.... Sudah Sampai Masa Mahathir Keluar Dari Yayasan Perdana Dengan Hormat | AAKJ



Dalam satu tindakan tidak disangka-sangka banyak pihak pada Khamis, Pemuda UMNO memanggil sidang media tergempar dilakukan orang nombor duanya sendiri, Khairul Azwan Harun.

Sayap pergerakan parti induk Barisan Nasional (BN) itu mengumumkan hasrat mendesak pihak kerajaan segera memotong segala bantuan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana yang kini digunakan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Khairul Azwan, Pemuda UMNO memandang serius tindakan Mahathir cuba memperalatkan yayasan itu sebagai salah satu platform jahat untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pemuda mengecam tindakan Mahathir masih berterusan memburukkan kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri kerana ia bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta amalan sistem demokrasi negara kita.

“Justeru, Pemuda mahu bantuan kerajaan kepada Mahathir dan yayasan ini ditamatkan serta merta, termasuk aspek kewangan, harta tetap malah penggajian kakitangan sedia ada hendaklah dihentikan segera,” tegas beliau.

Yayasan Kepimpinan Perdana yang dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2005 dan terletak di Presint 8 Putrajaya setakat ini mempunyai 22 kakitangan yang dibayar gaji oleh pihak kerajaan. Mahathir Mohamad sering menjadikan Yayasan Kepimpinan Perdana sebagai markas untuk menumbangkan kerajaan Malaysia yang dipilih secara demokratik. – Gambar hiasan

Jelas Khairul Azwan, beliau akan mengutus surat kepada Perdana Menteri untuk memberitahu pendirian Pemuda UMNO itu secepat mungkin dan membangkitkannya dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang akan datang.

“Kita sedia maklum bahawa selama ini yayasan tersebut juga menerima banyak sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat, tetapi hari ini saya mendesak supaya dana yang berasal dari kerajaan dihentikan,” katanya.

Difahamkan, Mahathir sering menjadikan bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana sebagai markas strategik untuk mengadakan pertemuan-pertemuan dengan ramai pemimpin pembangkang dalam usaha menggulingkan Najib.

Sementara itu, Khairul Azwan mahu Mahathir menghormati keputusan yang dibuat oleh majoriti besar rakyat termasuk pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar di Selangor dan Kuala Kangsar, Perak pada 18 Jun lalu.

“Beliau sendiri yang sengaja menjadikan konon keputusan kedua-dua pilihan raya itu sebagai referundum kepada Najib. Terbukti rakyat sudah bersuara dan mereka yang memilih Najib lebih ramai daripada yang sebelum ini.
 
  
 
Pemimpin pembangkang dan antikerajaan sering mengadakan pertemuan dengan Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana. – Gambar hiasan

“Mahathir wajar menghormati keputusan ini dan berehat,” kata Khairul Azwan menjawab soalan wartawan serta senada Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz mahukan Mahathir bertaubat dan menumpukan kepada ibadah.

“Saya nak tanya beliau berkempen hendak jatuhkan Najib mewakili parti mana? Atau itu hanya agenda peribadinya, kerana jika agenda parti… parti mana? Adakah beliau ahli PAN, kerana tolong kempen dua calon PAN tempoh hari?

“Jika sebaliknya atas kepentingan peribadi saya serah pada rakyat untuk menilai… kalau beliau benar-benar ikhlas hendak memperjuangkan agenda PAN atau DAP molek beliau bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

“Jika Mahathir menang, beliau mungkin boleh jadi ketua pembangkang mewakili PAN atau DAP,” katanya sambil merujuk sindiran Ketua Pembangkang, Wan Azizah Wan Ismail mencabar Mahathir bertanding dalam pilihan raya.

Pada 17 Ogos 2015, Pengerusi Persatuan Minda Sosial Prihatin, Ramesh Rao menggesa Najib supaya menghentikan peruntukan kepada yayasan itu kerana didakwa dijadikan platform oleh Mahathir untuk menghancurkan kerajaan.

Turut hadir dalam sidang media Khairul Azwan tersebut ialah Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar dan Penolong Bendahari Pemuda UMNO, Datuk Razak Abdul Rahman. – Agensi/Mynewshub

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top