.... Banjir Kilat: Foto Pemandu Teksi Panjat Bumbung Kereta Dapat Simpati Netizen | AAKJ



Selepas banjir kilat melanda beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Khamis lalu gambar yang memaparkan seorang pemandu teksi yang terpaksa mencari perlindungan dengan memanjat di bumbung keretanya diedarkan secara meluas di media sosial.

Pengasas Projek Kaseh4U Normaliza Mahadi berkata apabila beliau melihat gambar itu di WhatsApp dan Facebook, dirinya berazam mahu membantu pemandu teksi itu yang kemudiannya dikenal-pasti sebagai Ab Razak Noorzam.

 


"Saya tahu teksi itu akan rosak teruk (selepas banjir), dan pemandu itu terpaksa membayar sewa (teksi) setiap hari, walaupun dia tidak boleh memandu teksi itu.

"Saya fikir mungkin kita boleh bantunya dengan sedikit bayaran, sekurang-kurangnya membayar sewa," kata Normaliza kepada Malaysiakini.

Melalui laman Facebook Projek Kaseh4U, beliau menggesa orang ramai tampil membantunya mengesan pemandu teksi yang dipaparkan dalam gambar itu.

Normaliza terkejut beliau mendapat sokongan yang amat menggalakkan, dengan posting beliau dikongsi hampir 10,000 kali.

"Ada orang yang mengenalinya dan menghatar nombor telefonnya, jadi saya hubunginya dan pagi Ahad lalu, kami bertemu.

“Saya kemudian menyerahkan sedikit wang tunai supaya dia boleh membayar sewa teksi dahulu,” katanya.

Ketika pertemuan itu, Normaliza berkata, Razak amat berterima kasih dan tidak dapat membayangkan bahawa orang ramai yang tidak mengenalinya sanggup membantu.

"Dia kata, ini satu keajaiban, orang yang tidak mengenalinya tampil membantu," katanya.



Sejak itu, beliau telah memuat-naikkan gambar asal Razak, bersama dengan nombor telefon dan nombor akaun banknya, supaya orang ramai boleh menderma secara terus.

Walau bagaimanapun, Normaliza tidak tahu berapa ramai orang yang telah menderma secara terus.

Katanya, ada individu yang tampil dengan menawarkan bantuan membersihkan teksi Razak, tetapi apabila beliau menghubunginya, beliau dimaklumkan ada pihak yang sudah membantunya membersihkan teksi itu.

Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top