.... Rokok Seludup 'Perisa Babi' | AAKJ



Tindakan sindiket pengedaran rokok yang tergamak menggunakan lori babi bagi menyeludup rokok dari pintu sempadan menimbulkan kemarahan dan rasa jijik perokok tegar yang menganggap perkara itu sebagai tidak bertanggungjawab.

Kakitangan swasta, Farhan Aziz, 23, berkata, dia tidak menyangka ada pihak yang sanggup menggunakan taktik jijik itu untuk menyeludup rokok dari pintu sempadan ke destinasi tertentu tanpa mementingkan faktor kebersihan.

“Saya sendiri berasa jijik apabila mengetahui rokok seludup dibawa menggunakan lori babi yang sangat kotor dan boleh mendatangkan penyakit. Aktiviti rokok seludup perlu dihentikan serta-merta.

“Biarpun harga rokok seludup lebih murah, namun kelak akan timbul masalah lain berpunca daripada kaedah penghantaran yang kotor dan jijik,” katanya.

Farhan berkata demikian selepas membaca laporan Harian Metro, semalam mengenai taktik sindiket pengedaran rokok yang menggunakan lori babi bagi tujuan penghantaran ke kawasan lain.

Bagi Mohd Ariffudin Sapardin, 25, perokok perlu lebih bijak membeli daripada saluran yang betul kerana tidak berbaloi menggadaikan nyawa sendiri dengan membeli rokok seludup yang belum pasti tahap kebersihannya.

“Sudah pasti sindiket rokok seludup ingin menyembunyikan kegiatan mereka daripada pihak berkuasa sehingga sanggup menggunakan lori babi yang jijik semata-mata untuk mengaut keuntungan berlebihan.

“Sekiranya perokok masih berdegil membeli rokok seludup, tidak mustahil akan timbul masalah lain dan sindiket lebih aktif mengedarkan rokok seludup tanpa rasa bersalah,” katanya.

Tambah kakitangan swasta Muhammad Firdaus Mohd Yusoff, 30, dia tidak dapat membayangkan jika rokok seludup dibelinya dibawa menggunakan lori babi.

“Rasa loya pun ada, tapi lepas ni saya akan lebih berhati-hati untuk membeli rokok. Namun, orang seperti saya yang berpendapatan rendah tidak mahu membeli rokok tempatan kerana harganya yang tinggi akibat cukai.

“Mungkin selepas ini saya perlu berhenti merokok pulak,” katanya.

Sementara di laman Facebook Harian Metro, rata-rata netizen meluahkan rasa kesal tindakan sindiket yang menggunakan taktik kotor itu.

Antara komen berkenaan adalah ‘rokok cap babi’, ‘taktik menggunakan lori babi juga mungkin menjadi punca barangan lain seperti dadah, arak dan senjata diseludup ke dalam negara’ dan ‘tidak perlu hisap rokok seludup lagi’.

sumber

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top