.... Najib Mampu Pimpin Malaysia Dengan Baik - Bekas Mufti Jordan | AAKJ



Datuk Seri Najib Razak dipercayai mampu memimpin Malaysia menjadi salah sebuah negara terbaik di dunia.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mesti sentiasa mematuhi ajaran al-Quran dan sunnah, kata Prof. Dr.Amin Mohammad Sallam Al-Manasyeh.

"Saya berpendapat jika Allah memberi beliau (Najib) masa, beliau akan terus memajukan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara terbaik di dunia. Itu yang saya fikir tentang beliau," katanya dalam pertemuan dengan MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Dr. Amin adalah bekas Mufti Jordan selama 23 tahun dan pernah dilantik sebagai Mufti di Philadelphia dan New York di Amerika Syarikat,

Beliau juga merupakan Ketua Lujnah Pembanterasan Fahaman Syiah Jordan, mantan Imam Talaqqi Masjid Nabawi dan profesor di Universiti Mu'tah dan Universiti Jordan.

Dr. Amin yang memiliki tiga doktor falsafah dan tiga ijazah sarjana merupakan pakar al-Quran dan hadis serta menjadi penasihat syariah sebuah syarikat milik Malaysia, Dubaiz Islamic Concept Sdn. Bhd.

Beliau yang berada selama enam hari di Malaysia sempat bertemu buat kali pertama dengan perdana menteri berkata, Najib seorang mukmin.

Katanya, pada pertemuan itu, Najib dan beliau sempat berbincang pelbagai isu selain turut bersama-sama menunaikan solat hajat untuk memelihara rakyat dan kesejahteraan Malaysia.

"Kami solat hajat bersama, saya harap Allah terima doa saya. Kita cuba, Allah yang memperkenan, kita serahkan segala-galanya kepada Allah," tambahnya.

Beliau yang suka dengan Malaysia berkata, negara ini adalah sebuah negara yang berkembang maju dan lebih moden daripada kebanyakan negara di Timur Tengah termasuk Jordan.

Rakyat Malaysia, katanya, kuat bekerja dan mempunyai kehidupan yang lebih baik.

"Saya suka Malaysia, suka orang-orang di negara ini. Mereka baik dan cukup bermurah hati," ujar Dr. Amin yang juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob beberapa hari lepas selain menziarahi rakan dan anak-anak muridnya di Malaysia. - MalaysiaGazette

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top