.... Timbalan Presiden PAS Berbohong Isu GST | AAKJ



Dalam kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden PAS), beliau telah mengecam kerajaan di atas penarikan balik pelbagai subsidi walaupun GST telah dilaksanakan hampir setahun.

Penjelasan atas dakwaan dan tuduhan dilemparkan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man:

1) Golongan miskin memang tidak sepatutnya dikenakan cukai dan dasar ini kekal walaupun kerajaan telah melaksanakan GST. Sebab itu terdapat ratusan barangan yang dikecualikan dan berkadar sifar GST. Kebanyakkan barangan ini adalah barangan asas yang akan dibeli jika seseorang itu benar-benar dalam kategori miskin. Orang yang benar-benar miskin tidak menghabiskan wang mereka untuk membeli barangan ‘kehendak’ yang dikenakan GST.

Rujuk: GST: Senarai Bekalan Berkadar Sifar, Dikecualikan dan Pelepasan

2) Selain itu, golongan miskin juga menerima pelbagai bantuan sara hidup dari kerajaan seperti BR1M, bantuan persekolahan anak-anak, bantuan makanan, bantuan sara hidup JKM dan pelbagai bantuan lain. Kerajaan juga berusaha membawa mereka keluar dari garis kemiskinan dengan program-program untuk mengubah hidup mereka seperti program 1 AZAM.

3) Tidak dapat dipastikan adakan Tuan Ibrahim tidak mengetahui atau buat tidak tahu mengenai keadaan harga minyak di pasaran dunia. Pertamanya, harga minyak dunia sudah jatuh dan murah di pasaran domestik (harga April 2016 adalah RM1.70 untuk Ron 95). Kenapa Tuan Ibrahim membangkitkan soal subsidi minyak, sedangkan tiada keperluan untuk kerajaan memberikan subsidi pada harga pasaran yang rendah ini?

4) Keduanya, kejatuhan harga minyak dunia juga memberi kesan kepada pendapatan kerajaan. Dengan penambahbaikan sistem cukai daripada SST kepada GST pada tahun lalu, kerajaan dapat menambah pendapatan. Tambahan pendapatan ini membolehkan kerajaan terus dengan program-program pembangunan negara dan rakyat.

5) Kenyataan Tuan Ibrahim mengatakan bahawa kerajaan juga telah memotong subsidi elektrik adalah satu pembohongan besar. Hal ini sudah dijelaskan bahawa subsidi elektrik dikekalkan dalam Bajet 2016 dan dirangkumkan di bawah peruntukkan MOF B11 020500 iaitu di bawah tajuk “Subsidi dan Bantuan Tunai” yang keseluruhannya berjumlah RM10.63 bilion.

6) Tuduhan bahawa kerajaan juga bertindak zalim dengan menghapuskan subsidi beras ST15 menunjukkan bahawa Tuan Ibrahim Tuan Man sengaja bertindak untuk mengelirukan rakyat. Kerajaan menghapuskan subsidi beras ST15 kerana terdapat banyak ketirisan dalam pembelian beras tersebut. Subsidi sebanyak RM530 juta yang diberikan ke atas beras ST15 ini banyak dinikmati oleh warganegara asing. Pembangkang (ketika itu Pakatan Rakyat gabungan PAS-PKRdan DAP) juga telah membuat saranan yang sama dalam bajet alternatif mereka untuk menghapuskan dan mengkaji semula pemberian subsidi ini.

7) Bagi menggantikan subsidi beras ST15 yang digunakan oleh golongan miskin, kerajaan telah memperkenalkan satu langkah baru iaitu Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (SUBUR) yang mampu mengelakkan ketirisan berlaku dengan pemberian baucar kepada rakyat miskin. Untuk maklumat lanjut, boleh layari: http://www.moa.gov.my/web/guest/penerangan-mengenai-program-subsidi-beras-untuk-rakyat

8) Tuan Ibrahim juga telah mengkritik bajet tambahan 2015 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri di parlimen baru-baru ini. Kritikan ini membuktikan bahawa Tuan Ibrahim sebenarnya tidak faham apa yang dibentangkan di parlimen. Bajet tambahan itu adalah perbelanjaan sebenar kerajaan pada tahun 2015 dan tiada kena mengena dengan Bajet 2016 yang telah diubahsuai pada Januari lalu.

9) Perbelanjaan tambahan 2015 itu antaranya untuk pencen, perbelanjaan operasi pelbagai kementerian dan geran kepada negeri dalam defisit serta untuk pembinaan semula dan pembaikan infrastruktur awam seperti jalan luar bandar, sekolah dan universiti terjejas banjir besar 2014. Selain itu, ianya adalah untuk memindahkan RM2.1 bilion daripada akuan pendapatan bersepadu kepada dana pembangunan. Oleh itu, ia bukan perbelanjaan baharu tetapi sebahagian daripada perbelanjaan pembangunan untuk 2015. Bajet tambahan RM50 juta yang dimohon JPM pula bukan untuk kegunaan Pejabat Perdana Menteri, tetapi digunakan untuk memudahkan perpindahan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daripad Kementerian Dalam Negeri.

10) Adalah tidak beretika untuk Tuan Ibrahim menuduh bahawa terdapat ketirisan atau penyelewangan besar di kementerian-kementerian lain dengan hanya berdasarkan apa yang terjadi di Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini. Tuduhan seperti ini hanyalah berdasarkan ‘sangkaan buruk’ dan tidak seharusnya datang daripada seseorang yang dikenali sebagai ahli agama. Tangkapan yang dibuat oleh SPRM di KBS dan juga beberapa agensi lain membuktikan bahawa kerajaan serius dalam menentang segala bentuk penyelewangan dan rasuah. 


11) Walaupun kadar inflasi yang dicatatkan pada Februari 2016 adalah pada 4%, namun untuk menetapkan bahawa rakyat Malaysia dalam Bank Negara Malaysia optimis bahawa ianya akan turun pada kadar 2.5 - 3.5 % pada tahun ini. Selain dari barangan lain, kenaikan harga rokok dan arak juga merupakan faktor utama kadar inflasi naik sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya. Penurunan harga minyak juga telah menjadi kusyen kepada kenaikan kadar inflasi ini.

12) Sebagai rakyat, kita perlu melihat usaha kerajaan dalam skop yang lebih besar. Kerajaan telah membelanjakan wang rakyat kepada program-program pembangunan seperti lebuhraya, jalan, sekolah, universiti, hospital, klinik, koridor-koridor ekonomi dan pelbagai bantuan yang memberi manfaat lebih besar dalam jangka masa panjang kepada rakyat. Kegagalan Tuan Ibrahim untuk melihat segala usaha kerajaan membangunkan negara dan rakyat boleh diumpamakan dengan pepatah ‘gajah di depan mata tidak nampak, kuman di sebarang lautan yang dia nampak’.



Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top