.... Pesawat AirAsia-X dan Jetstar Hampir Bertembung Di Udara | AAKJ



Dua buah pesawat syarikat tambang rendah masing-masing Jetstar Airways Australia dan AirAsia X Malaysia hampir bertembung di ruang udara di Gold Coast, Queensland semalam.


Demikian menurut laporan dikeluarkan oleh agensi berita rasmi China, Xinhua yang memetik kenyataan sumber daripada pihak berkuasa tempatan iaitu Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) di sini.

Akibat insiden yang berlaku pukul 11.42 pagi pada 28 Julai itu, satu siasatan secara rasmi sedang dijalankan oleh pasukan penyiasat biro berkenaan bagi mengenal pasti punca kedua-dua pesawat nyaris bertembung sesama sendiri.

Menurut Xinhua, pesawat AirAsia X terbabit ketika itu berlepas berada hanya 152 meter daripada pesawat Jetstar yang kebetulan hendak mendarat, sehingga alat penggera dibunyikan dalam kokpit kedua-dua pesawat itu.

Jarak minimum memisahkan dua buah pesawat komersial besar ketika di ruang udara Australia ialah 305 meter antara satu sama lain. Insiden itu berlaku enam kilometer di utara lapangan terbang Coolangatta di Queensland.

Juruterbang Jetstar itu terpaksa mengambil tindakan pantas apabila pesawat AirAsia X itu menceroboh laluan penerbangannya dengan dikemudi pada ketinggian lebih tinggi untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Jurucakap Jetstar memberitahu agensi berita NewsCorp bahawa juruterbang pesawat A320 miliknya itu mengambil tindakan pembetulan untuk kembali berada pada jarak yang selamat daripada pesawat AirAsia X berkenaan.

Pesawat Jetstar yang membawa 180 penumpang itu bagaimanapun berjaya mendarat di Gold Coast tanpa sebarang insiden tidak diingini malahan semua penumpang juga dikatakan tidak menyedari kejadian berkenaan berlaku.

Pihak AirAsia di Kuala Lumpur masih belum memberikan sebarang komen. Pesawat jenis Airbus A330 itu sedang dalam perjalanan ke New Zealand dari Gold Coast ketika kejadian tersebut. – Agensi

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top