.... 1MDB: Siapa Tidak Kenal Amerika Terhadap Negara Islam - PAS | AAKJ



PAS menafikan ia membela Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak susulan langkah Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendedahkan kononnya wujud korupsi dan kecurian wang dalam syarikat milik negara 1MDB.

Sebaliknya, Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata parti itu hanya mahu mengingatkan sejarah kuasa besar itu apabila melibatkan negara Islam.

“Siapa tidak kenal Amerika terhadap negara umat Islam,” soal Idris.

“Kononnya Osama Bin Laden sembunyi di Afghanistan, apa yang terjadi selepas itu. Memburu kumpulan al-Qaeda di Iraq, selepas itu apa yang terjadi. Di Syria atas nama hendak memerangi IS, rakyat Syria menderita. Ini peringatan umum. PAS konsisten mengenai hal kedaulatan negara,” katanya.

Idris menambah PAS berpendirian sama dalam isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

“Jangan pula penyokong Umno hendak membela isu pendedahan Jabatan Kehakiman dengan alasan campur tangan asing. Sedangkan TPPA, Umno/BN menyokong kuat,” katanya.

Dengan pengecualian Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pimpinan tertinggi PAS kebelakangan ini dilihat tidak ke depan dalam isu membabitkan 1MDB.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan membuat desakan supaya Najib meletak jawatan susulan langkah Jabatan Kehakiman AS menyita aset berkait 1MDB bernilai AS$1 bilion.

Sambil berkata ia terpulang kepada Barisan Nasional, beliau turut memberi peringatan agar pihak asing tidak campur tangan dalam siasatan terhadap dana negara itu.

“Kes 1MDB perlu disiasat secara adil dan telus, tidak boleh dibiarkan. Namun jangan dedah ruang kepada pihak asing untuk campur tangan. Jika ia berlaku, itu silap kita sendiri.

“Kita sendiri yang perlu siasat bukan pihak luar,” katanya dipetik Sinar Harian.

Sementara itu, Idris membidas mereka yang memutar belit kenyataan Hadi.

“Tak habis-habis hendak fitnah kepada PAS,” katanya.

“Kalau benci jangan melampau sangat. Kalau marah jangan hilang rasional. “

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top