.... Video Anak Muda Kuala Selangor Serang Premis Judi | AAKJ



Rakaman sekumpulan pemuda menyerang sebuah premis yang didakwa menjalankan aktiviti perjudian di sekitar daerah ini telah menjadi viral menerusi laman sosial sejak malam kelmarin.

Mereka dipercayai ahli kepada Pertubuhan Bersatu Anak Jati Kuala Selangor yang bertindak demikian selepas terpanggil untuk memperbetulkan kemusnahan sosial yang berlaku akibat kewujudan kedai-kedai judi haram.

“Kami tidak menyalahkan mana-mana pihak, kami buat atas dasar tanggungjawab untuk menolong anggota dan tidak mahu benda seperti ini di kawasan kediaman kami,” kata jurucakap kumpulan itu kepada Mynewshub.

Menerusi video berdurasi dua minit 50 saat, kelihatan tujuh pemuda berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an berkumpul di sebuah restoran sebelum menyerbu sebuah premis judi berdekatan di pekan itu pada waktu malam.

Mereka kemudian bertindak memecahkan beberapa peralatan di dalam premis tersebut seperti komputer dan pelbagai alatan yang dipercayai digunakan untuk tujuan perjudian.

Beberapa pemuda daripada kumpulan sama turut dilihat menyerbu sebuah lagi premis dan menendang pintu yang berkunci.

Mungkin dari segi undang-undang, tindakan anak-anak muda itu adalah satu kesalahan kerana menceroboh tetapi kewujudan premis-premis mesin judi itu juga merupakan kesalahan yang jauh lebih besar terhadap undang-undang dan kemanusiaan.

Daripada komen-komen yang diutarakan netizen, ternyata tindakan anak-anak muda tersebut disokong bagi membersihkan kawasan mereka daripada kerosakan yang dibawa oleh pengaruh negatif pusat perjudian itu.

Rakaman klip video tersebut mendapat tontonan lebih dari 411,000 dan turut dikongsi lebih daripada 2,000 pengguna sosial media sejak dimuat naik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah telah mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut. – MYNEWSHUB


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top