.... "Siapakah Penternak Ikan" Soalan Khas Untuk Rafizi | AAKJ



Tidak sampai setengah hari, cubaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk menjadikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai 'bahan kempen' untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar terbantut.

Pegawai Khas isteri Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor menjelaskan bahawa Rosmah terpaksa menggunakan pesawat ACJ319 untuk ke Istanbul, Turki mewakili PERMATA adalah kerana jadual beliau yang padat dan terpaksa berkejar kembali ke Malaysia kemudiannya.

Menurut Rizal, selepas Rosmah menerima penghormatan buat PERMATA di Istanbul di majlis berkenaan, beliau perlu bergegas pulang untuk hadir ke Mesyuarat Agong Persatuan Pandu Puteri Malaysia yang dirasmikan oleh Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.

"Isteri Perdana Menteri menempuh perjalanan hampir 13 jam ke Istanbul hanya untuk menerima anugerah dan menyampaikan ucapan. Beliau (kemudiannya) bergegas pulang selepas majlis tersebut.

"Mana mungkin Rosmah dapat menghadiri semua acara-acara penting sekiranya mengikuti jadual penerbangan pesawat komersil," katanya mematikan persepsi negatif yang cuba ditabur Rafizi tengahari tadi.

Mengulas lanjut, Rizal menjelaskan bahawa Kerajaan Malaysia sememangnya menyewa sebuah pesawat peribadi ACJ320 untuk tempoh dua bulan, namun pesawat tersebut sedang diselenggara pada tarikh berkenaan dan digantikan ACJ319 untuk sementara waktu.

Menjelaskan rasional menyewa pesawat peribadi itu, Rizal menegaskan ia adalah bertujuan bagi kegunaan kenamaan-kenamaan negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Permaisuri Agong dan kenamaan lain.

“Pesawat tersebut adalah pesawat gantian kerajaan maka atas sebab itu penerbangan ini menggunakan Pangkalan Udara Subang.

“Rosmah adalah isteri perdana menteri Malaysia dan kedudukan beliau dari segi protokol adalah layak,” jelasnya lagi.

Tidak "melepaskan" Rafizi begitu saja, Rizal kemudian membidas Rafizi untuk menjawab persoalan yang belum dijawab Naib Presiden PKR itu mengenai "penternak ikan" yang dimaksudkan oleh seorang pemimpin partinya sendiri, Latifah Koya.
“Satu sahaja soalan saya untuk YB Rafizi pula, siapakah penternak ikan yang dimaksudkan oleh Latifah Koya?” cabar Rizal.

 Kedahnews

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top