Menu

Menurut Raja Petra Kamarudin, pada minggu lepas, bekas Peguam Negara (AG) Abu Talib Othman telah menyerang peguam negara sekarang iaitu Mohamed Apandi Ali kerana membersihkan nama Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB.
“Sekiranya beliau (Apandi) hanyalah ‘mengikut jejak langkah ketuanya’ jadi beliau sepatutnya tidak berada dalam keadaan keliru apabila membuat keputusan dan mengarahkan SPRM untuk menutup kes yang sedang disiasat.”

“Dalam keadaan sekarang, keputusan beliau telah membangkitkan banyak persoalan berkenaan dakwaan terhadap PM dan siasatan yang berkaitan dengan aktiviti 1MDB dan individu-individu yang berhubungkait dengan syarikat tersebut,” kata Abu Talib.
Nampaknya Abu Talib sudah lupa apa yang telah beliau lakukan pada tahun 1990, ia telah menyebabkan kemarahan mendiang Karpal Singh. Malahan, seluruh negara turut sama menyuarakan kemarahan mereka. Ini berdasarkan apa yang telah dilaporkan oleh Aliran pada Januari 1990:
Surat khabar telah dijual seperti goreng pisang panas sejak kebelakangan ini. Semua orang mahu tahu berita terkini mengenai pita video skandal lucah. Tuduhan tersebut telah benar-benar menarik perhatian seluruh negara. Sebenarnya, jika dilihat dengan lebih teliti, terdapat dua skandal – skandal Vijandran dan skandal Abu Talib. Yang pertama itu sudah pasti bermula disebabkan dakwaan terhadap Timbalan Speaker Dewan Rakyat D.P Vijandran yang dilihat dalam beberapa pita video lucah. Hampir sebulan kemudian, walaupun masih banyak tanda tanya mengenai dakwaan tersebut, Peguam Negara telah mereka lagi satu skandal dengan penjelasan beliau mengenai sebab mengapa siasatan terhadap skandal video tersebut ditutup.

Oleh itu, terdapat dua soalan penting yang memerlukan jawapan. Pertama, perlukah Vijandran hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen? (Beliau seolah-olah telah mencabar pendapat umum – beberapa ahli Kabinet juga mempunyai pandangan yang sama – untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Speaker dengan mengambil cuti panjang)

Kedua, apa yang perlu dilakukan terhadap Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman? Kenyataan beliau yang telah mengarahkan pihak polis untuk memusnahkan 11 pita video dan empat sampul surat mengandungi gambar dan negatif kepunyaan Vijandran – dan dengan kebenaran Vijandran – telah membangkitkan kemarahan dan menyebabkan beberapa kumpulan dan individu secara terbuka menuduh pihak kerajaan ‘menyembunyikan sesuatu’ (menutup skandal).

Cara AG mengendalikan kes tersebut telah membawa kebencian dan penghinaan terhadap pihak atasan dan beliau perlu meletakkan jawatan serta-merta. Aliran menganggap tindakan beliau sebagai satu cubaan secara terang-terangan untuk menghapuskan bukti dan menafikan keadilan. Apa yang lebih buruk adalah, ini bukan kali pertama Peguam Negara dikaitkan dalam menutup skandal dan melindungi mereka yang menyalahgunakan kuasa. Orang ramai tidak pernah melupakan bahagian beliau dalam menutup skandal BMF dan peranannya dalam membawa kepada pemecatan bekas Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

Respon Perdana Menteri terhadap skandal tersebut sangatlah mengecewakan. Tidak cukup untuk Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengatakan bahawa AG telah menggunakan budi bicara dalam menasihati polis untuk memusnahkan pita video dan gambar. PM sepatutnya mengarahkan satu siasatan terhadap tindakan Peguam Negara atas beberapa sebab.

Hampir sebulan sejak skandal seks menjadi berita utama, orang ramai mempercayai – berdasarkan kenyataan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri dan pegawai-pegawai tinggi polis – siasatan terhadap kes tersebut masih berjalan. Apa yang orang ramai kurang tahu adalah pita video dan gambar telah dimusnahkan atas arahan AG pada Januari 1989. Adakah beberapa orang pihak berkuasa telah menipu? Adakah terdapat percubaan sengaja untuk menipu rakyat? Atau adakah ia satu kesalahan daripada pihak polis? Atau adakah salah faham antara AG dan orang ramai?

Orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui jawapan kepada semua soalan tersebut. Ramai yang terkejut dan marah dengan cara skandal tersebut dikendalikan dan mereka yakin bahawa pemusnahan pita video tersebut adalah untuk menutup skandal. Mereka sangat merasakan bahawa pihak berkuasa cuba untuk menipu cara melepaskan diri.

Ada satu lagi sebab mengapa PM sepatutnya bertindak dengan segera. Terdapat perbincangan antara pengamal perundangan yang mengatakan bahawa AG telah melampaui batas kuasanya apabila mengarahkan bukti dimusnahkan. Jika sekiranya beliau telah menyalahgunakan kuasanya, jadi PM sepatutnya mengarahkan satu siasatan terhadap skandal tersebut. Adakah AG mempunyai sebab-sebab tertentu dalam mengarahkan untuk menghapuskan pita video dan gambar? Adakah beliau melakukan sedemikian untuk melindungi individu tertentu?

Peguam Negara juga mendakwa bahawa beliau tidak boleh mendakwa lelaki yang ditangkap mencuri pita video dan gambar tersebut disebabkan kekurangan bukti yang menunjukkan mereka yang mencuri. Bagaimanapun, beliau tidak dapat menjelaskan mengapa individu tersebut tidak didakwa kerana mempunyai barangan curi.

Juga tiada persoalan berkenaan pita video dan gambar milik Vijandran sama ada kandungannya adalah selamat, di mana pencuri tersebut telah mencurinya dari bilik tidur pemimpin MIC itu. Mengapa ketika itu tiada tindakan yang diambil terhadap Vijandran kerana membuat laporan polis yang salah memandangkan beliau pada mulanya telah melaporkan kepada pihak polis bahawa peti keselamatan tersebut mengandungi dokumen-dokumen penting MIC?

Hal ini membawa kepada persoalan yang lain. Tiada siapa pun termasuk PM dan AG mahupun orang ramai yang telah menafikan dakwaan bahawa pita video tersebut mengandungi bahan lucah. Kelihatan seperti AG telah gagal dalam tugasnya kerana tidak mendakwa pemilik pita video tersebut. Bukankah tindakan sepatutnya diambil terhadap AG kerana gagal menjalankan tanggungjawabnya? Bukankah lebih penting untuk PM bertindak dengan segera memandangkan dakwaan berkenaan pita video lucah tersebut melibatkan seorang tokoh masyarakat? PM mempunyai tanggungjawab untuk memulakan satu siasatan terhadap tindakan AG.

Adalah tidak cukup untuk PM mengalihkan sesuatu isu dengan mengatakan bahawa AG menggunakan budi bicara beliau. Apa yang dimaksudkan dengan ‘budi bicara’? Kamus Oxford menterjemahkan budi bicara sebagai ‘kebebasan untuk memadankan tindakan seseorang mengikut keadaan’ atau ‘alasan untuk pengecut’.
Pada bulan Januari 1990, Perdana Menteri, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara telah berkomplot untuk melakukan jenayah, mereka bukan hanya menutup satu kes yang sedang disiasat dan mencopnya sebagai NFA (‘no further action’), malahan mereka juga turut memusnahkan bukti supaya pada masa hadapan, tiada siapa yang boleh cuba membuka semula kes tersebut.

Jadi, bolehkah ketiga-tiga mereka ini berdiam diri dan tidak membuat kecoh tentang apa yang perlu atau tidak patut dilakukan berkaitan kes 1MDB sebelum kita mengingatkan rakyat Malaysia berkenaan apa yang mereka telah lakukan semasa mereka berkuasa dahulu.

Malaysia Today


 
Top