.... Turki: Rampasan Gagal, Lebih 60 Maut, 336 Askar Serah Diri | AAKJ



Percubaan tentera Turki untuk menggulingkan kerajaan dengan melancarkan rampasan kuasa pada awal pagi 16 Julai nampaknya gagal menepati matlamat mereka sendiri.

Ia setelah rakyat Turki menyahut seruan Presiden Recep Tayyip Erdogan dengan mengadakan bantahan di jalan raya bagi menyokong pemimpin negara itu dan menyaksikan 17 pegawai polis prokerajaan dibunuh kejam tentera.

Laporan media tempatan mendakwa, sekurang-kurangnya 60 terbunuh, kebanyakannya ialah pegawai polis yang setia kepada Erdogan manakala 336 askar yang berjaya dikepung polis Turki ditahan selepas menyerah diri.

Dianggarkan lebih 150 cedera termasuk orang awam apabila jutaan rakyat Turki ‘bangkit’ menghalang kemaraan kumpulan konvoi kenderaan tentera yang cuba merampas kuasa apabila memasuki Istanbul dan ibu kota Ankara.

Erdogan, yang sedang bercuti semasa rampasan kuasa itu dilancarkan, melakukan penerbangan ke Istanbul sebelum subuh 16 Julai dan kemudian memberikan wawancara di luar sebuah lapangan terbang di depan penyokong beliau.

Rampasan kuasa itu adalah satu “perbuatan khianat” dan mereka yang mendalanginya bakal menanggung padahnya, kata Erdogan kepada kumpulan wartawan dalam satu sidang media khas di sini awal Sabtu.

Usaha menangkap pegawai tentera yang mendalangi rampasan kuasa itu giat dijalankan dan mungkin melibatkan beberapa pegawai kanan tentera dalam satu operasi besar-besaran bagi menghapuskan para penentang pemerintah.

Letupan dan kejadian tembak-menembak kedengaran sepanjang malam di Istanbul dan Ankara selepas tentera mengarahkan stesen-stesen televisyen membacakan kenyataan pengisytiharan rampasan kuasa di negara itu.

Namun, awal pagi Sabtu, sekitar 30 askar yang menyokong rampasan kuasa itu dilaporkan menyerah diri selepas berjaya dikepung oleh pasukan khas polis bersenjata berat di Dataran Takzim di bahagian tengah Istanbul.

Menurut seorang komander tentera Turki yang enggan dikenali dan setia kepada Erdogan, jet-jet pejuang sudah menembak jatuh sebuah helikopter di Ankara yang digunakan oleh kumpulan pendalang rampasan kuasa.

Agensi berita rasmi tempatan Anadolu yang dikendalikan oleh kerajaan Turki melaporkan kira-kira 17 pegawai polis terbunuh dalam pertempuran sengit yang berlaku di ibu pejabat pasukan khas dengan pihak rampasan kuasa.

Momentum tidak menyebelahi perampas apabila orang ramai ‘mengabaikan’ perintah berkurung oleh tentera malah sebaliknya mengadakan bantahan besar-besaran di jalan raya dan kawasan-kawasan utama Istanbul dan Ankara.

Mereka turut mengibarkan bendera Turki dan melaung-laungkan sokongan terhadap Erdogan, manakala kumpulan kumpulan prokerajaan dilihat memanjat sebuah kereta kebal dekat Lapangan Terbang Ataturk di Istanbul.

“Kami melantik seorang perdana menteri yang sah, bahkan kami juga mempunyai seorang panglima tentera yang sah, kami tidak akan menyerahkan negara ini kepada pakatan penderhaka ini,” teriak seorang lelaki tempatan.

Erdogan dan beberapa pegawai kanan pemerintah menuduh kumpulan yang taat setia kepada Fethullah Gulen, seorang tokoh agama yang kini hidup dalam buangan di Amerika Syarikat bertanggungjawab atas cubaan jahat itu.

Gerakan secara bawah tanah yang dipimpinnya iaitu Perikatan Gulen bagi Nilai-Nilai Bersama bagaimanapun menafikan sebarang pelibatan dalam pakatan itu untuk merampas kuasa. – Agensi

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top