keluarga Haron Din memutuskan sedemikian memandangkan peraturan rumit pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk membawa pulang jenazah tersebut. Mengikut peraturan Amerika, jenazah perlu diawet sekiranya ingin dibawa balik ke negara kita.

Sepintas lalu berkenaan individu hebat yang bernama Haron Din. Beliau mempunyai perwatakan dan keperibadian murni yang disenangi semua pihak, baik kawan mahu pun lawan. Kesederhanaan dalam memberi nasihat, pandangan dan teguran membuatkan buah bicaranya dapat diterima, sekali gus menjadikan anak jati Perlis itu sebagai insan dihormati.

Walaupun pengaruhnya meluas menerusi pembabitan sebagai pensyarah, ahli politik dan pengamal perubatan Islam, Allahyarham tetap merendah diri di samping sedia berkongsi ilmu dengan sesiapa pun.

Kedudukannya sebagai Mursyidul Am PAS tidak dijadikan ‘senjata’ untuk membina tembok dengan lawan, sebaliknya digunakan sebagai tonggak membentuk jambatan silaturahim hasil acuan politik matang.

Di pentas politik, Haron banyak mengambil pendekatan berlembut tetapi tegas mempertahan pendirian. Apa yang tidak kena pada pandangannya akan ditegur secara lembut tetapi berkesan kepada golongan sasar, khususnya ahli dan penyokong PAS.

Haron Din dilahirkan pada 18 Ogos 1940 di Bohor Mali, Kangar, Perlis dan adalah anak ketiga daripada 10 orang adik beradik. Abang dan adiknya, Ishak Din dan Abu Hassan Din adalah tokoh agama yang disegani.

Berkahwin pada usia 25 tahun dengan Datin Khadijah Salleh, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata, dua lelaki dan tiga perempuan. Haron menerima pendidikan awal di Madrasah Al-Islahiah Al-Wataniah, Bohor Mali sebelum meneruskan pengajian menengah di Madrasah Al-‘Alawiyah Al-Diniah dan Al-Kuliah Al-Islamiah, Klang, Selangor.

Selepas tamat pendidikan di peringkat rendah dan menengah, Allahyarham melanjutkan pengajian di Kolej Islam Malaya (1962-1965) sebelum diterima masuk ke Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir (1966-1968).

Ketika menuntut di Mesir, Haron mendaftar untuk mengambil dua ijazah sarjana iaitu sarjana di Universiti Al-Azhar, Kaherah dan Diploma Pendidikan di Universiti ‘Ain Shams, Kaherah, sebelum meneruskan pengajian dalam bidang doktor falsafah (PhD) dalam bidang syariah di Universiti Darul-Ulum Kahirah, Mesir bermula 1972 hingga 1974.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1975-1976 sebelum diberi amanah sebagai Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam UKM pada 1977 hingga 1985.

Mewarisi ilmu perubatan Islam daripada bapanya sejak kecil, Haron menamatkan kerjayanya dan mengasaskan Darussyifa, sebuah pusat perubatan Islam yang terkenal di negara ini. Allahyarham aktif berpolitik dan memilih PAS sebagai landasan perjuangannya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, Haron bertanding merebut kerusi Parlimen Arau tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail. Percubaannya merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang juga gagal apabila tewas kepada calon BN, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Percubaan kedua dan ketiga Haron bagi kerusi Parlimen Arau menerusi PRU 2008 serta 2013 juga gagal. Kematian bekas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 12 Februari tahun lalu membawa kepada pelantikan Haron bagi jawatan itu pada 8 Mac 2015.

Haron menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bermula 1975 hingga 1983, selain dilantik Ketua Penerangan PAS dan menganggotai Majlis Syura Ulama, iaitu badan tertinggi pembuat dasar parti itu.

Sumbangan besarnya terhadap politik, bidang perubatan Islam dan penyebaran dakwah di negara menyaksikan Allahyarham menerima kepercayaan kerajaan apabila dilantik sebagai Ketua Kluster Dakwah, Majlis Perundingan Islam Kebangsaan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Al-Fatihah.


PRU14.tv

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top