.... 10 ADUN PAS Lompat, Kerajaan Kelantan Bakal Jatuh Ke Tangan PAN? | AAKJ






Pas didakwa tidak berani mengambil tindakan terhadap bekas Naib Presidennya, Datuk Husam Musa kerana bimbang pengaruh pemimpin yang mampu menjejaskan parti itu.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah mengulangi kenyataannya bahawa sekiranya Husam dipecat, terdapat 10 Adun Pas akan mengikuti Husam dan menyertai Amanah.

“Saya yakin Pas takut dan tidak akan pecat dia. Kalau pecat hari ini, pagi esok saya akan buat sidang media 10 lagi wakil rakyat saya bawa (masuk Amanah) termasuk sekali dengan Husam,” katanya.

Wan Rahim sebelum ini juga telah mendedahkan 10 wakil rakyat akan menyertau mereka, bagaimanapun pemimpin Pas Kelantan melihat ia gimik dibawa parti politik baharu.

Malah, beberapa Adun yang dikaitkan dengan spekulasi itu menyatakan kesetiaan kepada Pas.

Terdahulu, Pas mengesahkan telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Husam dan perlu menjawab dalam tempoh 14 hari.

Bagaimana pun, Husam mahu pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Datuk Daeng Sanusi Moriak mengundurkan diri dari mengadili kesnya berikutan terdapat unsur subjudis.

Husam berkata tindakan Daeng yang mendakwa beliau terlibat dalam aktiviti Pasma adalah fitnah dan menjadi penyebab kes beliau akan dibicarakan dengan tidak adil.

Wan Rahim yang juga bekas Speaker Dun Kelantan berkata, jika Pas tersilap langkah dan membuat keputusan tanpa pertimbangan waras dalam perkara tersebut ia bakal mewujudkan gelombang kebangkitan politik baru yang hebat di Kelantan.

“Ini bukan main-main, mereka ini (wakil rakyat) menunggu nama Husam dipecat sahaja, sebab Husam tidak mahu keluar dan masih hendak bersama dengan Pas,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rahim berusaha menyedarkan semua pihak bahawa Amanah yang dilabelkan sebagai parti pengacau itu tidak sesekali akan menjatuhkan Pas di Kelantan untuk membuat rundingan dengan pihaknya supaya tidak berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Kita bukan parti yang suka marah-marah, kita masih menunggu Pas untuk berunding dan kita bersabar. Kita akan tunggu sehingga 31 Disember 2017.

“Jika tidak ada maklum balas kita akan putuskan nanti sama bertanding di mana atau macam mana,” katanya.

Selain itu, Wan Rahim juga memberitahu, ketika beliau tidak lagi bersama Pas, ramai pengikutnya di kawasan Kota Bharu berhasrat untuk mengikut jejak langkahnya untuk menyertai Amanah.

“Saya nasihatkan mereka untuk terus bersama dengan Pas. Sayya tidak benarkan dan sengaja tidak galakkan mereka ikut saya,” katanya.


Artikel Terkini


    Post a Comment Blogger

     
    Top