.... MT UMNO Setuju Pecat Muhyiddin, Mukhriz | AAKJ






Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini mengumumkan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh MT kerana pelanggaran disiplin parti.

Katanya, MT malah menimbangkan terutama apabila Muhyiddin dan Mukhriz berada di pentas bersama pemimpin pembangkang dan membuat ucapan menyerang pemimpin parti.

“Tindakan itu adalah kesalahan besar daripada segi disiplin parti.

“Oleh itu berdasarkan kelakuan berkenaan, maka MT secara sebulat suara mengambil keputusan memecat kedua-dua pemimpin ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Menara Dato Onn di sini.

Najib berkata, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal pula digantung keahlian sehingga laporan daripada Jawatankuasa Disiplin diterima oleh MT.

“Setakat ini laporan berkenaan belum diserah kepada Jawatankuasa Pengurusan dan MT,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata, atas saranan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, MT meminta kerajaan untuk memutus segala sumbangan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana.

“Ia termasuk sama ada dari segi kewangan, penyelenggaraan dan anggota kakitangan yang dibekal kepada Yayasan ini kerana ia digunakan sebagai pusat untuk merancang menjatuhkan kerajaan secara tidak ikut perlembagaan.

“Kerajaan yang dipilih secara demokratik dan sah di sisi undang-undang cuba dijatuhkan melalui cara tidak demokratik dan sah di sisi undang-undang,” katanya.

Justeru beliau berkata, tidak ada sebab dan tidak wajar sama sekali kerajaan meneruskan apa juga bantuan kepada yayasan berkenaan.

Najib berkata, kakitangan Yayasan akan diberi notis pemberhentian yang sewajarnya.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top